Suasana di Laman Sinaran, TRX City Park bertukar gamat apabila Singa Barong melangkah masuk ke gelanggang untuk ‘bertarung’ dengan Raja Kelono Sewandono.
Diiringi alunan muzik tradisional dan nyanyian, babak pertarungan legenda dalam seni Reog dari Ponorogo, Jawa Timur, Indonesia itu mencuri perhatian pengunjung.
Keunikan Singa Barong terserlah menerusi topeng harimau gergasi yang dihiasi ratusan bulu merak, sekali gus menampilkan sosok perkasa.
Namun, di sebalik penampilan gah itu, mengendalikan topeng seberat kira-kira 50 kilogram bukan tugas mudah kerana penari perlu memiliki kekuatan rahang, kawalan tubuh dan latihan berterusan.
Setiap gerakan kepala pantas, hayunan tubuh terkawal dan keupayaan mengangkat beban berat memerlukan kemahiran tinggi bagi menghidupkan karakter ikonik tersebut di hadapan penonton.
Bagi Muhammad Akmal Azizi Razali, 24, kemampuan mengendalikan Singa Barong tidak datang dalam sekelip mata.

Anak jati Batu Pahat, Johor ini mengambil masa enam bulan menjalani latihan khusus bagi membina kekuatan rahang, leher dan tubuh sebelum mampu membawa topeng gergasi berkenaan.
Menurutnya, latihan perlu dilakukan secara konsisten dan berdisiplin setiap hari, terutama menerusi pelbagai rutin tekan tubi.
Antaranya latihan menggunakan kepala dalam posisi meniarap dan terlentang bagi menguatkan otot leher serta rahang.
Latihan lain ialah melembutkan tangan dan mencari rentak seni tari yang lazimnya dilakukan di hadapan cermin bagi memastikan setiap gerakan lebih terkawal seiring dengan karakter Singa Barong.
“Yang paling mencabar ialah menggigit buluh diikat tali dan disambungkan kepada beban seperti baldi berisi air.
“Setiap hari saya menambah jumlah air sehingga lama-kelamaan mampu mencapai sehingga 25 liter.
“Latihan ini penting kerana topeng diangkat dengan kekuatan rahang yang menjadikannya lambang kehebatan seni Reog,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Muhammad Akmal Azizi, latihan intensif itu sekali gus membantu penari membina kekuatan bagi mengawal dan mengimbangi beban topeng ketika persembahan.
Menariknya, tekanan beban yang dirasai penari boleh berkurang antara suku hingga separuh apabila berdiri tegak kerana kedudukan itu membantu mencapai titik keseimbangan yang lebih stabil.
Hasil latihan dan penguasaan teknik tersebut, dia turut diberi kepercayaan mewakili Malaysia dalam persembahan seni Reog di Jakarta, Indonesia sejak 2024 hingga kini.

Minat sejak kecil
Penglibatannya dalam seni warisan tradisi ini bermula dalam dua peringkat iaitu pada 2018 dan 2023.
Pada peringkat awal, peranannya hanya kecil sebagai petugas persatuan Kumpulan Sri Wahyuni di samping bermain pelbagai jenis alat muzik.
“Masa itu saya sempat terlibat selama tiga tahun sebelum berhenti kerana mahu memberi tumpuan kepada kerjaya sebagai pemandu jentera pengorek.
“Pada 2023, saya kembali semula dalam bidang ini dengan harapan untuk menjadi Bujang Ganong, namun disebabkan fizikal yang gempal, saya diberikan watak Singa Barong,” katanya.
Tidak disangka, cabaran mengendalikan Singa Barong turut menjadi titik perubahan buat Muhammad Akmal Azizi.
Latihan fizikal yang dilalui membantu menurunkan berat badannya hampir 50 kilogram, daripada 126 kilogram kepada 77 kilogram.
Terdahulu, katanya, minat untuk mendalami seni Reog mula berputik sejak kecil selepas sering menyaksikan persembahan warisan tersebut.
“Ayah saya merupakan penari kuda kepang, tetapi dia berhenti sepenuhnya selepas mendapat anak kedua.
“Sebelum ini, ayah tidak mengizinkan anak-anak mengikut jejak langkahnya dalam kuda kepang, tetapi berbeza dengan seni Reog apabila tiada halangan diberikan,” katanya.

Tidak pernah cedera
Sepanjang tiga tahun membawa watak Singa Barong, pemuda ini tidak pernah mengalami kecederaan serius sama ada ketika latihan mahupun persembahan.
Namun, selepas setiap persembahan, rahangnya akan terasa sakit dan mengambil masa kira-kira seminggu untuk kembali pulih.
Keadaan itu berpunca daripada penggunaan tenaga yang tinggi ketika mengendalikan topeng berkenaan.
“Situasi ini normal kerana kami perlu mempamerkan aksi yang bertenaga sepanjang persembahan.
“Kebiasaannya, rasa sakit itu akan pulih dengan sendiri, cuma dalam tempoh tersebut, saya agak sukar untuk menoleh, makan dan bercakap,” katanya.
Dalam pada itu, dia menolak tanggapan segelintir masyarakat yang mengaitkan Reog dengan unsur mistik.
Menurutnya, setiap persembahan yang dipentaskan Kumpulan Sri Wahyuni hanya menampilkan nilai seni, budaya dan warisan tanpa sebarang amalan bertentangan dengan ajaran agama.

