SEPANJANG Oktober, kita menyambut bulan bahasa kebangsaan dengan pelbagai program dan usaha bagi memupuk kesedaran dan rasa tanggungjawab dalam diri setiap rakyat agar sentiasa mencintai dan seterusnya menggembleng usaha bagi memartabatkan lagi ketinggian bahasa kebangsaan.
Soal memperkasakan bahasa Melayu bukanlah semudah menyambut bulan bahasa. Alangkah malang jika semangat berkobar-kobar ini yang sudah berjaya disemai, semakin kelam setelah Oktober pergi meninggalkan kita. Ia juga seharusnya tidak dipandang sipi kerana bahasa ini banyak implikasi dan kesannya terhadap sesebuah negara bangsa.
Mungkin masih ramai yang tidak sedar bahawa bahasa Melayu yang menjadi tonggak tamadun kita ialah sebuah bahasa yang tinggi. Menyingkap sejarah ketamadunan Melayu, kita akan mendapati bahawa kedudukan bahasa Melayu jauh lebih tinggi daripada sekadar menjadi sebuah bahasa lingua franca seperti selalu diperkatakan.
Sejarah membuktikan bahasa Melayu bukanlah sekadar sebuah bahasa pertuturan penting semata-mata. Malah, seawal abad ke 17 lagi, bahasa Melayu sudah menjadi bahasa ilmiah bertulis, bukan hanya dengan sistem penulisannya yang tersendiri tetapi juga pustakanya yang kaya.
Begitu banyak perkara berharga telah saya pelajari daripada pembentangan Profesor Emeritus Datuk Asmah Omar semasa Seminar Perancangan Bahasa Kebangsaan baru-baru ini. Jemputan daripada Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) untuk menghadiri Seminar Perancangan Bahasa Kebangsaan 2024 selama dua hari baru-baru ini diibaratkan bagai bulan jatuh ke riba.
Lebih istimewa lagi, di antara pembentangnya termasuklah tokoh-tokoh besar bahasa Melayu yang amat saya sanjungi seperti Asmah dan Profesor Emeritus Datuk Seri Awang Sariyan.
Pertama kali mendapat peluang bertemu dan mendengar pembentangan daripada Asmah sudah tentu amat besar maknanya kepada penuntut yang baharu bertatih seperti saya. Dengan tajuk, Asas dan Prinsip Perancangan Bahasa di Malaysia, beliau turut menyentuh tentang sejarah perancangan bahasa yang dirangka rapi sebelum pembentukan negara kita.
Beliau turut bercakap tentang ketegasan Perdana Menteri Pertama, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj dalam memilih serta menobatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi negara, namun tanpa menindaskan bahasa-bahasa lain yang dianggap memperkayakan negara ini. Seterusnya, perkara ini diangkat sebagai undang-undang menerusi kedudukannya dalam Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan.
Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan amatlah penting dan menjadi teras perpaduan seluruh rakyat di negara ini. Justeru, menjadi tanggungjawab setiap rakyat untuk pastikan bahawa bahasa Melayu dituturkan dengan fasih serta difahami dengan baik oleh setiap warga negara. Hal ini mesti diberi keutamaan dalam sistem pendidikan kita agar tiada lagi generasi muda yang gagal menguasai bahasa kebangsaan dengan baik.
Mengimbau sejarah, Asmah menekankan penobatan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan tidak bermakna menghalang penggunaan bahasa-bahasa lain dalam kalangan rakyat. Kerajaan juga tidak pernah menghalang pembelajaran bahasa-bahasa lain. Malah, setelah negara bebas daripada campur tangan Inggeris, kita masih meneruskan pembelajaran bahasa Inggeris sebagai bahasa kedua di negara ini. Bahasa-bahasa etnik turut diberi perhatian dan tidak dipinggirkan, malah digunakan untuk memperkayakan perbendaharaan kata Melayu.
Itulah uniknya falsafah negara yang bersikap inklusif dan tidak meminggirkan bahasa minoriti. Semua bahasa diraikan pada kedudukannya. Begitu juga dengan kedudukan utama bahasa Melayu yang telah diikat secara undang-undang dan tercatat dalam undang-undang tertinggi negara.
Kini, pemerkasaan bahasa Melayu harus menjadi agenda penting kerajaan termasuk memacu langkah memelihara maruah bahasa daripada dirosakkan akibat penggunaan bahasa rojak, basahan dan slanga yang terlalu berleluasa pada hari ini. Kita tidak mahu ketinggian dan kehalusan bahasa Melayu terhakis dan akhirnya hanya tinggal di dalam catatan sejarah sahaja.

TANGGUNGJAWAB
Bagi saya tanggungjawab memartabatkan bahasa Melayu bukan hanya terletak di bahu kerajaan semata-mata. Sebagai rakyat, kita semua memikul amanah untuk mengembangkan lagi penggunaan bahasa Melayu agar bukan sahaja berkisar dalam dunia sastera tetapi juga menjadi bahasa sains dan teknologi serta ekonomi. Usah berbicara soal keMalaysiaan diri jika memandang enteng soal bahasa negara.
Pembangunan bahasa Melayu amat penting dalam pembinaan negara. Bagi saya, mendalami bahasa Melayu bukanlah tugas yang dikhaskan kepada mereka yang berada dalam jurusan pendidikan bahasa semata-mata.
Justeru, sejak melangkah kaki ke universiti, saya sentiasa berusaha mengikuti kursus dan seminar bahasa khasnya yang dianjurkan oleh DBP walaupun sibuk dengan jadual belajar dan tugasan lain.
Sebagai pelajar, kita perlu memperkayakan dan mempelbagaikan bidang kursus yang dipelajari agar dapat membina pakej ilmu yang lebih menyeluruh. Maka, tembok yang menjadi penghalang harus diruntuhkan tembok agar dapat menerokai bidang-bidang berlainan yang sesuai dengan minat dan kebolehan. Kalau tidak dipecahkan ruyung manakan dapat sagunya.
Bahasa ialah perkara integral dalam penyampaian ilmu dan maklumat. Malah, walaupun untuk pelajaran teknologi sekalipun bahasa tetap menjadi alat penyampaian yang paling penting. Maka, kerajaan tidak harus hanya memusatkan usaha dan tumpuan ke arah memperkasakan bidang sains dan teknologi semata-mata jika kita mahu membina sebuah negara yang makmur.
Maruah bahasa melambangkan maruah bangsa dan negara kita. Tidak cukup sekadar memupuk perasaan dan semangat cinta terhadap bahasa jika ia tidak dibudayakan.
Usaha itu amatlah penting, walaupun sekecil-kecil menggunakan bahasa yang betul ketika menulis di media sosial. Jika sudah tertanam penggunaan bahasa yang betul dalam diri, maka akan terus mekar penghargaan dan penghayatan terhadap bahasa kita tanpa perlu diarah.-UTUSAN
PENULIS ialah pelajar Ijazah Sarjana Muda Sains Politik di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).










