PETALING JAYA: Sukan bola sepak di negara ini akan terus mengucup malah tidak banyak bakat baharu dapat dilahirkan sekiranya masalah tunggakan gaji pemain kelab Liga Malaysia (Liga M) gagal diselesaikan.
Bekas pemain kebangsaan, Datuk Jamal Nasir tidak menolak kemungkinan suatu hari nanti tidak ramai yang mahu menjadikan bola sepak sebagai karier profesional kerana bimbang akan berdepan dengan masalah tunggakan gaji.
“Siapa berani nak main bola sepak kalau selalu sangat berlaku tunggakan gaji. Tiada duit nak makan nak bayar sewa rumah dan kereta pun tidak mampu. Duit simpanan tiga empat bulan pun habis bayar komitmen.
“Liga kita semakin teruk. Kebajikan pemain tidak dijaga dan sebab itu mentaliti mereka tidak boleh bermain bersungguh-sungguh. Mereka nak main bola pun tak dapat nak fokus kerana fikir kereta dah kena tarik atau belum, contoh,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.
Isu tunggakan gaji membabitkan kelab Liga M seakan tiada kesudahan apabila setiap tahun isu yang sama pasti berlaku dan ia turut berlaku di liga bawahan sekali gus memberi tanggapan negatif kepada sukan bola sepak.
Bekas pemain skuad Olimpik Moscow 1980, Jamal turut memberitahu sebahagian ibu bapa menyedari bola sepak sudah tidak mampu memberi jaminan seperti yang diharapkan lantas menyarankan anak mereka untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat tertinggi.
“Satu tahap mereka akan minta anak mereka berhenti bermain bola sepak dan sambung pelajaran. Saya sendiri pernah dipanggil ke AMD (Akademi Mokhtar Dahari) untuk memberi ceramah dan kebanyakan ibu bapa sedar anak-anak mereka perlu ada sijil pendidikan untuk mencari pekerjaan.
“Saya juga ada beritahu kepada mereka untuk jadikan bola sepak ini untuk mengisi masa lapang dan bukan sebagai profesion. Bola sepak tanpa pendidikan amat sukar sebab itu ada yang bekerja sebagai penghantar makanan atau mencuci kenderaan jika mereka terkandas di tengah jalan,” katanya.
Sementara itu, Pensyarah Kanan Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi UiTM Shah Alam, Mohd Sadek Mustafa, berpendapat setiap pemain bola sepak perlu mempunyai pelan kontinjensi jika mahu menjadikannya sebagai karier. – UTUSAN










