GEORGETOWN: Menduduki tangga ke-11 daripada 13 pasukan ketika saingan Liga Super memasuki pertengahan musim bukanlah sesuatu yang boleh dibanggakan oleh Penang FC.
Selepas meraih dua kemenangan daripada 12 perlawanan, keputusan itu menggusarkan penyokong setia Harimau Kumbang yang teguh di belakang pasukan kesayangan mereka.
Malah, tewas pada aksi terakhir pusingan pertama 0-1 kepada Sri Pahang menyebabkan penyokong mula meluahkan rasa marah mereka terhadap skuad Pulau Mutiara.
“Hangpa (kamu) ada masalah gaji ke? Tak ada kan? Tak jadi macam KL, tak jadi macam Kedah. Hampa patut beruntung,” luah mereka.
Bagaimanapun, pemain kebangsaan yang bertindak sebagai kapten Penang FC dalam perlawanan itu iaitu Syamer Kutty Abba tampil menjernihkan keadaan dengan memohon maaf selepas gagal menghadiahkan kemenangan.
Sebelum ini pengendali Penang FC, Akmal Rizal Ahmad Rakhli turut memohon kepada penyokong kerana gagal memberikan impak yang positif selepas meraih beberapa keputusan yang mengecewakan selepas mengharungi beberapa perlawanan liga.
“Saya tahu penyokong-penyokong juga kecewa kerana kita gagal lagi untuk menang di tempat sendiri selepas tiga perlawanan,” katanya selepas tamat perlawanan tempoh hari.
Ketika ini, pengurusan Penang FC dilaporkan belum memberi kata putus mengenai nasib Akmal Rizal sama ada dia akan terus diberi kepercayaan mengendalikan pasukan atau sebaliknya.
Sebahagian daripada pemerhati bola sepak berpendapat, bekas penyerang kebangsaan itu wajar diberi peluang kedua atau mungkin terakhir memandangkan aksi liga seterusnya ialah bertemu Sabah, juga di gelanggang sendiri.
Atas kertas, Sabah yang kini berkongsi tangga ketiga Liga Super bersama Terengganu pastinya akan turun sebagai pasukan pilihan dalam perlawanan berkenaan.
Namun, perlu diingat, Penang FC berjaya mengikat skuad Badak tanpa jaringan dalam aksi pembuka tirai saingan liga tersebut musim ini. – UTUSAN










