MENJAGA keselamatan dan kedaulatan negara bukanlah sesuatu yang mudah. Tanggungjawab ini bukan sahaja memerlukan kekuatan fizikal dan mengancam nyawa. Malah, menuntut kekuatan mental, rohani serta kecekalan yang tiada tolok bandingnya.
Sebagai penghormatan dan balasan kepada semua pengorbanan ini, kerajaan seharusnya memberikan fokus yang besar terhadap aspek kesejahteraan anggota pertahanan negara. Baik secara langsung mahupun tidak langsung.
Terdapat beberapa perkara secara dasarnya menggambarkan komitmen besar dan perhatian serius. Misalnya, peruntukan Kementerian Pertahanan pada 2023 meningkat daripada RM17.731 bilion (RM11.4 bilion belanja mengurus dan RM6.31 belanja pembangunan) kepada RM19.731 bilion (RM12.678 bilion belanja mengurus dan RM7.053 bilion belanja pembangunan) bagi tahun ini.
Jadi sudah pastilah ia menjadi permulaan positif yang seharusnya diterjemahkan dengan cara berkesan terutamanya dalam perkara-perkara melibatkan kebajikan. Dalam hal ini, terdapat beberapa aspek yang boleh dilihat bagi menilai setakat mana kita memberi perhatian terhadap kebajikan anggota pertahanan negara.
Pertama, kebajikan anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) secara langsung. Jika dilihat dalam Belanjawan dan perancangan Kementerian Pertahanan, sebanyak RM400 juta diperuntukkan untuk menyelenggara dan membaik pulih Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT) di seluruh negara. Jumlah ini bukan sahaja menyaksikan peningkatan 100 peratus berbanding tahun lalu (RM200 juta). Tetapi, sasaran daripada inisiatif ini untuk memastikan tempat kediaman anggota tentera selesa, selamat dan semakin berkualiti.
Selain itu, terdapat beberapa projek pembinaan dan penaiktarafan kemudahan perubatan serta perkhidmatan kesihatan di pelbagai kem mengikut keperluan.
Bagi melengkapkan rangkaian kebajikan ini, terdapat juga kebajikan dalam bentuk tidak langsung. Perkara ini boleh diukur dengan melihat komitmen dalam memastikan kesejahteraan anggota, keluarga, keseluruhan ekosistem dan kualiti kehidupan.
Mengikut pengumuman Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, mulai tahun ini, kementerian melalui Yayasan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (YLTAT) dengan kerjasama Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) memulakan program penabungan melibatkan pelajar tahun 1 dari kumpulan Anggota Lain-lain Pangkat. Program yang dikenali sebagai Simpanan Pendidikan Madani (SPM) melibatkan sumbangan tabungan akaun Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN). Ia melibatkan 9,355 kanak-kanak bagi sesi persekolahan 2024 dengan jumlah keseluruhan bernilai RM467,750.
Sebagai bekas Menteri Pendidikan Tinggi, beliau menjadikan agenda pendidikan tinggi sebagai salah satu keutamaan besar kepada anak-anak anggota tentera. Pendirian tersebut dizahirkan dalam pelbagai kesempatan dan program yang dihadiri kerana percaya pendidikan merupakan aset dan nilai tambah terbesar dalam hidup seseorang.
Malah, komitmen dan perhatian terhadap aspek kebajikan pendidikan turut dilihat dalam kesediaan kerajaan memperuntukkan sebanyak RM15 juta bagi tujuan penyelenggaraan dan naik taraf sekolah. Peruntukan yang disalurkan melalui Kementerian Pendidikan akan memberi manfaat kepada 29 buah sekolah rendah dan menengah termasuk sebuah Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) dalam kem Angkatan Tentera di seluruh negara.
Selain itu, beliau turut mengarahkan agar YLTAT menyediakan Bantuan Kebajikan Anak Kurang Upaya (OKU). Di bawah program ini, sebanyak RM300,000 diperuntukkan. Daripada jumlah ini, sebanyak RM300 akan diberikan kepada anak-anak kategori OKU yang masih bersekolah atau tidak bersekolah dan sebanyak RM500 akan diberikan kepada mereka yang sedang melanjutkan pengajian di institusi pengajian tinggi (IPT).
MOTIVASI
Saya bersetuju dengan pandangan Menteri Pertahanan bahawa kesejahteraan rohani, minat, semangat, kepercayaan, keyakinan, kesungguhan dan kemahuan memberikan yang terbaik kepada anggota mesti berada pada tahap yang optimum setiap masa. Semua ini adalah aspek dan nilai unggul anggota tentera yang mesti sentiasa diberikan perhatian. Ia adalah satu perkara yang sebenarnya melangkaui keupayaan apa-apa senjata dan teknologi.
Ketumbukan pasukan tentera dan benteng pertahanan negara mesti dipasak dengan keberanian dan kesungguhan. Semangat anggota adalah aset yang tidak boleh dan tidak mampu dijual beli. Tidak ada teknologi atau kecanggihan inovasi yang mampu menandingi semua itu.
Apabila kesejahteraan fizikal, rohani, mental dan semangat anggota terjaga, sudah pastilah timbul semangat untuk memberikan yang terbaik. Bayangkan motivasi anggota pertahanan jika terpaksa bertugas dan menjalankan misi dengan pelbagai keserabutan serta ketidakpuasan hati.
Keserabutan memikirkan pendidikan anak-anak, keselamatan isteri atau keluarga yang ditinggalkan, kesejahteraan hidup serta pelbagai lagi hanya menyebabkan fokus mahupun komitmen tidak berada pada tahap yang optimum dan terbaik.
Justeru, dengan memfokuskan tahap kebajikan yang baik kepada anggota ATM, secara tidak langsung memberikan satu motivasi yang besar dalam melaksanakan tugas.
TARIK MINAT
Pada masa sama, tindakan kerajaan memberikan perhatian serius kepada aspek moral, kesejahteraan rohani dan mental tentera akan menjadi nilai tambah yang besar serta bertindak sebagai daya penarik penting agar sektor ini dihormati dan minati anak muda.
Apabila hal ini diberikan perhatian, lebih ramai yang akan tertarik dan berminat untuk menyertai ATM. Minat yang tinggi anak muda untuk menyertai ATM tentu mewujudkan pilihan prospek yang lebih luas, sekali gus menjamin mutu anggota yang bakal dilantik.
Yang pasti, biar apa pun alasan dan perspektif yang dikemukakan, kebajikan anggota ATM harus menjadi keutamaan mahupun fokus kerajaan khususnya Kementerian Pertahanan.
Jasa dan pengorbanan yang dicurahkan mereka terlalu besar dan tidak mungkin dapat dibalas. Setidak-tidaknya, apabila Menteri Pertahanan kini memberi komitmen untuk mengangkat aspek kebajikan sebagai keutamaan, ia menggambarkan Malaysia sebagai sebuah negara yang berterima kasih dan sentiasa menghargai semua anggota pertahanannya.-UTUSAN
PENULIS sedang mengikuti pengajian peringkat Doktor Falsafah (PhD) di Institut Kajian Etnik, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).










