SUASANA politik di Malaysia ketika ini membangkitkan persoalan penting iaitu apakah perbezaan antara proses bina negara dan bina bangsa? Apakah implikasinya ke atas senario politik semasa? Adakah Malaysia ketika ini terperangkap dalam dilema memilih yang mana sepatutnya menjadi keutamaan?
Membina negara merujuk kepada proses pembentukan serta pengembangan struktur politik, perundangan dan pentadbiran sebuah entiti politik. Sebaliknya, membina negara bangsa melibatkan usaha untuk membangunkan kesatuan identiti bangsa serta perpaduan antara pelbagai kaum, etnik, agama dan budaya. Proses ini melibatkan matlamat, pendekatan dan kepentingan berbeza walaupun terdapat persamaan proses mencapainya.
Pelbagai isu agama, perkauman dan budaya yang berlaku kebelakangan ini memperlihatkan negara masih lagi bergelut dalam proses membina negara bangsa walaupun selepas 67 tahun merdeka.
Dalam kemelut mencari titik temu antara kedua proses ini, muncul madani yang dilancarkan Perdana Menteri ke-10 sebagai sebuah kerangka yang bukan sahaja untuk membina negara tetapi menyediakan falsafah kukuh bagi proses membina negara bangsa.
Kerangka madani berdasarkan yang dikemukakan mendorong keterangkuman dan penghargaan terhadap kepelbagaian agama dan budaya, yang dapat menguatkan perpaduan dan identiti nasional. Contohnya, inisiatif seperti kempen perpaduan dan pendidikan tentang kepelbagaian budaya boleh membantu mengurangkan prasangka antara kaum.
Madani memberi penekanan pada kesetaraan akses terhadap sumber daya serta peluang bagi memastikan pembangunan yang inklusif dan meningkatkan kesejahteraan seluruh masyarakat.
Dalam isu semasa seperti ketidaksamaan ekonomi yang semakin melebar, madani boleh menjadi kerangka yang membantu merapatkan jurang ini melalui dasar-dasar yang lebih adil dan saksama. Madani menggalakkan penglibatan aktif warga dalam proses pembuatan keputusan untuk memperkuat asas demokrasi yang sihat dan mendorong kebertanggungjawaban pemerintah.
Prinsip yang diketengahkan menjamin hak-hak seperti kebebasan berpendapat, beragama, pendidikan dan keadilan dalam pembangunan negara bangsa yang berdasarkan prinsip kemanusiaan.
Dalam isu-isu semasa seperti diskriminasi dan ketidakadilan, kerangka madani dapat menyediakan panduan untuk melindungi dan mempromosikan hak-hak ini. Mendorong amalan pemerintahan yang jelas, amanah dan berkesan dapat mengurangkan korupsi dan nepotisme.
Isu seperti skandal rasuah menunjukkan betapa pentingnya tatakelola yang baik untuk mengembalikan kepercayaan rakyat kepada kerajaan.
Namun begitu, kerangka yang cantik, kelihatan komprehensif tidak semestinya menjamin pelaksanaan yang dinamik. Dalam era politik yang sering kali sarat dengan retorik kosong dan janji manis, adalah penting untuk memastikan kerangka madani tidak menjadi sekadar slogan politik.
Pandangan dari pelbagai pihak perlu diambil kira bagi memastikan kerangka ini komprehensif dan inklusif. Ini termasuklah dialog dengan masyarakat sivil, akademik dan sektor swasta untuk mendapatkan pandangan yang holistik.
Kerangka ini harus digunakan untuk pembangunan masyarakat dan negara, bukan untuk kepentingan politik atau peribadi. Ini adalah kritikal dalam situasi yang mana kita melihat politiking isu-isu penting seperti pendidikan dan kesihatan.
Kerajaan perlu menunjukkan komitmen yang nyata terhadap prinsip madani dalam dasar dan tindakan. Contohnya, pelaksanaan dasar-dasar yang konkrit dan pengawasan yang ketat terhadap pelaksanaannya. Kerajaan perlu bersikap terbuka dalam semua hal untuk memastikan pelaksanaan prinsip madani yang sebenar. Ketelusan dalam pengurusan dana awam dan projek-projek kerajaan adalah penting untuk mengelakkan penyalahgunaan kuasa.
KONFLIK
Dalam pada kerangka madani mempunyai potensi yang besar bagi menemukan proses membina negara dan bangsa Malaysia, konflik antara keduanya masih boleh berlaku. Paling tidak, ada tiga aspek utama konflik ini boleh berlaku.
Pertama, dalam keadaan yang mempertembungkan kepentingan politik dan perpaduan sosial. Proses membina negara melibatkan pembentukan dan pengembangan struktur politik, perundangan dan pentadbiran. Ini kadang-kadang memerlukan tindakan yang mungkin tidak popular atau diterima oleh semua kumpulan etnik dan sosial.
Contohnya, apabila kerajaan memperkenalkan dasar-dasar tertentu untuk mengawal kestabilan politik atau ekonomi, ia mungkin menyebabkan ketidakpuasan hati dalam kalangan segmen masyarakat tertentu yang merasa terpinggir atau tidak diberi keadilan.
Sebaliknya, membina negara bangsa berfokus kepada usaha membangunkan kesatuan identiti dan perpaduan sosial. Ini memerlukan pendekatan yang inklusif dan adil kepada semua kumpulan etnik, agama dan budaya. Konflik boleh berlaku apabila dasar-dasar politik yang keras atau eksklusif bertembung dengan usaha untuk mempromosikan keharmonian dan perpaduan sosial.
Aspek kedua ialah dalam hal pembahagian sumber dan peluang. Dalam usaha membina negara, kerajaan perlu membuat keputusan tentang pembahagian sumber dan peluang seperti pembangunan infrastruktur, pendidikan dan pekerjaan. Keputusan ini kadang-kadang dibuat berdasarkan keperluan politik atau ekonomi yang mendesak, yang mungkin mengabaikan kepentingan beberapa kumpulan etnik atau sosial.
Membina negara bangsa, bagaimanapun, memerlukan pengagihan sumber dan peluang yang adil untuk memastikan semua kumpulan masyarakat merasa dilibatkan dan diiktiraf.
Apabila terdapat ketidakadilan dalam pembahagian ini, ia boleh menyebabkan ketegangan antara kumpulan etnik atau sosial, yang seterusnya merosakkan usaha membina negara bangsa.
Aspek ketiga yang berpotensi membawa konflik antara usaha membina negara dan bangsa Malaysia adalah proses membina identiti nasional Malaysia lwn. identiti etnik dan budaya.
Proses membina negara bangsa sering menekankan pentingnya mengukuhkan identiti nasional. Ini boleh melibatkan usaha untuk menyatukan pelbagai kumpulan etnik di bawah satu identiti yang sama.
Bagaimanapun, dalam proses ini, identiti etnik serta budaya individu mungkin diabaikan atau ditekan, menyebabkan rasa tidak puas hati dan penolakan. Sebaliknya, proses membina negara mungkin memerlukan pengiktirafan dan penghargaan terhadap kepelbagaian segmen ini bagi memastikan kestabilan politik dan sosial.
Konflik boleh berlaku apabila usaha untuk mempromosi identiti nasional dianggap mengancam identiti etnik dan budaya tertentu.
Dalam menangani tiga aspek utama ini, kerangka madani berpotensi menjadi ‘ruang kompromi’ dalam membangunkan Malaysia.
Namun, kemampuannya untuk menjadi kerangka integrasi bagi kedua-dua proses ini amat bergantung kepada sejauh mana keberkesanan pelaksanaan, keterlibatan semua pihak dan komitmen terhadap prinsip-prinsip asas madani.
Dengan memastikan pelaksanaan yang inklusif, bebas dari kepentingan politik serta berlandaskan prinsip-prinsip keadilan, demokrasi dan tatakelola yang baik, Malaysia boleh membina negara bangsa yang kukuh, bersatu selain maju dengan acuannya sendiri.-UTUSAN
DR. Zainal Abidin Sanusi ialah Profesor di Jabatan Sains Politik, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).










