BATU GAJAH: Dua beradik tekad menceburi industri perusahaan berasaskan buah nanas walaupun masing-masing mempunyai lulusan dalam bidang pengajian berbeza.
Mukarramah Mustapa Kamal, 35 lulusan Sarjana Fizik, manakala Muhammad, 30 lulusan ijazah berkaitan petroleum dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Skudai, Johor Bahru.
Mereka sanggup bekerja dalam tempoh yang singkat bagi mengumpul modal sebelum menanam dan memasarkan produk nanas seperti buah potong, ais krim serta jus secara komersial.
“Kami menanam nanas 15,000 daripada varieti MD2 ditanah seluas 0.8 hektar yang disewa daripada Perbadanan Pembangunan Negeri Perak (SADC) di Lambor Kiri, Parit dekat sini.
“Produk nanas kami menggunakan ekstrak pati yang banyak bagi memastikan keaslian rasa dan teksturnya terjaga demi kepuasan pelanggan,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.
Setakat ini, produk dengan jenama M2K ini mendapat sambutan yang baik daripada pengguna di sekitar Perak mereka bercadang untuk mempunyai kilang pemprosesan sendiri bagi meningkatkan pengeluaran.
Sejak dua tahun bergelumang dalam bidang pertanian ini, secara purata pendapatan kasar mereka perolehi ialah sekitar RM4,000.
Sementara itu, Muhammad berkata, mereka bercadang menambah lagi keluasan tanaman nanas di tanah seluas 0.8 hektar di Kuala Kangsar demi memenuhi permintaan pelanggan yang semakin meningkat.
“Nanas madu atau MD2 semakin mendapat tempat dalam kalangan rakyat negara ini kerana rasanya yang manis dan enak.
“Tiada rasa lidas (rasa pedih atau gatal pada lidah) dengan empulur lembut berbeza dengan nanas lain,” katanya.









