JOHOR BAHRU: Ketua jurulatih, I. Vikneswaran berpuas hati dengan persembahan skuad hoki remaja kebangsaan berdasarkan keputusan positif yang diraih dalam aksi pemanas badan menentang New Zealand dan Great Britain.
Namun, beliau enggan mendabik dada kerana percaya masih ada ruang untuk penambahbaikan, khususnya dari aspek penyudah dalam kotak penalti.
“Kita tidak boleh jadikan aksi pemanas badan sebagai ukuran kerana pada aksi sebenar nanti pastinya berbeza. Jadi, kita tidak boleh terlalu berpuas hati.
“Dalam perlawanan semalam (menentang Great Britain), kita telah melepaskan dua peluang gol padang serta dua pukulan sudut penalti. Ketajaman penyudah ini sememangnya antara tumpuan yang kita beri keutamaan,” katanya.
Walaupun tidak meletakkan sasaran dalam kejohanan itu, namun skuad negara menjanjikan aksi terbaik dalam setiap pertemuan bermula dengan aksi menentang New Zealand pada Sabtu ini. – UTUSAN










