RM15 juta tanggungjawab besar FAM 

RM15 juta tanggungjawab besar FAM 

SKUAD Harimau Malaya mendapat peruntukan besar dalam Belanjawan 2025. - IHSAN FAM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mesti menterjemahkan peruntukan RM15 juta kepada badan sukan tersebut dalam Belanjawan 2025 dalam bentuk kejayaan.

Pemerhati sukan tempatan, Datuk Dr. Pekan Ramli berkata, peruntukan itu datang dengan tanggungjawab besar dan perlu digunakan mengikut garis panduan yang ketat untuk melihat keberhasilan pada masa akan datang.

“Apabila peruntukan ini diluluskan, ia merupakan satu perkara yang datang sekali dengan tanggungjawab yang berat. Jadi, FAM kena betul-betul ambil serius sebab dana ini diluluskan dalam belanjawan yang guna duit rakyat.

“Ini bukan sumbangan yang boleh digunakan sewenang-wenangnya, FAM kena letakkan sasaran realistic. Untuk Piala Dunia 2026 kita sudah gagal, Piala Asia 2027 juga sekarang ‘paras hidung’, sukar untuk layak.

“Sasaran realistik buat masa ini adalah perlu menjuarai Piala AFF dan meraih emas Sukan SEA Thailand. Kali terakhir kita menjuarai Piala AFF adalah pada 2010, sudah lama dan emas terakhir Sukan SEA pada 2011.

“Untuk jangka panjang, saya melihat FAM perlu bersedia sepenuhnya dan merangka strategi untuk menghadapi cabaran pada pusingan kelayakan Piala Dunia 2030 dan Piala Asia 2031,” katanya kepada Mingguan Malaysia.

Kelmarin, Perdana Menteri menerusi Belanjawan 2025 mengumumkan peruntukan sebanyak RM15 juta kepada FAM untuk pasukan Harimau Malaya, skuad bawah 18 (B-18) tahun dan B-13 negara.

Mengulas lanjut, Pekan berkata, Perdana Menteri bukan sahaja melihat kepada skuad Harimau Malaya, tetapi memberi penekanan kepada pembangunan kerana dana itu turut melibatkan skuad B-18 dan B-13.

“Kita boleh melihat Perdana Menteri bukan hanya melihat kepada skuad senior…Nampaknya dia juga berharap dapat melihat kepada program pembangunan, biar ada pelapis untuk jangka panjang, kena ingat selama mana kita nak bergantung kepada pemain sedia ada,” katanya.

Dalam masa yang sama, pekan mengingatkan agar FAM tidak terlalu selesa dengan suntikan dana daripada kerajaan dan tidak berusaha untuk memberi penambahbaikan.

“Saya Nampak FAM mungkin selesa dengan sokongan kerajaan, kena ingat, sampai masa kena jawap dengan balasan sokongan dan bantuan ini, kena tunjuk sepadan dengan hasil. Sampai masa netizen juga akan persoalkan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×