PERUSAHAAN kecil dan sederhana (PKS) memainkan peranan yang sangat penting dalam ekosistem negara kerana mereka adalah tulang belakang kepada banyak ekonomi, menyediakan pekerjaan dan menjadi pemangkin kepada inovasi dan pertumbuhan.
Bagi memastikan PKS kekal berdaya saing dan mampu mengikuti perkembangan ekonomi, penting bagi mereka mempelajari pengurusan perniagaan, sumber manusia dan pentadbiran yang betul.
Sayang jika mempunyai produk perniagaan yang bagus tetapi akibat kurangnya pemahaman dalam pengurusan menyebabkan banyak PKS terutama yang diusahakan kaum bumiputera tersungkur di tengah jalan.
Natijahnya penguasaan PKS bumiputera dalam ekonomi negara akan sukar dicapai. Jika terus begini, bagaimana mungkin kita ingin melihat lebih banyak syarikat bumiputera tersenarai di Bursa Malaysia.
Berdasarkan laporan terkini dari Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), keadaan ekonomi semasa memberikan kesan kepada perniagaan di Malaysia, termasuk penutupan operasi perniagaan.
Berdasarkan data DOSM, antara 2020 dan 2021, sekitar 32,000 PKS menutup operasi. Ketika itu penutupan disebabkan impak pandemik Covid-19.
Namun sepanjang tahun lalu, beberapa faktor seperti tekanan ekonomi global, perubahan dalam permintaan pengguna dan cabaran operasi turut menyebabkan peningkatan dalam jumlah perniagaan yang menutup operasi mereka.
Perubahan dalam ekonomi global, seperti ketidakstabilan politik, perubahan harga komoditi dan krisis ekonomi boleh memberikan impak besar kepada PKS.
Ketidaktentuan dalam ekonomi domestik dan global turut mencipta persekitaran yang mencabar bagi PKS. Fluktuasi mata wang, perubahan dasar kerajaan dan ketidakpastian politik menambah risiko yang perlu dihadapi oleh PKS.
Menurut laporan dari SME Corp Malaysia, banyak PKS menghadapi kesulitan dalam meramalkan aliran tunai dan membuat keputusan perniagaan jangka panjang.
Cabaran yang dihadapi PKS juga ketika ini adalah dalam gangguan dalam rantaian bekalan, seperti kekurangan bahan mentah atau kelewatan penghantaran. Ini boleh mengakibatkan gangguan operasi yang signifikan bagi PKS.
Pandemik Covid-19 menunjukkan betapa mudahnya rantaian bekalan global boleh terganggu, yang akhirnya membawa kepada masalah inventori dan pengeluaran bagi banyak PKS.
TINGKAT KEMAHIRAN
Bagaimana PKS terutamanya bumiputera perlu bertahan ketika ini? Disebalik sokongan berterusan daripada kerajaan, perniagaan sendiri perlu mengambil pendekatan strategik meningkatkan kemahiran perniagaan.
Jangan pernah malu untuk terus menuntut ilmu perniagaan. Perlu diingat, keuntungan jutaan ringgit sekalipun, tanpa pengurusan perniagaan yang cekap, ia boleh merundum kepada hanya puluhan ringgit.
Ilmu perniagaan yang tepat bukan saja dapat kekal bertahan tetapi berganjak menjadi syarikat pertengahan dan seterusnya syarikat multinasional (MNC).
PKS perlu memahami kepentingan perancangan strategik untuk mengenal pasti matlamat jangka panjang dan bagaimana untuk mencapainya. Ini termasuk analisis Kekuatan, Kelemahan, Peluang, Ancaman (SWOT) dan mengenal pasti pasaran sasaran.
Pengurusan kewangan yang baik juga adalah asas kepada kejayaan sesebuah perniagaan. PKS perlu menguasai kemahiran dalam penyediaan belanjawan, pengurusan aliran tunai dan analisis kewangan untuk memastikan kestabilan kewangan.
Mereka juga perlu sering memahami teknik pemasaran moden, termasuk pemasaran digital. Ini adalah penting untuk menarik dan mengekalkan pelanggan. PKS perlu menguasai kemahiran dalam strategi pemasaran, pengurusan jenama, dan penjualan.
Satu permasalahan yang dihadapi PKS adalah dalam memilih pekerja yang tepat dan memberikan latihan yang sesuai adalah kritikal. Justeru itu, PKS perlu mempunyai proses pengambilan yang berkesan dan program latihan untuk memastikan pekerja sentiasa berkemahiran serta termotivasi.
Majikan harus menetapkan objektif yang jelas dan mengukur prestasi pekerja secara berkala. Ini dapat membantu memastikan pekerja memberikan yang terbaik. Sistem penilaian prestasi yang adil dan insentif yang sesuai boleh meningkatkan produktiviti mahupun kepuasan pekerja.
Paling penting, kepimpinan yang baik adalah kunci kepada motivasi pekerja serta kejayaan organisasi. PKS perlu mempelajari teknik kepimpinan yang berkesan dan bagaimana untuk mengurus pasukan dengan baik.
Mempelajari pengurusan perniagaan, sumber manusia dan pentadbiran yang betul adalah penting bagi PKS untuk kekal berdaya saing selain mampu mengikuti perkembangan ekonomi.
Dengan menguasai kemahiran-kemahiran ini, PKS boleh meningkatkan kecekapan operasi, memaksimumkan produktiviti dan memastikan pertumbuhan yang mampan.
Investasi dalam pendidikan dan latihan dalam bidang-bidang ini adalah langkah penting bagi memastikan kejayaan jangka panjang.-UTUSAN
PENULIS ialah Pengerusi Byond Group Sdn. Bhd., perunding pengurusan perniagaan dan pakar keusahawan