Generasi ketiga penyambung legasi
Sementara itu, Zurhaiza Mohamad, 30, merupakan generasi ketiga dalam keluarganya yang meneruskan legasi seni warisan tersebut.
Allahyarham bapanya, Mohamad Marji, merupakan pengasas Kumpulan Sri Wahyuni yang ditubuhkan sejak 1970.
Kini, kesinambungan seni Reog itu diteruskannya bersama abang sulung, Phatihazimmaulin, 46.
Lebih membanggakan, legasi berkenaan turut disambung generasi seterusnya apabila anak sulungnya, Putri Nurzafirah Mohamad Fadzilah, 11, dan suaminya, Mohamad Fadzilah Kamsan, 30, turut menyertai kumpulan tersebut.
Kedua-duanya memegang watak sebagai Puteri dan Bujang Ganong dalam persembahan seni Reog.
“Sejak berumur tujuh tahun saya sudah menjadi penari Jathilan dan kini, saya pula yang mengajar anak sulung mengenai gerak tari tersebut.
“Selagi ada kesempatan, saya mahu meneruskan perjuangan ayah dalam memelihara seni Reog supaya warisan ini terus dikenali dan diwarisi generasi akan datang,” kata anak keenam daripada lapan beradik ini.
Tertumpu di Johor
Mohamad Fadzilah yang juga setiausaha Kumpulan Sri Wahyuni berkata, seni Reog di Malaysia tertumpu di Johor, khususnya di daerah Batu Pahat, Pontian, Kluang dan Muar, hasil penghijrahan masyarakat Jawa.
Katanya, sehingga kini, terdapat beberapa kumpulan, persatuan dan komuniti yang masih aktif memeliharanya di negeri itu.
Walaupun jumlahnya tidak begitu besar, mereka terus memainkan peranan penting dalam memastikan warisan ini terus hidup melalui persembahan, latihan dan penyertaan dalam pelbagai program kebudayaan.
“Keistimewaan Reog terletak pada gabungan unsur tarian, muzik, lakonan, seni mempertahankan diri dan simbolik budaya dalam satu persembahan.
“Watak-watak seperti Singa Barong, Jathilan, Bujang Ganong dan Warok masing-masing membawa makna tersendiri.
“Selain itu, penggunaan topeng Singa Barong yang besar dan berat serta dimainkan dengan kemahiran tinggi menjadikan Reog antara seni persembahan tradisional yang paling unik dan mencabar.
Katanya, reog membawa mesej tentang keberanian, ketabahan, disiplin, semangat perpaduan dan penghormatan terhadap warisan nenek moyang.
Dalam masa sama, ia juga menjadi medium untuk menyatukan masyarakat tanpa mengira latar belakang.

Usaha Pusaka perkenal Reog
Pusaka merupakan organisasi kebudayaan yang giat memelihara reog menerusi kerjasama rapat dengan Kumpulan Sri Wahyuni sejak tujuh tahun lalu.
Sepanjang tempoh itu, Reog telah dipersembahkan di pelbagai festival, ruang budaya dan acara awam, termasuk Ombak Festival Desaru, REXKL, Dataran Merdeka dan terbaharu, di Art@TRX.
Pengarah kreatifnya, Pauline Fan berkata, matlamat mereka bukan sekadar membawa persembahan kepada khalayak baharu, tetapi meletakkan seni itu dalam konteks lebih luas utuk dihargai oleh masyarakat pelbagai latar belakang.
Selain persembahan secara langsung, pihaknya turut menganjurkan bengkel, sesi perkongsian dan dokumentasi digital.
Dalam setiap kerjasama itu, Pusaka turut menghasilkan dokumentasi fotografi dan video, di samping menggalakkan liputan media supaya pengetahuan tentang tradisi ini dapat direkodkan dan disebarkan kepada khalayak yang lebih luas.
“Apabila masyarakat diberi peluang menyaksikan Reog secara dekat dan mendengar kisah para pewarisnya, persepsi sering berubah menjadi rasa ingin tahu, penghargaan dan hormat terhadap tradisi ini.
“Pengalaman paling bermakna bagi kami ialah melihat generasi muda dalam Kumpulan Sri Wahyuni terus yakin mewarisi legasi keluarga mereka, sambil menyaksikan penonton daripada pelbagai latar belakang terpukau dengan keindahan dan kehebatan Reog.

“Saat-saat seperti inilah yang mengingatkan kami warisan hanya akan terus hidup apabila ia terus diamalkan, difahami dan dikongsi bersama,” katanya.










