Membina dunia yang lebih adil, lestari

Membina dunia yang lebih adil, lestari

SYED Hamid Albar ketika ucaptama Persidangan Antarabangsa Ke-10 Mengenai Pengajian Antarabangsa (ICIS) 2024 menyatakan setiap cabaran terletaknya peluang yang membolehkan dunia bersikap lebih adil.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PADA 26 dan 27 September lalu telah berlangsung Persidangan Antarabangsa Ke-10 Mengenai Pengajian Antarabangsa (ICIS) 2024 yang dianjurkan oleh Pusat Pengajian Antarabangsa (SoIS), Universiti Utara Malaysia (UUM).

Persidangan bertemakan Dari Gangguan Ke Peluang: Membina Dunia Yang Lebih Adil Dan Lestari ini dihadiri hampir 100 peserta dari hampir 50 institusi pengajian tinggi (IPT) dalam serta luar negara, termasuk dari Indonesia, Thailand dan Singapura.

Selain UUM, IPT Malaysia lain yang menyertai ICIS 2024 ialah Universiti Malaya (UM), Universiti Malaysia Sabah (UMS), Universiti Malaysia Sarawak (Unimas), Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Universiti Teknologi Mara (UiTM).

IPT lain dari Indonesia pula ialah Universitas Brawijaya, Universitas Islam Indonesia, Universitas Hasanuddin, Universitas Jember, Universitas Jeneral Soedirman, Universitas Muhammadiyah Yogyakarta, Universitas Lampung, Universitas Sriwijaya dan Universitas Trisakti. Selainnya ialah seperti Thaksin University dan National University of Singapore.

Persidangan dua tahun sekali sejak 2004 ini memantapkan peranannya sebagai platform utama untuk para sarjana, penyelidik, pengamal dari IPT dan institusi lain di seluruh dunia untuk terlibat dalam dialog bermakna mengenai kerumitan yang dihadapi oleh dunia.

Antara sesi-sesi yang diadakan ialah Politik Maritim dan Undang-Undang Laut, Pemberdayaan Wanita dan Pendidikan, Alam Sekitar dan Kelestarian, Kajian Keselamatan, Migrasi dan Tanpa Kewarganegaraan, Dasar Luar Negara, Hubungan Antarabangsa, Perniagaan Antarabangsa serta Tadbir Urus dan Undang-Undang.

Sesi-sesi lain ialah seperti Geopolitik, Keselamatan dan Keselamatan Bukan Tradisional, Dasar Awam dan Tadbir Urus, Sains Politik, Serantau dan Integrasi Ekonomi, Konflik Israel-Palestin, Pengurusan Perniagaan, Konflik dan Islamofobia, Perniagaan Antarabangsa serta Kelestarian dan Penyelesaian Inovatif.

Dalam ucaptama bekas Menteri Luar Malaysia, Tan Sri Dr. Syed Hamid Albar menyatakan beliau menyaksikan bagaimana hubungan antarabangsa, landskap politik dan ekonomi boleh diubah oleh gangguan sama ada disebabkan konflik politik, kemerosotan ekonomi atau krisis kesihatan.

Namun, melalui cabaran-cabaran ini, beliau juga belajar bahawa dalam gangguan terletak peluang. Dengan kepimpinan, visi dan dasar yang betul, ujar beliau, kita boleh menukar kesukaran menjadi kekuatan, ketidaksamaan menjadi keadilan dan amalan tidak lestari menjadi penyelesaian lestari.

Syed Hamid juga mencadangkan supaya kita memikirkan semula struktur ekonomi global. Dasar perdagangan, bantuan kewangan dan aliran pelaburan mesti disusun semula bagi menyediakan peluang yang adil untuk semua negara berkembang maju, terutamanya negara-negara di selatan global. Komuniti antarabangsa mesti memastikan pembangunan adalah inklusif dan kekayaan dikongsi dengan lebih adil.

