PADA penghujung Januari 1937, berlaku satu peristiwa yang menggemparkan penduduk sekitar Teluk Anson, Perak. Kejadian di tempat yang kini dikenali sebagai Teluk Intan mungkin sudah hilang daripada ingatan.
Namun begitu, saya memilih untuk mengimbau kembali kisah berkenaan kerana ada pengajaran berguna yang relevan dengan kehidupan kita hari ini.
Para penduduk digemparkan dengan berita pembunuhan misteri seorang lelaki India-Muslim serta dua monyet peliharaannya. Kes itu menjadi bualan hangat di pasar dan kedai kopi.
Menurut cerita, warga emas itu seorang fakir dan musafir yang pergi dari tempat ke tempat. Dia memiliki tiga ekor monyet yang dilatih membuat persembahan. Maka, itulah cara lelaki berkenaan mencari sesuap nasi bagi diri dan binatang peliharaan.
Pada 26 Januari 1937, fakir yang tidak diketahui nama itu sedang dalam perjalanan bersama tiga monyet dari Teluk Anson ke Bagan Datoh (kini Bagan Datuk). Ada wang RM73.83 dalam simpanannya.
Sebaik sampai di Bagan Datoh, dia ditahan dua penyamun keturunan Jawa. Mereka tidak hanya mengambil wang dalam simpanan, malah membunuh fakir itu dengan kejam.
Dua ekor monyet peliharaannya turut dibunuh manakala seekor lagi berjaya melarikan diri.
Dua hari kemudian, seorang polis yang membuat rondaan di kawasan terbabit ternampak seekor monyet di atas pokok kelapa. Menurut laporan akhbar Times of Malaya, monyet itu mula menjerit dan seolah-olah cuba menarik perhatian polis.
Apabila anggota polis itu menghampiri pokok kelapa dengan penuh rasa ingin tahu, si monyet segera turun dari pokok dan melompat ke atas bahu. Monyet itu dilaporkan masih menjerit-jerit dan menuding ke satu arah.
Polis itu pun berjalan ke arah berkenaan. Tiba-tiba, monyet melompat turun dan terbaring seperti mati di kawasan semak.
Polis ternampak sebatang cangkul dan keadaan tanah seperti baru ditimbus. Maka, polis itu mengorek tanah dan benar-benar terkejut apabila menemui mayat si fakir tua dan dua monyet.
Tentulah berita itu menggemparkan penduduk Teluk Anson dan Bagan Datoh sebaik ia mula tersebar dan marak seperti api membakar lalang kering.
Menurut laporan akhbar Tamil dan Cina beberapa hari kemudian, keanehan peristiwa itu tidak berakhir di situ. Monyet tadi turut membawa polis ke tempat tinggal dua lelaki Jawa yang menyamun dan membunuh warga emas berkenaan.
Orang ramai, khususnya penduduk Tamil di sekitar Teluk Anson, mula menularkan berita itu yang disifatkan sebagai kejadian penuh mistik.
Siapa sangka seekor monyet boleh membantu polis mengesan mayat tuannya serta membantu polis menangkap si pembunuh. Tidak mustahil jika ada yang mengaitkan pula dengan watak Hanuman dalam epik Ramayana.
Pada 29 Januari 1937, orang ramai mengerumuni bangunan mahkamah yang dibina pada 1893. Mereka teruja untuk melihat wajah dua penyamun membunuh fakir tua itu. Lebih penting lagi, mereka mahu melihat monyet hebat yang berjaya membantu polis.
Menurut cerita yang tular dalam kalangan masyarakat, monyet itu disimpan dengan selamat di rumah James Innes Miller selaku Pegawai Daerah Hilir Perak.
Untuk rekod, dia kemudian menjadi Penasihat British di Perak (1948-1951).
Orang ramai yang mengerumuni bangunan mahkamah dimaklumkan tiada sebarang kes dibicarakan pada pagi itu kerana majistret berada di Bagan Datoh. Malah, mereka diberitahu tidak ada apa-apa kes membabitkan seekor monyet.
Para penjaja pula tersenyum gembira kerana makanan dan minuman mendapat sambutan luar biasa daripada orang ramai.
Keberadaan majistret di Bagan Datoh menguatkan keyakinan orang ramai bahawa beliau ke sana untuk melihat sendiri lokasi pembunuhan dan tempat mayat ditanam.
Apabila mahkamah bersidang pada pukul 2 petang, media melaporkan orang ramai bersesak hingga melimpah ke jalan raya. Bagaimanapun, mereka kecewa kerana kes pembunuhan fakir India-Muslim itu langsung tidak dibicarakan.
Pada masa itu, ada pihak membisikkan bahawa kes sudah ditangguh ke 13 Februari 1937. Mungkin kerana monyet akan takut melihat terlalu ramai orang di mahkamah. Mungkin kerana majistret bimbang orang ramai akan mengapa-apakan dua orang lelaki Jawa yang dituduh membunuh.
Pada pagi Sabtu, 13 Februari 1937, hampir 100 penduduk kaum India dilaporkan berkumpul di hadapan bangunan Mahkamah Agung, Ipoh. Mereka telah mendapat tahu kes pembunuhan fakir dan dua monyet dipindahkan ke sana.
Sejak lebih dua minggu sebelum itu, orang ramai khasnya penduduk keturunan Tamil di Teluk Anson tidak putus-putus berbual tentang kes pembunuhan dan bagaimana monyet milik fakir itu membawa polis ke tempat mayat ditanam.
Masing-masing juga tidak sabar untuk melihat bagaimana monyet yang dipanggil ke kandang saksi memberi keterangan. Bagaimana monyet jinak itu melakukan cam muka terhadap kedua-dua lelaki Jawa yang ditangkap kerana disyaki membunuh lelaki India-Muslim terbabit.
Anda yang sedang membaca rencana ini juga pasti memikirkan perkara sama.
MANIPULASI
Sebenarnya, di situlah terletak satu ‘twist’ (manipulasi) yang mengubah segala-galanya.
Sebagaimana dinyatakan, kisah pembunuhan si fakir dan bagaimana monyet peliharaannya membantu menangkap pembunuh disiarkan di akhbar Times of Malaya.
Sekiranya diteliti, berita itu menyebut bahawa kes fakir India-Muslim dibunuh dan monyet membantu polis menangkap pembunuh hanya cerita rekaan yang tular dalam kalangan penduduk.
Apa yang melucukan, akhbar bahasa Tamil dan Cina menterjemah laporan itu dan menyiarkannya sebagai kisah benar. Akhbar Cina sempat menyiarkan pembetulan tetapi pembaca akhbar Tamil terus yakin ia insiden sebenar.
Kita mungkin ketawa lucu tetapi beringatlah bahawa kita yang kononnya terpelajar, bijak dan ada akses kepada maklumat di hujung jari juga masih kerap terperdaya dengan berita palsu serta menjadi mangsa scammer.-UTUSAN
PENULIS ialah pengasas Pertubuhan Sasterawan Kaum India (Kavyan).










