PETALING JAYA: Selangor FC (SFC) akan melayan kunjungan kelab gergasi Korea Selatan, Jeonbuk Hyundai Motors di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya malam ini tanpa beberapa pemain utama yang dihambat kecederaan.
Perkara itu disahkan oleh pengendalinya, Nidzam Jamil yang berkata, pasukannya akan turun tanpa Noor Al Rawabdeh, Safuwan Baharudin dan Mukhairi Ajmal sedikit sebanyak merencat persiapan aksi ketiga Kumpulan H Liga Juara-Juara Asia 2 (ACL2).
Begitupun, Nidzam enggan menjadikan faktor itu sebagai alasan untuk pasukannya tidak mendapatkan mata selepas berjaya mengutip empat mata setakat ini menerusi satu kemenangan dan kalah sekali.
Beliau turut optimis dengan kemampuan pemain yang lain dan berharap Selangor dapat meneruskan momentum cemerlang dalam ACL2.
“Seperti yang sudah dipastikan oleh doktor pasukan, kita kehilangan Noor Al Rawabdeh akibat kecederaan ACL selama sembilan bulan dan Safuwan Baharuddin juga saya boleh sahkan tidak akan terlibat serta Mukhairi Ajmal.
“Ada juga beberapa pemain yang berada dalam penilaian terakhir untuk kita melihat mereka bersedia atau tidak untuk perlawanan nanti,” katanya dalam sidang media pra perlawanan, semalam.
Selain kehilangan tiga tonggak tersebut, status pemain sayap lincah, Alvin Fortes untuk diturunkan juga masih belum pasti dan Nidzam perlu menunggu keputusan doktor pasukan sebelum dapat membuat keputusan sama ada pemain dari Cape Verde itu dapat bermain atau tidak.
“Fortes masih menunggu pelepasan daripada doktor pasukan kerana saya pentingkan kesihatan pemain dan juga kita akan berhadapan JDT selepas empat hari tetapi jika doktor lepaskan sudah tentu kita akan letakkan dia dalam senarai pasukan,” jelasnya.
Selangor kini berada di tangga kedua Kumpulan H dengan mengumpul empat mata selepas dua perlawanan dan akan menggunakan kelebihan di tempat sendiri untuk memburu kemenangan sekali gus merampas kedudukan teratas. – UTUSAN