Akhirnya, beliau berkata Malaysia berada di persimpangan penting untuk mengubah gangguan menjadi peluang. Melalui pelaburan strategik, tadbir urus yang bertanggungjawab dan komitmen kepada kelestarian, Malaysia mesti mensasarkan untuk membina masa depan yang bukan sahaja berdaya tahan dari segi ekonomi tetapi juga adil serta lestari untuk semua.

Turut memberikan ucapan ialah Profesor dalam Hubungan Antarabangsa dan Ketua Pusat Kajian Asia, Institut Kajian Malaysia dan Antarabangsa (IKMAS), di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Dr. Kuik Cheng Chwee.

Dalam ucapan beliau, Cheng Chwee membincangkan mengenai persoalan sama ada negara-negara Asia Tenggara akan terus mengambil pendekatan hedging (strategi kewangan) ketika persaingan antara Amerika Syarikat (AS) dan China semakin memuncak.

Beliau berkata, bayangan ketidakpastian di rantau ini bermakna ketika persaingan kuasa menjadi lebih sengit, negara-negara yang rasional biasanya memperdalam strategi hedging mereka kerana pelbagai senario ‘untuk berjaga-jaga’.

Di Asia Tenggara, ketidakpastian ini berkait rapat dengan kemungkinan China yang lebih tegas, risiko kembalinya bekas Presiden, AS, Donald Trump dan sebarang perubahan dramatik dalam konfigurasi kuasa global.

Tambah beliau, strategi hedging negara-negara Asia Tenggara bermakna tiada negara yang mahu berpihak kepada satu kuasa terhadap kuasa lain. Ini membantu memastikan berkecualian ASEAN, mengekalkan autonomi Asia Tenggara dan mengelakkan polarisasi serantau, sambil mengekalkan ruang bagi negara-negara yang berkepentingan pelbagai untuk terus menjalin kerjasama yang inklusif di seluruh rantau ini.

Turut memberikan ucapan ialah Prof. Madya Dr. Nurhaizal Azam Arif dari Hiroshima City University. Beliau memperkatakan mengenai bagaimana kawasan Indo-Pasifik menjadi medan utama dengan persaingan strategik antara AS dan China berlaku, yang menyerlahkan persaingan sengit antara dua kuasa besar dalam landskap strategik ini.

Ujar beliau, Lautan Hindi dan Lautan Pasifik telah lama diabaikan tetapi kini menjadi pusat perbincangan geopolitik, terutamanya berkaitan slogan ‘bebas dan terbuka’. Kehadiran China yang semakin meningkat di perairan ini mencerminkan usahanya untuk mendapatkan sumber tenaga dan memperkukuh hubungan perdagangan.

Washington sedang bertindak balas terhadap cabaran China terhadap kepentingan ekonomi, nilai dan keselamatannya dengan langkah-langkah tegas, termasuk melalui Rangka Kerja Ekonomi Indo-Pasifik (IPEF), satu inisiatif yang melibatkan 13 negara untuk menubuhkan sistem perdagangan di Asia yang mencerminkan prinsip ekonomi dan kuasa AS.

Beliau juga menyebut bahawa situasi yang dikenali sebagai ‘perangkap Thucydides’, istilah yang diperkenalkan oleh Graham Allison, boleh berlaku di mana ketegangan yang meningkat antara kuasa dominan (AS) dan kuasa yang sedang meningkat (China) boleh membawa kepada konflik ketenteraan jika tidak ditangani dengan berhati-hati.

Persidangan yang membuahkan banyak dapatan kajian baharu yang akan diterbitkan ini berjaya hasil kerja keras jawatankuasa yang diketuai oleh Prof. Madya Dr. Mohammad Zaki Ahmad selaku Pengarah Institut Hal Ehwal Antarabangsa dan Diplomasi Asia (AIIAD), UUM.-UTUSAN

PENULIS ialah penganalisis isu isu semasa.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN