Wajarkah tempoh bertenang sebelum perceraian?

Wajarkah tempoh bertenang sebelum perceraian?

MALAYSIA perlu mempertimbangkan keperluan untuk menyatakan dengan jelas peraturan mengenai tempoh bertenang dalam proses perceraian khususnya yang tidak melibatkan keganasan rumah tangga.-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

“Qauwwa­muna bererti memimpin supaya tegak. Membimbing supaya dapat berjalan, memapah supaya jangan jatuh! Atau menarik naik kalau sudah tergelincir jatuh. Tegak ke muka kalau bahaya datang mengancam. Mengajar kalau ilmunya masih kurang. Memujuk kalau dia dalam kesedihan. Di samping itu mencukupkan apa keperluannya, kainnya, bajunya, perhiasannya, yang sepanjang tubuh, sepanjang bayang-bayang. Itulah tugas lelaki membela perempuan. Ertinya mengikut kekuatan dan kemampuan si lelaki” – Buya Hamka

Minggu ini beberapa akhbar tempatan melaporkan berita mengenai Kementerian Hal Ehwal Sivil China kononnya mengumumkan hasrat penggubalan pindaan kepada undang-undang sedia ada di negara itu bagi mempermudahkan urusan pendaftaran perkahwinan dalam masa yang sama menyulitkan proses penceraian. Sebetulnya cadangan ini memperhalusi peraturan yang sudahpun berkuatkuasa sejak Januari 2021 dan kini diperkemaskan lagi untuk memastikan ia dapat mencapai sasaran dalam memelihara kepentingan keluarga di negara itu.

Cadangan pindaan ini menarik kerana pertama, menguar-uarkan secara terbuka bagi mendapatkan maklum balas rakyat mengenai pembentukan dasar dan penggubalan undang-undang yang akan terpakai di negara itu. Proses dan sistem sebegini memberikan peluang rakyat sesebuah negara untuk terlibat secara langsung dalam pembentukan hala tuju negara itu.

Kedua, sudah tentu pindaan yang dicadangkan dilihat sebagai pro-keluarga ketika China merekodkan penurunan kadar perkahwinan dan kadar kesuburan sedangkan terdapat trend lonjakan dalam kadar perceraian sejak pasca pandemik.

Tambahan pula, kebimbangan kerajaan China mengenai kadar penuaan masyarakat negara itu mewajarkan cadangan pindaan sebegini.

Secara khususnya, cadangan pindaan tersebut menyatakan bahawa setiap pendaftaran perkahwinan boleh dilakukan mengikut lokasi pasangan itu berada.

Selain itu, cadangan pindaan memberi penekanan kepada pengecualian terhadap peraturan yang menetapkan tempoh bertenang selama 30 hari selepas pemfailan perceraian, yang mana jika mana-mana pihak tidak mahu meneruskan dengan perceraian tersebut, mereka boleh menarik balik permohonan itu bagi menamatkan proses perceraian.

Harus ditegaskan bahawa pindaan yang dicadangkan akan mengkhususkan bahawa tempoh bertenang ini tidak akan terpakai dalam permohonan perceraian yang melibatkan tuduhan keganasan rumah tangga.

Asalnya, peraturan bagi memastikan tempoh bertenang ini dipenuhi adalah bertujuan untuk mempromosikan kepentingan perkahwinan dan keluarga, mengurangkan perceraian yang dilakukan secara beremosi tanpa berfikir panjang, menegakkan kestabilan sosial dan melindungi hak-hak pihak yang terlibat dengan lebih baik.

Malah langkah ini turut merealisasikan penekanan kepada pemeliharaan tumbesaran anak-anak pasangan yang ingin bercerai, yang mana sebetulnya sudahpun menjadi amalan biasa di mahkamah sivil yang menguruskan perceraian di China.

Hakikatnya, perceraian tidak hanya memberikan trauma dan kesan panjang kepada pasangan yang ingin bercerai tetapi juga kepada anak-anak mereka. Malah, kesan buruk perceraian ibu bapa termasuklah dalam peningkatan kes delinkuen dan jenayah dalam kalangan kanak-kanak, serta penurunan prestasi akademik mereka. Setiap kes penceraian pasangan yang melibatkan anak-anak yang lahir semasa tempoh perkahwinan harus ditangani dengan lebih baik.

Sejak tempoh bertenang ini berkuat kuasa pada tahun 2021, data yang dikeluarkan oleh Kementerian Hal Ehwal China menunjukkan terdapat 70 peratus penurunan dalam pemfailan perkahwinan. Pun begitu, aktivis hak wanita mengecam peraturan tempoh bertenang ini kerana dilihat sebagai memperkecilkan hak wanita untuk membuat keputusan autonomi dalam kehidupan berkeluarga mereka.

Bantahan aktivis hak wanita semakin lantang sejak 2023 apabila terjadi kes pembunuhan yang dilakukan oleh suami dalam tempoh bertenang selepas isteri memfailkan permohonan perceraian.

Pada bulan April lalu, mahkamah China menjatuhkan hukuman mati terhadap seorang lelaki yang disabitkan bersalah atas kesalahan membunuh isterinya pada Julai 2023 ketika pasangan itu berada dalam tempoh bertenang yang dikuatkuasakan di negara itu.

Fakta kes menunjukkan bahawa si isteri memfailkan perceraian pada awal Julai 2023 namun atas permintaan si suami untuk berjumpa, dia dan enam orang wakil keluarganya mengadakan perjumpaan bersama si suami di kawasan taman perindustrian. Apabila mereka hadir ke perjumpaan itu, suaminya meluru ke arah si isteri dan menikamnya dengan sebilah pisau selain mencederakan beberapa orang ahli keluarga isteri yang turut hadir.

KAJI SEMULA
Kejadian seumpama ini mewajarkan pertimbangan semula dalam memperhalusi pemakaian peraturan tempoh bertenang ketika proses perceraian ini.

Kelompongan dalam undang-undang wujud bagi kes di mana keganasan boleh berlaku ketika tempoh bertenang dan bukannya sebelum permohonan perceraian difailkan.

Maka, sebagai memperkemaskan lagi undang-undang yang menyasarkan pengukuhan masyarakat China sebagai komuniti yang menyokong nilai kekeluargaan dan digambarkan sebagai ‘mesra keluarga’, pindaan undang-undang sebegini adalah mustahak.

Di Malaysia, kadar perceraian negara merekodkan peningkatan 45.1 peratus pada tahun 2023. Seharusnya jika Malaysia ingin memperkukuhkan kedudukan negara sebagai masyarakat yang juga mengutamakan nilai kekeluargaan, sudah tiba masa Malaysia perlu mempertimbangkan keperluan untuk menyatakan dengan jelas peraturan mengenai tempoh bertenang dalam proses perceraian khususnya yang mana tiada dakwaan keganasan rumah tangga berlaku dalam perkahwinan yang terlibat.-UTUSAN

PENULIS ialah pengamal undang-undang, Naib Presiden II Perikatan Wanita Antarabangsa untuk Institusi Keluarga & Pendidikan Berkualiti (WAFIQ) dan Ahli Jawatankuasa Pusat Gabungan Pertubuhan Masyarakat Sivil Malaysia (MACSA).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN