KUALA LUMPUR: Kontinjen Malaysia bakal kehilangan sekurang-kurangnya 16 pingat pada Sukan Komanwel Glasgow 2026 berikutan penguguran beberapa sukan yang menjadi ‘lubuk’ seperti badminton, terjun dan skuasy dalam temasya versi kecil berkenaan.
Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata beliau Malaysia menghormati keputusan tuan rumah kerana negara penganjur berhak dan memiliki fleksibiliti untuk menawarkan acara yang hendak dipertandingkan pada temasya tersebut.
“MSN (Majlis Sukan Negara) telah melihat pengumuman semalam (kelmarin) dan jangkaan awal, Malaysia akan kehilangan 16 pingat dalam sukan yang digugurkan. Sebelum ini Persekutuan Sukan Komanwel (CGF) menawarkan kita menjadi hos dan kita menolak walaupun sudah memberi geran, namun ia tidak mencukupi.
“Jadi kita sekarang ada hos baru dan itu adalah hak mereka untuk tentukan sukan apa yang mereka hendak tawarkan. Bagaimanapun, kita ada sukan yang berpotensi seperti angkat berat dan boling padang,” kata Hannah kepada pemberita Majlis Perasmian Program ISNEXT 2024, di sini, semalam.
Kelmarin, Glasgow menggugurkan sukan badminton, terjun, skuasy, kriket T20, hoki, mendayung, ragbi tujuh sebelah dalam usaha mereka mengurangkan kos penganjuran temasya berkenaan.
Malaysia sebelum ini turut ditawarkan menjadi tuan rumah selepas Victoria menarik diri, namun kerajaan menolaknya selepas mengambil kira kos penganjuran yang terlampau tinggi.
Dalam pada itu, Hannah berkata, Malaysia akan terus memberi sokongan sepenuhnya terhadap penganjuran Sukan Komanwel.
Beliau menegaskan tidak ada keperluan untuk memboikot memandangkan kontinjen negara mempunyai atlet terbaik untuk menyertai temasya empat tahun sekali itu.
“Tidak adil jika kita boikot. Kita ada atlet seperti dalam sukan angkat berat dan boling padang yang telah kita laburkan untuk menjalani latihan.
“Kita harus tetap hantar mereka, memberi peluang kepada mereka yang berpotensi membawa pulang pingat,” akurnya. – UTUSAN










