PROGRAM Bual Bicara Bersama Menteri (IMC) anjuran Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) bertemakan Mengupayakan Perladangan dan Komoditi Negara, Sejahterakan Rakyat diadakan pada 2 September lalu. Sesi temu bual eksklusif itu menampilkan tetamu jemputan, Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani.
Program itu dihadiri seramai 600 orang yang terdiri daripada penjawat awam, pemain industri perladangan dan komoditi, persatuan dan ahli dewan perniagaan, para akademik serta badan-badan berkanun.
Dalam sesi temubual interaktif selama dua jam itu, Johari memberikan penjelasan yang melibatkan dasar-dasar kerajaan terkini, kesedaran tentang cabaran dan peluang serta membincangkan inisiatif kerajaan untuk meningkatkan daya saing selain kemapanan sektor perladangan dan juga komoditi negara.
Beliau turut menekankan kepentingan pengurusan dan tatakelola yang baik dalam memastikan keberkesanan kementerian sebagai pemudah cara kepada pemain industri serta pemegang taruh yang terlibat.
Aspek ini amat penting dalam menentukan peranan kementerian memacu pengeluaran yang seterusnya memastikan kelangsungan eksport hasil perladangan dan komoditi negara.
Lantaran itu, terdapat tiga hala tuju utama yang digariskan kementerian bagi tujuan tersebut.
Pertama, melalui konsolidasi pekebun kecil dari aspek pengkomersialan, pengurusan optimum dan peningkatan hasil serta produktiviti.
Kedua, melaksanakan skim Pensijilan Kebangsaan yang menumpukan pengiktirafan, agrikomoditi mapan serta pemeliharaan biodiversiti.Ketiga, mengamalkan pendekatan praktikal dengan amalan libat urus berterusan, misi dan strategi pemasaran yang efektif.
Selain itu, Johari juga turut menekankan iltizam dan usaha kementeriannya bagi memastikan industri kelapa sawit yang menjadi komoditi terbesar negara tidak ditimpa nasib sama seperti industri getah dan koko yang kini kerajaan terpaksa mendapatkannya secara import dari negara pengeluar yang lain.
Oleh yang demikian, komoditi kelapa sawit terutamanya akan terus diperkasakan secara terus menerus melalui pendekatan strategik.
PULANGAN BESAR
Kementerian juga akan membantu semua pihak berkepentingan, dengan keutamaan khusus untuk mempertingkatkan kapasiti dan kapabiliti pekebun-pekebun kecil ladang kelapa sawit tanpa meminggirkan lain-lain komoditi sedia ada.
Sebagai pulangan, kerajaan akan mendapat hasil pendapatan lumayan melalui pengeluaran perladangan dan komoditi. Ini terbukti apabila nilai eksport dan produk berasaskan komoditi dianggarkan berjumlah sekitar RM160 bilion pada setiap tahun dengan hasil terbesar melalui industri minyak sawit iaitu melebihi RM100 billion.
Selainnya disumbangkan oleh hasil pengeluaran lain-lain komoditi pertanian di bawah Kementerian Perladangan dan Komoditi seperti getah, kayu balak, koko, lada, tembakau dan kenaf.
Ini menjadikan sumbangan sektor tersebut berjaya menjana pendapatan sehingga mencecah lebih RM20 hingga RM25 billion setahun melalui hasil cukai kerajaan.
Secara keseluruhan, sektor perladangan dan komoditi telah menyumbang sebanyak RM83.16 bilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara bagi tahun lalu. Perkara ini membuktikan sektor komoditi dan perladangan tempatan masih relevan, berdaya saing dan berupaya menawarkan peluang pekerjaan yang menarik kepada warga tempatan.
Beliau juga turut menjelaskan isu-isu terkini sektor perladangan dan komoditi yang dibangkitkan peserta. Antara isu itu berkaitan kestabilan harga komoditi berdasarkan permintaan serta penawaran, kapasiti tenaga kerja tempatan, cabaran perubahan iklim, pengadaptasian teknologi terkini, kepentingan pendidikan awal, advokasi tentang perladangan dan komoditi.
Johari juga turut menyentuh kemajuan penyelidikan dan pembangunan (R&D) yang menyokong perladangan, komoditi serta inisiatif-inisiatif yang dilaksanakan oleh kementerian bagi membantu pekebun-pekebun kecil.
Penekanan terhadap pengurusan ladang yang optimum juga kritikal bagi memastikan ia dilaksanakan secara komersial berdasarkan pasaran dan permintaan antarabangsa. Ini hanya boleh dicapai melalui peningkatan produktiviti tenaga kerja sektor perladangan dan komoditi negara yang seterusnya meningkatkan hasil komoditi tersebut.
Beliau turut mengingatkan dalam pasaran dunia kini, pengiktirafan serta pematuhan piawaian antarabangsa tidak boleh dielakkan yang seterusnya dapat memacu industri ini supaya kekal berdaya saing dan mapan.
INTAN mengharapkan penganjuran IMC ini memberikan cetusan idea serta pemahaman menyeluruh terhadap perkembangan terkini sektor perladangan dan komoditi di Malaysia, termasuk peranan kementerian dalam menentukan hala tuju yang cemerlang bagi sektor tersebut.
Adalah diharapkan cetusan Dasar Agrikomoditi Negara (DAKN 2021-2030) yang sedang direncanakan berupaya untuk memberikan kesejahteraan rakyat melalui pertumbuhan ekonomi yang inklusif, berdaya saing dan lestari.-UTUSAN
DR. Faizal Zainudin ialah Ketua Program Diploma Pascasiswazah Pengurusan Awam, Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN).











