SEKURANG-KURANGNYA ada dua kaitan menarik untuk dijadikan ‘bekal’ ke Perhimpunan Agung UMNO (PAU) yang bermula hari ini selama empat hari. Bekalan yang cukup menyenangkan hati adalah ekoran kemenangan yang diraih pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Nenggiri, pada Sabtu lalu manakala satu lagi asas penting untuk dijadikan bahan perbahasan ialah tentang UMNO dan perjuangan memerdekakan tanah air. Kebetulan pula perhimpunan ini diadakan pada bulan memperingati kemerdekaan negara.
Jenama UMNO sesuatu yang istimewa dan tersendiri. Sejauh mana atau sebanyak mana hal-hal negatif cuba disangkutkan pada UMNO, namun parti itu tetap berdiri teguh dan gagah atas kekuatan yang sedia dimiliki. Sebagaimana sering diungkap, bahawa sejarah adalah kenyataan. Sesuatu yang sukar dinafi dan diketepikan.
Kemenangan besar UMNO/Barisan Nasional (BN) dalam PRK Nenggiri membawa mesej jelas bahawa parti itu tetap relevan dan masih terpahat di hati rakyat. Bukan sedikit cemuhan, kata nista serta cereka buruk dilemparkan terhadap parti itu sepanjang berlangsungnya gerakan kempen, termasuk menjurus kepada pucuk pimpinan parti, namun ternyata UMNO kekal diyakini.
Kejayaan di Nenggiri memberi makna dan impak besar. Kemenangan yang menyentuh soal moral, kredibiliti dan potensi pemulihan. Lalu, apa yang perlu dilakukan kini ialah teruskan perjuangan tanpa ragu dan silu, berbekal kepercayaan rakyat, bercagar impian tersirat demi bangsa dan tanah air. Semoga UMNO kembali segar menjadi sandaran rakyat.
UMNO melalui sejarah perjuangan yang panjang. Parti itu terlibat secara langsung dengan proses tuntutan kemerdekaan tanah air. Nama-nama tokoh seperti Datuk Onn Jaafar, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj tidak mungkin dipadamkan dalam fakta sejarah kemerdekaan. Dan, semua orang tahu, dari badan politik mana mereka terbenih dan melebarkan perjuangan.
Kemudian disambung pada era mengisi kemerdekaan. Lebih ramai tokoh-tokoh utama yang membawa kegemilangan negara baik atas nama Persekutuan Tanah Melayu dan kemudiannya bernama Malaysia, dilahirkan. Tun Abdul Razak Hussein dan Tun Dr. Ismail Abdul Rahman antara nama yang sukar dilupa. Jasa mereka kepada orang Melayu dan kaum bumiputera bukan sedikit. Perancangan berbentuk jangka panjang demi survival bangsa dan tanah air.
Segala dasar, program dan sistem menjurus kepada kepentingan peribumi. Namun pada konteks umumnya tiada elemen ketara yang menafikan hak sesiapa atau mana-mana kaum, asalkan menelusuri semangat sebagaimana yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan. Konsep yang menjadi pendekatan UMNO selaku parti yang mendominasi pemerintahan lebih enam dekad ialah konsesus, bersederhana, inklusif dan adil saksama untuk semua.
Cabaran besar bagi UMNO adalah untuk memelihara jenama dan jasa yang dicurahkan. Keunggulan UMNO perlu dipertahan dan dikekalkan. Apa jua hal, sudut atau isu yang menjadi rungutan dan cemuhan rakyat perlu diberi perhatian, dibaiki, ditangani, diurus secara tegas dan jelas.
Jangan ketepikan atau remehkan pandangan umum terhadap parti, lebih-lebih lagi dari kalangan orang Melayu. Perlu berpegang pada prinsip bahawa setiap parti politik perlukan sokongan ramai, bukan meletakkan pendirian, orang ramai mahukan atau ‘perlukan’ UMNO.
Mencipta atau membina populariti sesuatu jenama bukan semudah dapat dilakukan pada tempoh yang singkat. Apatah lagi untuk meyakinkan pengguna. Pendekatan terbaik bagi menarik perhatian dan keyakinan umum atau pengguna adalah melalui kualiti yang dapat dikekalkan secara konsisten.
Jenama bagi mana-mana produk barangan yang baik tidak boleh dikompromi dengan pengekalan mutu. Demikian juga dengan UMNO, suatu jenama parti politik yang sebelum ini memang ‘terlekat erat’ di sanubari khususnya orang Melayu.
Justeru, carilah jalan keluar atau jawapan tepat secara realistik untuk mengembalikan keyakinan umum terhadap UMNO. Langkah ini penting kerana UMNO tetap menjadi tunggak dan pohon yang tegak rimbun merendang, yang terbukti mampu gagah memayungi kemajuan negara serta kehidupan rakyat Malaysia, bukan saja orang Melayu malah meliputi semua kaum, agama juga budaya, merentasi daerah mahupun negeri.
UMNO bukan parti serpihan. Bukan parti yang dilahirkan atas sentimen dendam, emosi rajuk peribadi atau mengejar kedudukan. Juga, bukan parti berbaur perkauman yang menebal. UMNO adalah sebuah parti perjuangan berlandaskan demi bangsa, agama dan tanah air.
CABARAN BESAR
Negara semakin mencabar dengan pelbagai elemen ancaman luar dan dalaman. Jadi, struktur politik negara mesti stabil kukuh, berpijak pada landasan yang meyakinkan. Dan, apa yang terbukti, UMNO tetap ‘diperlukan’ rakyat.
Malang, jika jasa-jasa UMNO dipersia dan tidak dihargai. Ramai yang menggapai kejayaan, merubah kehidupan berkat kerangka perancangan negara yang diilhamkan UMNO.
Di bawah UMNO yang mendominasi pemerintahan negara lebih enam dekad, sistem pendidikan negara berjalan dengan jayanya. Ramai lahirnya golongan terpelajar dan berpendidikan tinggi, memenuhi keperluan modal insan yang berkualiti di pelbagai sektor.
Banyak bentuk bantuan dan khidmat sokongan disediakan bagi mengimbangi taraf ekonomi dan taraf sosial masyarakat. Sekadar contoh, tertubuhnya Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda), Majlis Amanah Rakyat (MARA), Lembaga Urusan Tabung Haji (LUTH), Pihak Berkuasa Pekebun-Pekebun Kecil Getah (RISDA), agensi-agensi pembangunan wilayah, pusat-pusat pengajian pelbagai peringkat serta banyak lagi, semuanya melambangkan kebijaksanaan serta kecaknaan barisan peneraju negara membangun negara dan mensejahterakan kehidupan rakyat.
Segenap peringkat yang mendukung UMNO perlu segera bangkit meneruskan perjuangan tanpa lesu, terencat azam dan tekad. Berhenti bukan kerana penat, tetapi pastikan segala yang diperjuangkan terus mencapai matlamat.-UTUSAN
DATUK Sayuti Mukhtar ialah Profesor Adjung Universiti Malaysia Kelantan (UMK).










