Datang kerja atau datang bekerja?

Datang kerja atau datang bekerja?

SIKAP dan nilai pegawai dalam organisasi menjadi penentu kecekapan pengurusan bagi mencapai kejayaan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KONSEP dalam bekerja ialah kehadiran ke tempat kerja. Namun begitu, kehadiran ke tempat kerja berubah seiring dengan perubahan teknologi. Jika dahulu, kehadiran ke tempat kerja memerlukan seseorang mencatat kehadiran dalam buku rekod tetapi berubah kepada imbasan ibu jari dan imbasan muka.

Hari ini, kehadiran ke tempat kerja bertambah canggih apabila seseorang itu hanya mencatatkan kehadiran melalui aplikasi teknologi digital. Hal ini boleh dilakukan di mana-mana sahaja oleh seseorang pekerja. Perubahan ini membawa kepada beberapa perubahan seperti sistem pengurusan dan tatakelola. Namun begitu, falsafah dan prinsip bekerja itu masih kekal, iaitu kerja itu sebagai amanah.

Seseorang pekerja walau apa pun kedudukan hierarkinya, mereka ialah seorang pemimpin. Ketua Setiausaha Negara (KSN) dalam Majlis Aspirasi KSN pada 10 September lalu mengingatkan hal ini dengan potongan hadis Nabi Muhammad SAW yang bermaksud “Setiap daripada kamu adalah pemimpin dan setiap daripada kamu bertanggungjawab atas kepimpinannya.”

​Semua pegawai kerajaan mesti melaksanakan tanggungjawab dan amanah yang dipertanggungjawabkan dengan sebaik mungkin. Dasar dan peraturan perlu dipatuhi, di samping berpegang teguh dengan nilai integriti dan etika. Setiap tindakan atau keputusan yang dilaksanakan adalah jelas akan salah atau benar, matlamat juga tidak menghalalkan cara.

Sehubungan dengan ini, gaya hidup melambangkan imej seseorang pegawai perkhidmatan awam. Oleh itu, peringatan KSN kepada pegawai perkhidmatan awam tentang integriti, etika serta akan dipertanggungjawabkan, amat penting untuk sama-sama renungi dan diinsafi.
Peringatan ikhlas itu mesti disambut dengan pemikiran yang jernih dengan mengambil sikap kesederhanaan dan kebijaksanaan sebagai penjawat awam.

Nilai ini juga menyokong Strategi Keberhasilan Reformasi, iaitu membangunkan nilai patriotisme penjawat awam kerana kualiti kerja yang tinggi, akauntabiliti dan berintegriti menjadi lambang patriotisme pegawai perkhidmatan awam terhadap negara apabila menghindari penyelewengan dalam menjalankan tugas.

​Sehubungan dengan ini, pegawai perkhidmatan awam hendaklah sentiasa datang bekerja sebagai seorang pemimpin yang mempunyai amanah dan sedia dipertanggungjawabkan. Menerusi penetapan minda, datang bekerja sebagai pemimpin menjadikan mereka sedar tentang akauntabiliti. Dengan ini, mereka akan memanfaatkan setiap detik dan saat untuk melaksanakan tugas yang menjadi amanah. Minda demikian akan memajukan perkhidmatan awam di negara ini.

​Setiap orang dalam sesebuah organisasi amat penting. Sikap dan nilai pegawai dalam organisasi menjadi penentu kecekapan pengurusan sesebuah organisasi bagi mencapai kejayaan.

Dengan ini, ‘datang kerja’ dan ‘datang bekerja’ merupakan dua frasa yang berbeza. ‘Datang kerja’ bermakna hadir ke tempat kerja, iaitu mencatatkan kehadiran sama ada secara mencatat dalam rekod, mengetip kad kedatangan, imbasan ibu jari, imbasan muka atau catatan dalam aplikasi digital. Selepas mencatat kehadiran, pegawai keluar bersarapan atau membaca surat khabar mahupun membaca Whatsapp. Kemudian, jika sudah ada rakan lain, pegawai bersembang dan berdebat tentang isu-isu yang tiada kaitan dengan tugas masing-masing mahupun bergosip.

Hakikatnya, situasi ini menunjukkan pegawai tidak pun bekerja tetapi memang diakui sudah berada di tempat kerja. Kemudiannya, apabila mula melaksanakan kerja, tugas yang dibuat juga sekadar yang ada dan mengambil pendekatan menantikan arahan. Oleh hal demikian, pegawai juga mengambil sikap meminimumkan kerja. Gejala ini merupakan sikap dan nilai yang menjadi cabaran dalam mengurus organisasi selain tidak membawa impak kejayaan pada organisasi.

​Sebaliknya, organisasi memerlukan pegawai yang ‘datang bekerja’ sama ada hadir ke pejabat atau hanya mencatatkan kehadiran menerusi aplikasi digital kerana berada jauh daripada pejabat dan pengawasan pegawai atasan. Pegawai yang ‘datang bekerja’ akan terus sahaja menguruskan segala tugasan apabila hadir bekerja malah, tugasan yang dilaksanakan itu pula dilaksanakan dengan strategi dan tertib kerja yang kemas.

Pegawai yang ‘datang bekerja’ akan sentiasa bertenaga dan berfikiran positif. Budaya kerja pegawai juga tidak memfokuskan isu tetapi penyelesaian masalah. Malah, pegawai itu memiliki sikap positif dalam bekerja, iaitu biar terlebih bekerja daripada terkurang bekerja akan membawa kepada dosa yang akan dipertanggungjawabkan. Selain itu, pegawai ini mendepani cabaran dengan tindakan yang bersifat mencabar proses. Oleh itu, budaya kerja yang kreatif dan inovatif berkembang maju dalam organisasi.

BUDAYA PEMBAZIRAN
​Perbincangan berkaitan budaya ‘datang kerja’ atau ‘datang bekerja’ amat terkait dengan nilai integriti dan pembaziran. KSN menyebutkan bahawa antara cabaran perkhidmatan awam ialah budaya pembaziran. Sekiranya budaya ‘datang kerja’ tidak ditangani dengan ‘datang bekerja’, tentu berlakunya pembaziran pada negara dan perkhidmatan awam dari aspek masa dan wang. Oleh itu, pegawai perkhidmatan awam perlu mempunyai penetapan minda yang betul terhadap kerjaya masing-masing.

KSN menunjukkan contoh baik apabila sanggup turun padang tanpa diiringi ramai pegawai dari ibu pejabat. Namun begitu, tinjauan yang dibuat itu juga membolehkan beliau mengumpulkan pelbagai dapatan malah, dapatan yang ditemui itu pula disebut dan diarah untuk tindakan.
​KSN ‘datang bekerja’ bukan terhad dengan memasuki pejabat yang tersergam indah dan udara yang nyaman. Sebaliknya, hadir dalam situasi sebenar yang dipenuhi kesesakan dan hiruk-pikuk pelanggan perkhidmatan awam.

Usaha itu menemukan segala persoalan dan isu dalam pengurusan perkhidmatan awam yang mencetuskan idea dan kebijaksanaan dalam memastikan sistem penyampaian kerajaan terlaksana dengan berkesan. Oleh hal demikian, ‘datang bekerja’ ini semata-mata atas keinsafan bahawa ada amanah besar di sebalik jawatan, pangkat dan gred.-UTUSAN

DR. Mohd. Azam Ahmad ialah Rektor Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN