Signifikan 31 Ogos selain kemerdekaan negara

Signifikan 31 Ogos selain kemerdekaan negara

HAJIJI Noor diiringi Jeffrey Kitingan (kiri) menandatangani Tugu Peringatan 60 Tahun Hari Sabah Merdeka di Pisompuruan Square, Tambunan, tahun lalu. – IHSAN JABATAN KETUA MENTERI SABAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUDAH tercatat dalam buku sejarah tanggal 31 Ogos sebagai Hari Merdeka dan kini ia diraikan sebagai sambutan Hari Kemerdekaan atau Hari Kebangsaan.

Perdebatan mengenai tahun sambutan Hari Kemerdekaan itu sering kali dibangkitkan setiap kali memasuki bulan Ogos sehingga sambutannya kini disebut sebagai Hari Kebangsaan.

Mungkin ada yang beranggapan perubahan istilah dan perhitungan tahun sambutan kemerdekaan itu tidak begitu penting namun, sejarah harus diperbetulkan sebelum ia diturunkan kepada generasi akan datang.

Walau ada perdebatan mengenai tahun sebenar sambutan namun, apa yang harus diterapkan adalah semangat cintakan negara melalui sambutan tersebut.

Selepas 61 tahun Malaysia dibentuk, tidak ramai yang tahu, tanggal 31 Ogos juga adalah tarikh Sabah bebas daripada belenggu penjajah dan memulakan pemerintahan sendiri sebelum pembentukan Malaysia pada 16 September 1963.

Namun sejarah mengenai kemerdekaan Sabah pada 31 Ogos 1963 jarang disebut dan tidak tercatat dalam buku sejarah yang diedarkan di sekolah-sekolah yang hanya mencatatkan tarikh kemerdekaan Tanah Melayu pada 31 Ogos 1959.

Di Sarawak, sejak 2016 meraikan Hari Sarawak yang pada 22 Julai setiap tahun. Sarawak mencapai kemerdekaan lebih awal berbanding Sabah iaitu pada 22 Julai 1963.

Kekeliruan yang timbul memberi tanggungjawab besar kepada pemimpin Sabah untuk menggalas peranan menjadikan tanggal 31 Ogos itu sebagai tarikh penting buat Sabah.

Untuk itu, kerajaan negeri di bawah pimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor mewartakan Hari Sabah pada Jun lalu dan pengumuman mengenai pewartaan berkenaan dibuat pada 5 Julai.

Mungkin ada yang mempersoalkan apa perlunya menyambut Hari Sabah sedangkan sambutan Hari Kebangsaan turut diadakan pada tarikh sama, 31 Ogos.

Malah, semasa pelancaran Bulan Kebangsaan, Hari Sabah dan Kempen Kibar Jalur Gemilang pada 1 Ogos lalu, Hajiji meletak harapan agar tidak ada kekeliruan khususnya dalam konteks penganjuran Hari Kebangsaan dan Hari Sabah.

“Bagi kita, Hari Sabah yang diraikan pada 31 Ogos ini akan menjadi titik sejarah penyatuan rakyat berbilang kaum untuk bersama membangunkan negeri ini.

“Hari Sabah diadakan bagi memperingati berakhirnya pemerintahan British di negeri ini pada 31 Ogos 1963 selain bermulanya perjalanan pemerintahan sendiri dan membentuk Malaysia.

“Kita mahu rakyat khususnya generasi muda lebih mengetahui sejarah bukan sahaja mengenai sambutan Hari Kebangsaan tetapi juga Hari Sabah. Namun, yang lebih penting ialah semangat kita untuk terus bersama-sama membangunkan serta memajukan negeri ini dan negara kita yang tercinta,” katanya.

Kenyataan itu cukup jelas bahawa sambutan Hari Sabah bukan berhasrat untuk menjadikan negeri ini lebih bersifat mandiri atau ingin keluar dari Malaysia. Sebaliknya, sambutan itu sebagai memperingati sejarah Sabah terutama dalam kalangan generasi muda yang mungkin kurang pengetahuan tentang sejarah kemerdekaan Sabah.

Biarpun sambutan Hari Sabah diadakan pada tahun lalu namun, sambutan pada tahun ini jauh lebih bermakna selepas pewartaan Hari Sabah.

Pada sambutan Hari Sabah yang julung-julung kali diadakan pada tahun lepas, Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Dr. Jeffrey Kitingan mengimbau kembali bagaimana Hari Sabah diraikan di beberapa daerah dengan begitu meriah pada 31 Ogos 1963.

Namun, selepas merdeka sambutan Hari Sabah seolah-olah terselindung di sebalik sambutan Hari Kebangsaan yang diraikan pada tarikh sama.

Pada tahun lepas, Hajiji dan Jeffrey bersama-sama menandatangani Tugu Peringatan 60 Tahun Hari Sabah Merdeka di Pisompuruan Square, Tambunan. Itu langkah pertama yang diambil pemimpin Sabah untuk kembali meraikan Hari Sabah pada 31 Ogos.

Sebelum tarikh 31 Ogos 1963 itu terkubur tanpa diketahui signifikannya kepada rakyat Sabah maka, pelbagai usaha diambil sehingga kepada membawa kepada pewartaan Hari Sabah.

Kini, sambutan Hari Sabah akan diraikan pada 31 Ogos setiap tahun.

USAH MAIN POLITIK
Diharap jangan ada pihak yang cuba bermain politik tentang sambutan Hari Sabah. Ketepikan perbezaan politik, jadikan Hari Sabah sebagai hari menyatukan rakyat pelbagai kaum di negeri ini.

Sempena sambutan pada tahun ini, penganjuran Pameran Hari Sabah turut diadakan bagi membolehkan rakyat mengimbau kembali sejarah negeri ini menerusi dokumen-dokumen penting yang akan dipamerkan.

Nama-nama pejuang kemerdekaan di Sabah yang jarang-jarang disebut akan turut dipamerkan.

Secara tidak langsung pameran sebegitu akan mendekatkan rakyat kepada tokoh atau pejuang kemerdekaan Sabah seperti Tun Mustpha Harun, Tun Fuad Stephens, Shariff Uthman dari Kota Marudu dan Ontorus Antanom dari Tenom.

Tirai sambutan Hari Sabah bermula pada 24 Ogos dengan penganjuran Konsert Gagar Merdeka Kihoi yang dianjurkan dengan kerjasama Jabatan Penyiaran Malaysia dan kemuncak sambutan iaitu ‘Malam Memperingati Hari Sabah’ akan diadakan pada malam 31 Ogos.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×