Tuduhan diktator tidak berasas

Tuduhan diktator tidak berasas

S. Ambiga semasa menjadi Pengerusi Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH) merupakan antara orang yang paling kuat menyokong Anwar Ibrahim.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BEKAS Pengerusi Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH) dan Pengerusi Majlis Peguam, Datuk S. Ambiga baru-baru ini ‘menobatkan’ Kerajaan Perpaduan yang mentadbir negara sejak 2022 sebagai kerajaan paling diktator kita pernah ada.

Alasan yang diberikannya kerana Kerajaan Perpaduan bukan sahaja mengekalkan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan (PPPA) 1984 tetapi juga memperkenalkan undang-undang pelesenan bagi platform media sosial dan perkhidmatan pemesejan internet di negara ini.

Ini adalah susulan pengumuman Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bahawa langkah itu akan berkuat kuasa pada 1 Januari 2025 berikutan pengenalan rangka kerja kawal selia baharu untuk perkhidmatan media sosial dan pemesejan internet mulai esok.

Individu berpendidikan dalam bidang undang-undang seperti Ambiga seharusnya mampu berfikir dengan rasional dan tidak dibuai oleh emosi kemarahan dalam menilai sesebuah kerajaan. Perlu difahami dengan lebih jelas apa makna dan ciri-ciri kerajaan diktator sebelum berbuat demikian.

Diktator adalah bentuk pemerintahan apabila seorang individu atau sekumpulan kecil dalam parti yang memiliki kuasa mutlak tanpa kawalan perlembagaan yang berkesan. Diktator menggunakan kekerasan atau penipuan untuk mendapat atau mengekalkan kuasanya.

Diktator mengekalkan kuasa melalui intimidasi, keganasan, pemenjaraan atau pembunuhan yang membawa kepada tahap kebebasan yang rendah dan kehilangan autonomi peribadi serta pilihan politik. Diktator juga mengubah perlembagaan negara untuk meningkatkan kuasanya.

Di Malaysia sekarang adakah seorang individu atau sekumpulan kecil individu dalam parti yang memiliki kuasa mutlak? Sedangkan kerajaan hari ini terdiri daripada gabungan 19 buah parti politik dengan tiada parti dominan di dalamnya. Di peringkat kerajaan ada semak dan imbang.

Walaupun Perdana Menteri datang dari Pakatan Harapan (PH), namun parti itu tidak mampu untuk membuat apa-apa tanpa mendapat persetujuan parti-parti politik dalam gabungan lain seperti Barisan Nasional (BN), Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Kerajaan Perpaduan memperoleh kuasa secara sah melalui Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) tanpa menggunakan kekerasan atau penipuan. Setelah berkuasa, Kerajaan Perpaduan juga mengendalikan Pilihan Raya Negeri (PRN) dan Pilihan Raya Kecil (PRK) secara bersih.

Sebab itulah parti-parti politik dalam Kerajaan Perpaduan masih kalah dalam PRN di Kelantan, Terengganu dan Kedah selain PRK di Kuala Terengganu pada 12 Ogos 2023, Kemaman (2 Disember 2023) dan Sungai Bakap pada 6 Julai lalu.

Jika Kerajaan Perpaduan adalah kerajaan diktator maka sudah pastilah parti-parti politik dalam kerajaan ini akan menang dalam semua PRN dan PRK tetapi rakyat Malaysia diberikan kebebasan berpolitik sepenuhnya untuk mengundi tanpa ada kekerasan atau penipuan.

Perlu juga ditanyakan ada atau tidak Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku Perdana Menteri melakukan intimidasi, keganasan, pemenjaraan atau pembunuhan ke atas lawan-lawan politik beliau untuk mengekalkan kuasa sepanjang tempoh pentadbiran?

Sedangkan dalam tempoh Tun Dr. Mahathir Mohamad selaku Perdana Menteri antara 1981 ke 2003, berapa ramai aktivis dan pemimpin politik yang ditahan tanpa dibicarakan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) semata-mata untuk memastikan beliau terus berkuasa?

Tercatat dalam rekod betapa 119 aktivis dan pemimpin politik ditahan di bawah Ops Lalang yang dilancarkan pada 27 Oktober 1987, termasuk Karpal Singh, Tan Sri Lim Kit Siang, Lim Guan Eng, Datuk Mahfuz Omar, Datuk Seri Mohamad Sabu, Khalid Abdul Samad, P. Patto, V. David dan Dr. Chandra Muzaffar.

Tercatat juga dalam rekod betapa Anwar bersama-sama penyokongnya termasuk Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir, Datuk Kamarudin Mohd. Noor, Datuk Kamaruddin Jaafar, Datuk Dr. Sidek Baba dan Datuk Ahmad Azam Abdul Rahman, ditahan dalam era reformasi pada 20 September 1998.

Sejarah juga membuktikan bahawa Anwar dipecat begitu sahaja dari jawatan Timbalan Perdana Menteri dan Timbalan Presiden UMNO tanpa melalui proses keadilan yang sewajarnya dan dihumban dalam penjara.

Lebih teruk lagi, ketika zaman Dr. Mahathir, Ibrahim Libya @ Mohamood, calon Pas dalam PRU pada 1978 serta 1982, dan 13 pengikut beliau terbunuh ekoran tindakan pihak polis yang cuba menahan beliau secara paksa di Memali, Baling, pada 19 November 1985.

Apa pula jadi kepada bekas Ketua Hakim Negara, Tun Mohd. Salleh Abas, dan hakim-hakim Mahkamah Persekutuan iaitu Tan Sri Wan Suleiman Pawanteh, Tan Sri George Edward Seah, Tan Sri Wan Hamzah Mohd Salleh, Tan Sri Eusoffe Abdolcadeer dan Tan Sri Azmi Kamaruddin?

Dalam zaman Anwar dan Kerajaan Perpaduan, tiada gangguan pernah dibuat ke atas badan kehakiman walaupun dalam tempoh ini, kita juga menyaksikan kerajaan pernah kalah di dalam beberapa kes.

JAUH LEBIH BEBAS
Dakwaan bahawa Kerajaan Perpaduan adalah kerajaan paling diktator tidak berasas.

Kebebasan jauh lebih terjaga sekarang dan jika ada undang-undang yang didakwa mengekang kebebasan maka rakyat bebas mencabarnya dan mahkamah bebas mengisytiharkannya tidak sah.-UTUSAN

DR. Rosli Allani Abdul Kadir ialah bekas calon PKR di Parlimen Machang dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×