PETALING JAYA: Felda mesti terus diperkukuh sebagai institusi yang mengangkat martabat peneroka dan keluarga mereka.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kebajikan setiap generasi peneroka perlu berjalan seiring dengan usaha memperkukuh daya saing ekonomi dan kelestarian Felda.
Menurutnya, perhatian juga perlu diberikan kepada isu-isu yang dihadapi generasi baharu peneroka.
“Saya tegaskan bahawa Felda mesti terus diperkukuh sebagai institusi yang mengangkat martabat peneroka dan keluarga mereka.
“Kebajikan setiap generasi peneroka perlu berjalan seiring dengan usaha memperkukuh daya saing ekonomi dan kelestarian Felda, termasuk memberi perhatian kepada isu-isu yang dihadapi generasi baharu,” katanya dalam kenyataan, semalam yang turut diiringi gambar menerima kunjungan Pengerusi Felda baharu, Tan Sri Ahmad Badri Mohd. Zahir.
Anwar berkata, beliau yakin Ahmad Badri mampu meneruskan agenda pemulihan dan pengukuhan Felda menerusi amanah diberikan.
“Saya yakin dengan amanah yang dipikul, saudara Ahmad Badri mampu meneruskan agenda pemulihan dan pengukuhannya.
“Kerajaan Madani akan terus memberikan sokongan penuh demi memastikan institusi rakyat ini terus maju dan kekal relevan untuk generasi akan datang,” katanya.
Felda sebelum ini memaklumkan Ahmad Badri dilantik menjadi pengerusinya yang baharu menggantikan Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek yang telah tamat pada 30 Jun lalu.
Lantikan itu mencerminkan keyakinan kerajaan terhadap kewibawaan, integriti dan pengalaman luas Ahmad Badri dalam menerajui organisasi strategik dan menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara.
Ahmad Badri mempunyai pengalaman lebih tiga dekad dalam sektor awam dan korporat sejak menyertai perkhidmatan awam di Kementerian Kewangan pada 1989.
Sepanjang perkhidmatan beliau, pelbagai jawatan strategik telah disandang sebelum dilantik sebagai Ketua Setiausaha Perbendaharaan pada 2018 hingga 2020.
Antaranya Ahli Lembaga Pengarah di beberapa institusi utama negara seperti Bank Negara Malaysia (BNM), Permodalan Nasional Bhd. (PNB), Tenaga Nasional Bhd. (TNB), Pengerusi RHB Bank Bhd. dan Pengerusi Lembaga Getah Malaysia (LGM), di samping menjadi Ahli Lembaga Pengarah Sime Darby Bhd. – UTUSAN










