Dalam kehidupan seharian, kita mungkin terdengar sesuatu sedang diperbualkan oleh orang lain.
Istilah bahasa Inggeris ‘overhear’ memberi gambaran lebih tepat mengenai orang yang sedang berbual tetapi tidak tahu butir perbualan mereka sampai ke telinga orang lain secara tidak sengaja.
Perkara sama tentu kita biasa tonton dalam filem dan drama atau baca dalam buku cerita. Motif ‘terdengar’ memang sudah beribu-ribu tahun digunakan dalam budaya dan tamadun manusia di seluruh dunia.
Harus dinyatakan bahawa konsep motif yang disebut di atas bukan terjemahan daripada perkataan motive dalam bahasa Inggeris. Sebaliknya, daripada perkataan motif.
Maknanya, motif yang dimaksudkan dalam perbincangan ini bukan berkaitan perkara yang mendorong seseorang melakukan sesuatu. Sebaliknya, merujuk corak atau pattern yang berulang.
Saya perhatikan kehadiran motif atau corak berulang ini sewaktu mendengar mendiang ibu bercerita semasa saya masih kanak-kanak pada 1970-an.
Kemudian, pada 1980-an, apabila sudah mampu membaca buku-buku cerita rakyat dari seluruh dunia (dalam bahasa kebangsaan dan Inggeris) di perpustakaan sekolah rendah dan menengah, saya menyedari kehadiran pelbagai motif.
Sewaktu melanjutkan pengajian di Universiti Malaya (UM) pada 1990-an dan rajin menekuni lebih banyak buku kajian cerita rakyat di perpustakaan, saya mampu menggunakan ilmu dan teori untuk memahami motif dalam cerita.
Salah satu motif dalam cerita rakyat yang menarik perhatian saya sejak kanak-kanak ialah motif ‘terdengar’.
Sama ada semasa mendiang ibu bercerita atau apabila membaca buku cerita rakyat, unsur ketegangan muncul apabila watak utama berdepan keadaan buntu.
Saya yang sedang mendengar atau membaca cerita akan tertanya-tanya bagaimana ibu atau penulis akan menggerakkan cerita seterusnya. Pada saat itulah tiba-tiba muncul motif ‘terdengar’ yang akan berjaya mengatasi dan meleraikan kekusutan serta kebuntuan yang wujud dalam cerita.
Saya berkenalan dengan teknik deus-ex-machina (dewa dari mesin) apabila mengikuti bengkel penulisan kendalian allahyarham Dr. Othman Puteh pada 1991.
Konsep itu yang berasal daripada amalan teater Yunani kuno merujuk situasi di mana watak dewa tiba-tiba muncul dan menyelesaikan masalah yang tidak mampu ditangani watak utama.
Memandangkan saya gemar membaca cerita rakyat dari pelbagai negara sejak kecil, saya perhatikan penggunaan motif ‘terdengar’ dalam budaya masyarakat tanpa mengira batas geografi, bahasa, agama dan sejarah.
Biasanya, watak utama menghadapi kebuntuan kerana tidak mampu mencari jawapan bagi suatu masalah. Dalam bidang penulisan, istilah digunakan ialah impasse daripada bahasa Perancis yang merujuk situasi tersekat, terhalang dan tidak ada peluang meneruskan perjalanan.
Dalam situasi itulah tiba-tiba watak utama berpeluang ‘terdengar’ suatu perbualan yang membantunya mengatasi masalah.
Mungkin maklumat itu membolehkannya terlepas daripada hukuman berat, mengelakkan kematian diri atau watak lain, mencari penawar bagi penyakit, mendapatkan jawapan bagi teka-teki yang terlalu rumit, memperoleh kekayaan, bertemu pasangan dan bermacam-macam lagi.
Semua penyelesaian itu muncul secara tiba-tiba apabila watak utama yang kebuntuan ‘terdengar’ perbualan dua individu. Pihak yang berbual pula tidak sedar orang lain (watak utama) boleh mendengar perbualan mereka.
Individu yang sedang berbual itu biasanya dua orang. Misalnya, dua perompak berbual di bawah pokok tentang tempat hasil rompakan disembunyikan tanpa menyedari watak utama (hero) sedang duduk di atas pokok.
Mungkin juga dua ekor burung atau raksasa, sama ada pasangan suami isteri, sahabat atau ibu dan anak. Sering juga bidadari kayangan terlibat dalam perbualan itu.
Watak utama akan mendapat jawapan bagi teka-teki, ubat untuk menyembuhkan penyakit raja atau puteri, tempat harta tersembunyi, malapetaka yang bakal melanda negeri, perihal puteri yang perlukan bantuan dan bermacam-macam lagi.
Kesemua maklumat itu disampaikan menerusi motif ‘terdengar’. Secara lojik, jika watak utama tidak berada di tempat berkenaan dan tidak berpeluang mendengar perbualan itu, maka plot atau jalan cerita akan terhenti di situ sahaja.
Semacam ada unsur cliffhanger atau babak tergantung yang membuatkan pendengar turut tertanya-tanya dan mahu tahu apa akan berlaku seterusnya. Samalah seperti dalam filem dan drama moden.
Sejak kecil, saya kagum dengan kemampuan ibu menggunakan motif terdengar untuk meleraikan kekusutan dan kebuntuan dalam cerita yang disampaikan.
Tentulah cerita-cerita itu pula didengarnya daripada orang tua. Namun, saya percaya, kemampuan bercerita (secara lisan atau bertulis) turut memainkan peranan dalam terus mencengkam minat pendengar atau pembaca, sama ada kanak-kanak, remaja atau dewasa.
Motif itu turut saya gunakan apabila melakukan penceritaan semula cerita rakyat India dalam buku Nari! Nari! (1995) dan Munis Dengan Harimau (1996).
Projek buku Katha Sarit Sagara (2023) juga sarat dengan motif ‘terdengar’. Misalnya, kisah Vararuci berada di atas pokok dan terdengar raksasa berbual dengan anaknya.
Saya perhatikan motif sama dalam cerita rakyat dari India, Nusantara, China, Eropah, Afrika dan Amerika. Tentulah hal ini berlaku kerana budaya ‘terdengar’ memang wujud dalam semua masyarakat.
Sebagai contoh, kisah seorang pemuda disumpah menjadi buta. Dia duduk di bawah sebatang pokok dan terdengar perbualan sepasang burung.
Burung itu bercerita bahawa di bawah pokok itu ada tumbuhan ajaib yang boleh menyembuhkan mata yang buta. Burung juga bercerita ada seorang puteri buta di negeri berdekatan.
Maka, pemuda itu berjaya menyembuhkan matanya. Kemudian, dia membawa tumbuhan itu ke negeri berkenaan dan menyembuhkan puteri yang buta, lalu mereka berkahwin dan hidup bahagia.
Apabila anda membaca cerita, sama ada cerita rakyat atau novel moden, cuba perhatikan motif ‘terdengar’ yang masih digunakan dalam penceritaan.-UTUSAN
PENULIS ialah pengasas Pertubuhan Sasterawan Kaum India (Kavyan).










