KOM terima 60 permohonan jadi jurulatih 

KOM terima 60 permohonan jadi jurulatih 

Olahraga Malaysia (MA) meminta agar kerajaan membina stadium khas untuk sukan olahraga. - UTUSAN/AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) menerima sebanyak 60 permohonan daripada luar dan dalam negara untuk menjadi ketua jurulatih enam disiplin sukan tersebut.

Pengarah Teknikal Kejurulatihan KOM, Robert Ballard berkata, setakat ini pihaknya telah menyenarai pendek senarai calon berpotensi, namun masih menunggu keputusan Majlis Sukan Negara (MSN) meluluskan permohonan peruntukan.

Jelasnya, proses temuduga calon hanya dapat dilakukan selepas KOM mengetahui jumlah peruntukan yang diluluskan MSN.

“Sebanyak 60 permohonan berminat menjadi ketua jurulatih untuk enam disiplin, namun saya tidak dapat memberitahu jumlah tersebut mengikut pecahan. Ada calon dari luar negara tetapi saya tidak boleh beritahu dari negara mana cukup sekadar dari lapan negara.

“Kami telah meneliti permohonan dan calon yang memohon amat mengujakan. Bagaimanapun, kami masih menunggu pengesahan bajet daripada MSN untuk mengetahui meliputi berapa orang jurulatih. 

“Apabila sudah mengetahuinya, kami dapat mengetahui jawatan mana yang perlu diberi keutamaan. Mana jawatan yang tidak meliputi atau mencukupi daripada bajet tersebut, KOM akan mencari dana dari luar menerusi penajaan.

“Jadi, semuanya bergantung kepada berapa peruntukkan yang akan diberikan oleh MSN nanti,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.

Enam disiplin tersebut adalah pecut dan lari berganti-ganti, lari berpagar, lari jarak jauh, lompat jauh, lompat kijang, lompat tinggi dan lompat bergalah, balingan merangkumi baling tukul besi, lempar cakera, lontar lembing serta lontar peluru dan lumba jalan kaki.

Dalam pada itu, Ballard turut berharap agar MSN dapat meluluskan peruntukan dengan segera memandangkan calon yang memohon tersebut berkemungkinan dilamar oleh negara lain.

“Keutamaan kami adalah tidak melepaskan mereka kerana sudah tentu semua calon ini turut menghantar permohonan mereka di tempat lain,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN