PETANG Selasa lalu, saya terkedu tatkala mendapat berita projek pertama bertajuk, WikiKata – Perjalanan Kerjasama Bagi Memelihara Bahasa Orang Asli diumumkan sebagai pemenang Anugerah Green Gown Antarabangsa bagi kategori Keterlibatan Siswa.
Anugerah berprestij ini bertujuan mengiktiraf inisiatif diusahakan sesebuah institut pendidikan tinggi ke arah kemampanan cemerlang. Ia bukanlah satu kemenangan yang mudah kerana saingan kami melibatkan projek-projek hebat berskala besar daripada pelbagai institusi pengajian tinggi terkenal dari negara-negara yang jauh lebih maju dan terkehadapan dalam memperjuangkan konsep kemampanan.
Kemenangan ini ialah satu penghargaan besar memandangkan projek ini tidak dirangka bagi tujuan menyertai sebarang pertandingan, apatah lagi di peringkat antarabangsa yang semegah ini.
Perkara yang menjadi fokus utama projek ini adalah bagi menggabungkan tenaga Wikimedia Malaysia dan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dalam usaha memastikan bahasa Orang Asli kekal terpelihara dan tidak pupus ditelan kemajuan zaman.
Berbanding kebanyakan projek yang diketengahkan, projek ini membawa satu isu yang kurang diperkatakan iaitu keterlangsungan bahasa peribumi. Hal ini berbeza memandangkan kemampanan sering hanya dikaitkan dengan projek yang memfokuskan perihal hijau seperti penanaman pokok dan pengitaran semula.
Apa yang lebih membanggakan ialah dua lagi projek di universiti kami turut memenangi anugerah ini dalam dua kategori lain. Masing-masing pula turut menangani aspek kemampanan yang jarang diperkatakan, iaitu berkaitan sokongan golongan orang kurang upaya (OKU) serta pendidikan tentang penyusuan.
Perkara ini sebenarnya ditanya juga kepada saya apabila disoal barisan juri tentang projek ini. Mereka menekankan aspek kehijauan dan bagaimana projek ini dapat menanganinya. Bagi sesetengah pihak, mungkin kita sukar melihat perkaitan projek tentang keterlangsungan bahasa dengan kehijauan bumi.
Apakah yang terbayang di fikiran kita apabila ditanya tentang maksud kemampanan? Ada yang melihat kemampanan secara sempit dan hanya terhad kepada aspek pemeliharaan alam sekitar dan hal yang membabitkan perkara dalam berbentuk fizikal sahaja.
Saya pernah bersembang dengan seorang rakan yang mencadangkan jika semua orang di dunia berhenti menggunakan kereta dan hanya berjalan kaki sahaja, maka dunia akan terus menjadi mampan dan hijau. Walaupun tidak salah kerana ia boleh mengurangkan pengeluaran karbon secara drastik, namun terdapat banyak lagi isu ketidakmampanan yang perlu diselesaikan yang akhirnya akan berkait rapat dengan kehijauan. Maka, idea penyelesaian kita jangan ditumpukan kepada pengurangan penggunaan kereta, pengurangan pembuangan sampah pepejal dan sebagainya semata-mata.
Kemampanan merangkumi perihal yang jauh lebih luas. Sebagai contoh, ia turut merangkumi aspek keterlangsungan cara hidup setempat yang lebih serasi dengan suasana tempatan.
Tanpa persekitaran kehidupan kondusif bagi masyarakat tempatan, mereka tidak dapat mengamalkan kehidupan sejahtera yang juga sebahagian daripada kemampanan. Jika kita mengajar orang kampung untuk menggunakan kereta elektrik dan panel solar, mungkin ia hanya menyebabkan kemudaratan kerana mereka tidak mampu membeli dan mengendalinya. Maka, pendekatan kita haruslah lebih holistik.

Begitu juga dengan jalinan kerjasama dalam perkongsian kajian dan sumber bagi mengurangkan kajian bertindih dan pembaziran sumber. Kita juga harus memastikan usaha yang dilakukan dapat memberi dampak serta manfaat berterusan dan tidak sekadar sekali lalu atau touch and go hanya bagi satu jangka masa tertentu sahaja. Jangan sampai kesan baik hanya kekal baik bagi tempoh projek dan terus kembali ke cara lama selepas kita tinggalkannya.
Saya bertuah kerana berpeluang berada pada kedudukan yang membuka peluang untuk mendalami konsep kemampanan dengan lebih mendalam. Belajar di universiti yang komited memelihara kemampanan dan transformasi komuniti serta bersama-sama pertubuhan Wikimedia Malaysia yang turut mengangkat soal kemampanan serta membuka capaian kepada ilmu pengetahuan secara percuma menjadi ruang terbaik bagi melatih saya lebih memahami konsep kemampanan.
Maka, jalinan kerjasama daripada semua pihak yang mempunyai matlamat yang hampir sama dapat memberikan impak yang besar serta berhasil membuahkan kejayaan yang lebih cemerlang. Inilah keutamaan saya dalam merangka projek WikiKata ini. Bagi saya, cara ini lebih mampan, praktikal serta menguntungkan.
Justeru, saya merangka satu jalinan kerjasama berpasukan merangkumi sukarelawan Wikimedia Malaysia dan mahasiswa UIAM dengan sokongan pentadbiran universiti untuk menjalankan misi ini.
Pada awalnya, kami memilih masyarakat Orang Asli Mendriq setelah membaca laporan berita mengatakan bahasa golongan itu sudah hampir pupus.
Ketika saya menjejakkan kaki di Kampung Kuala Lah, Gua Musang di Kelantan tahun lalu bagi menjalankan projek WikiKata bersama masyarakat Mendriq, saya tidak menjangkakan ia mendapat sambutan yang begitu baik daripada masyarakat setempat. Lebih-lebih lagi, itulah pengalaman pertama melawat perkampungan Orang Asli.
Namun setelah melihat kejayaan program, kami membuat keputusan untuk terus mengembangkan projek tersebut kepada lebih banyak komuniti Orang Asli lain di seluruh negara. Kami turut berhasrat merakamkan lebih banyak perkara tentang cara hidup mereka termasuk kebudayaan dan adat tradisi mereka.
KELUAR DARIPADA ZON SELESA
Sebenarnya menuntut ilmu bukan hanya terhad di dewan kuliah sahaja. Kita harus keluar ke dalam masyarakat dan belajar mengenal kehidupan dan mengenal cabaran yang berbeza.
Banyak perkara yang dapat dimanfaatkan apabila berada di lapangan.
Memelihara kemampanan dunia ialah tanggungjawab setiap insan. Ia bukanlah perkara baharu seperti yang sering kali disalah ertikan oleh banyak pihak. Walau apa jua istilahnya, ia tetap membawa maksud yang sama.
Kini setelah banyak kerosakan yang kita lakukan atas nama kemajuan, sebahagian dunia Barat mula sedar dan mengangkat isu kemampanan.
Kita harus bermula dengan melakukan apa yang kita mampu. Pada masa yang sama, kita juga harus memahami dunia ini secara menyeluruh, bukan dengan melihat apa yang tampak bagi mata kasar.-UTUSAN
PENULIS ialah Pelajar Ijazah Sarjana Muda Sains Politik di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).










