Malaysia Madani bukan konsep tangkap muat

Malaysia Madani bukan konsep tangkap muat

MALAYSIA Madani menjadi asas untuk membentuk sistem pentadbiran bermanusiawi serta memacu ke arah masyarakat maju dan berdaya saing.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Sejak akhir-akhir ini, aura ketegasan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semakin terserlah. Pengumuman beliau terhadap pembatalan permohonan lawatan sebuah agensi kerajaan ke luar negara menarik perhatian segenap masyarakat Malaysia.

Apa yang mengejutkan ialah pembatalan tersebut dilakukan walaupun tiket penerbangan dan hotel bagi 68 orang pegawai telah dibuat.

Sebagai pemimpin negara yang menzahirkan konsep Malaysia Madani, beliau mengambil keputusan tersebut kerana adanya percanggahan dengan aspirasi yang dihasratkan dalam kerajaan.

Sejak memegang tampuk pemerintahan, Anwar menekankan usaha mewujudkan Malaysia yang berwajah baharu. Iaitu Malaysia sebagai sebuah negara yang lebih makmur dan sejahtera, dengan berlandaskan enam nilai teras utama iaitu kemampanan, kesejahteraan, daya cipta, hormat, keyakinan dan ihsan secara holistik serta bersepadu dapat memungkinkan kejayaan aspirasi Malaysia Madani.

Dalam usaha mencapai hasrat tersebut, Perdana Menteri sering menyuarakan tentang reformasi tatakelola pentadbiran. Kita perlu faham sesebuah negara atau kerajaan ditadbir urus dengan jentera kerajaan seperti kementerian, agensi kerajaan dan syarikat-syarikat yang ditubuhkan. Setiap satunya mempunyai objektif dan fungsi yang berbeza, tetapi disepadukan agar pentadbiran negara berjalan secara terurus dan sistematik.

Namun demikian, kemungkinan berlakunya kesilapan atau kepincangan tetap wujud dalam mana-mana pentadbiran, walaupun sehalus kuman. Bak kata peribahasa Melayu, ‘tiada laut yang tidak berombak’. Manusia ini bukanlah sempurna. Kesilapan atau kepincangan boleh berlaku secara sedar dan tanpa sedar.

Di negara ini, masalah ketidakcekapan yang berpanjangan menyebabkan beberapa agensi kerajaan terpalit dengan isu-isu yang kurang menyenangkan. Misalnya, dalam Laporan Ketua Audit Negara 2022, terbongkar isu ‘kerugian’ dana awam yang tidak sepatutnya berlaku. Kerugian tersebut bukanlah bernilai sekupang ataupun dua kupang. Tetapi mencecah ratusan juta ringgit.

REFORMASI
Pendedahan isu ini seolah-olah menggambarkan pengurusan pentadbiran negara tidak berada di landasan yang betul dan boleh mengganggu kepercayaan rakyat.

Maka, untuk menangani masalah inilah, Perdana Menteri bertekad melaksanakan reformasi tatakelola pentadbiran untuk memulihkan kepercayaan rakyat. Reformasi tatakelola pentadbiran yang dimaksudkan ialah pemulihan serta penambaikan terhadap sistem pentadbiran dengan berlandaskan prinsip-prinsip ketelusan, kebertanggungjawaban, kecekapan dan keberkesanan.

Reformasi ini amatlah perlu bagi memastikan prosedur kerja dan mekanisme lapuk yang telah lama ‘bersarang’ serta membebankan kerajaan dan rakyat dalam jentera kerajaan disingkirkan.

Bahkan melalui reformasi, usaha-usaha penambahbaikan dasar, prosedur kerja, pengukuhan etika serta nilai murni dapat diperkukuhkan. Hanya dengan ini, satu bentuk pentadbiran baharu yang efektif, cekap, progresif, berdisplin dan berintegriti tinggi dapat diwujudkan.

Dalam pada itu, pembatalan lawatan itu merupakan satu contoh terbaik pihak kerajaan memandang serius terhadap mana-mana isu atau perkara yang boleh mengganggu kelancaran reformasi tersebut. Dalam soal ini, ia melibatkan penggunaan dana awam.

Dalam konteks kerajaan pusat, dana awam merupakan hasil, pinjaman, amanah dan wang lain serta semua bon debentur atau cagaran yang dikumpul atau diterima, sama ada oleh/atau/bagi kerajaan Persekutuan.

Sejak ditubuhkan, kerajaan Malaysia Madani senantiasa memastikan dana awam digunakan dengan sebaik-baiknya. Hanya dasar dan rancangan yang memberikan manfaat kepada rakyat jelata diberikan keutamaan. Pihak kerajaan tidak mahu berlakunya sebarang ketirisan wang kerajaan dan pembaziran yang sewenang-wenangnya.

Ketidakcekapan dalam penggunaan dana awam boleh mengundang risiko rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa.

Selaras dengan konsep Malaysia Madani, kita boleh dengar pemimpin-pemimpin kerajaan menyentuh tentang soal kepentingan untuk berbelanja dengan cermat. Perbelanjaan yang cekap dan terurus dapat membantu pihak kerajaan mengurangkan kadar hutang negara.

Selepas perubahan kerajaan berikutan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), dapat dilihat dengan jelas dampak terhadap pentadbiran berasaskan konsep Malaysia Madani. Kadar hutang baharu kerajaan mula berkurangan setiap tahun.

Pada tahun ini sahaja, jumlah hutang baharu berkurangan kepada RM86 bilion. Ini merupakan penyusutan sebanyak RM14 bilion, berbanding tahun sebelum yang berada pada nilai RM93 bilion.

Pengurangan yang begitu besar adalah satu petanda yang sangat baik. Pada masa yang sama, pengurusan dana awam yang lebih baik membantu kerajaan untuk melangsaikan hutang terdahulu secara berperingkat. Dijangkakan kerajaan akan membayar untuk tahun ini berjumlah RM97 bilion, RM89 bilion (2025) dan RM97 bilion (2026). Jika pembayaran tersebut dilaksanakan tanpa sebarang masalah, besar kemungkinan jumlah hutang negara akan menurun menjelang 2027.

Pengurusan pentadbiran kerajaan Madani yang cekap dan efisien berjaya membuktikan konsep Malaysia Madani bukanlah sesuatu konsep yang bersifat tangkap muat yang hanya untuk mengaburi mata rakyat Malaysia. Sebaliknya, ia menjadi satu asas kuat untuk membentuk sistem pentadbiran bermanusiawi dan memacu ke arah masyarakat yang maju serta berdaya saing, seiring dengan prinsip-prinsip Rukun Negara.-UTUSAN

DR. M. Jayakumary ialah Pensyarah Akademik Jabatan Sains Sosial, Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM), Kampus Ipoh.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN