MUKADIMAH
Ketua Puteri UMNO, DATUK NURUL AMAL MOHD. FAUZI merasakan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) kali ini auranya berlainan, kerana sebelum ini parti ini dihina dan dicaci, tetapi kemenangan di Nenggiri dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) pada 18 Ogos lalu, menjadikan UMNO kembali bermaruah.
Kebangkitan itu menjadi sumber kekuatan buat Puteri untuk berjuang bersama keluarga besar UMNO agar terus memanfaatkan bangsa Melayu serta bumiputera di tanah air ini.
Ikuti temu bual bersama wartawan Utusan Malaysia, ASLINDA NASIR dan AIMAN ALI serta dibantu jurufoto, FARIZ RUSADIO sempena PAU 2024.
SEMANGAT BAHARU
Kemenangan dengan majoriti besar di Nenggiri membuatkan kita rasa maruah parti ditebus kembali. Itu merupakan satu kebangkitan untuk keluarga UMNO. Bagi sayap Puteri, kita betul-betul bersemangat dengan menggariskan aspek utama yang perlu ditekankan, termasuklah agama dan pendidikan orang Melayu.
Pertambahan jumlah ahli dalam Puteri juga antara semangat dan dorongan yang saya terapkan di seluruh bahagian. Kita ramaikan orang muda bersama dengan kita dan kita tidak mahu melihat sayap Puteri ini hanya satu ‘fesyen’ sahaja. Kita memerlukan Puteri yang pelbagai kerana kepelbagaian itu akan memperkasakan Puteri.
Insya-Allah untuk projek yang berikutnya, kita akan lebih mendekati generasi yang seterusnya dan perkara ini turut disentuh Timbalan Presiden, Datuk Seri Mohamad Hasan dalam ucapannya. Kita mahu kumpulkan seramai ahli dalam kalangan orang muda yang berusia antara 15 sehingga 25 tahun supaya mereka faham dengan politik. Kalau mahu ajak orang muda minat politik, kita perlu mendekati mereka dahulu.
Jadi, Puteri perlu mendekati mereka dalam apa jua cara, tidak kisahlah melibatkan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) atau sebagainya. Yang penting kita perlu menjadi sebahagian daripada mereka.
Kepelbagaian ini perlu dirai dan ‘dilebarkan’ lagi agar Puteri lebih mudah didekati. Saya yakin dan percaya Puteri ini lahir dari latar belakang berbeza, minat pun berbeza dan kelebihan juga berbeza. Jadi kalau boleh ditonjolkan, Puteri boleh membuat perubahan.
MENDEKATI GOLONGAN MUDA
Banyak program yang kita telah anjurkan dengan sebelum ini lebih 89 buah program yang bukan hanya memfokuskan kepada ahli semata-mata, malah kita juga membuka penyertaan kepada program luar. Contoh terdekat adalah baru-baru ini kita mengadakan Pidato Nurul Amal dan penyertaan itu kebanyakannya datang daripada bukan ahli.
Ada seorang peserta yang menjelaskan dirinya memang tidak berminat dengan politik, namun dengan adanya PAU, peserta tersebut mengucapkan terima kasih kepada UMNO kerana menganjurkan program sebegini yang akhirnya membuatkan dirinya mampu mengenali UMNO dengan lebih mendalam.
PUTERI KURANG MENYENGAT
Puteri ini secara dasar karakternya adalah seorang perempuan. Jadi ada masa kita bersuara, ada masa kita perlu bincang. Tidak semua perkara yang kita perlu lantang bersuara kepada umum. Along (gelaran Nurul Amal) sejenis manusia yang tidak suka melihat kepada percanggahan yang berlaku di luar parti sebaliknya banyak bercerita di dalam parti, kerana kalau ada sebarang percanggahan, Puteri akan bertindak untuk menyelesaikan isu tersebut secara dalaman kerana kita tidak mahu jurang itu terlalu ketara di mata orang ramai.
Kalau ada kenyataan yang perlu untuk kita keluarkan, Puteri akan lakukan. Contohnya, penghinaan terhadap Yang di-pertuan Agong, Puteri sudahpun mengeluarkan kenyataan. Memang orang lihat Puteri ini lembut, tetapi jangan cabar kami. Kalau kami boleh maafkan, kami akan maafkan. Tetapi jika kami kata tidak, datanglah merayu bagaimana sekali pun, kami akan kata tidak layan. Itu prinsipnya.
PERKUKUH KELUARGA UMNO
Ini adalah aspek yang paling penting kita perlu bina dalam PAU ini. Bukan Along kata sekarang tidak kukuh, bukan. Tetapi kalau ingin berperang, kita tidak boleh tertinggal selipar, tidak boleh kata tidak bersedia. Kita perlu memperkukuhkan kedudukan parti supaya nampak kuat dari dalam dan luar. Jadi pengukuhan ini besar dalam banyak aspek, dari segi minda, emosi, kepimpinan dan sebagainya.
Kenapa Along kata ia merupakan aspek penting? Perlu diingat UMNO sebenarnya sudah lama ditomah, dihina, pelbagai cacian dilemparkan kepada UMNO sejak 2018 sehingga sekarang. Orang tidak nampak apa yang UMNO buat sejak 2018, tetapi sebenarnya apa yang ada sekarang ini adalah (usaha) dari pemimpin UMNO, diwujudkan dan dibincangkan bersama dalam PAU.
CABARAN DALAM KERAJAAN PERPADUAN
Jika ingin memberi kefahaman di peringkat bawah, kita perlu memberi mereka masa sebab perlu faham, Malaysia tidak pernah membuat gabungan sebelum ini, dan gabungan Barisan Nasional (BN) dengan Pakatan Harapan (PH) hari ini menunjukkan dimensi politik baharu.
Gabungan ini bermula 2018 sehingga sekarang, jadi dalam masa lima ke tujuh tahun, rakyat perlu memahami maksud Kerajaan Perpaduan yang cuba dibawa oleh UMNO serta parti-parti politik yang lain.
Along akui, rakyat pada hari ini mungkin kurang faham, tetapi bagi mereka masa. Insya-Allah menjelang PRU16 (Pilihan Raya Umum Ke-16), kerjasama itu menjadi lebih matang. Ia bukan soal kita perlu memberi kefahaman kepada mereka, tetapi soalnya masa yang perlu diberikan kepada mereka itu penting untuk memberi kefahaman tentang kerjasama dalam Kerajaan Perpaduan.
Kalau kita ingin kata sempat atau tidak untuk memberi kefahaman kepada masyarakat sebelum PRU16, secara realitinya mereka memerlukan masa dalam anggaran lima ke tujuh tahun. Dan apa yang kita cuba lakukan kepada rakyat hari ini, mungkin masih ada yang menolak. Namun Along yakin rakyat akan lebih faham apabila menjelang PRU16 nanti. Bagi masa untuk mereka memahami dimensi politik baharu Malaysia.
INI ZAMAN KITA
Itu adalah syarat yang banyak kali disebutkan dalam Ucapan Dasar Along baru-baru ini. Itu adalah isyarat yang kita semua perlu tekankan di mana era perubahan dan kebangkitan UMNO perlu bermula dari sekarang dan Puterilah yang perlu ke depan dalam memainkan peranan kerana ini zaman kita.
Setiap sayap ada peranan masing-masing, Wanita merupakan tulang belakang UMNO. Puteri dan Pemuda juga ada peranan masing-masing yang merupakan pelengkap kepada keluarga terbesar UMNO.-UTUSAN










