Nilai insan, ihsan yang hilang

Nilai insan, ihsan yang hilang

AMAT penting untuk memperkuat serta menerapkan nilai insan dan ihsan dalam kehidupan seharian agar dapat hidup dalam harmoni.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LAPORAN kes bunuh, buli siber, korupsi, jenayah domestik, scammer, penderaan kanak-kanak, penderaan haiwan dan banyak lagi berita terus menjadi tajuk utama media arus perdana juga media sosial setiap hari.

Timbul pertanyaan, mana hilangnya nilai kemanusiaan dan nilai kehidupan? Sejahterakah kita? Selamatkah kita dan anak-anak dalam kehidupan seharian?

Kehilangan nilai insan dan ihsan merujuk kepada situasi nilai-nilai kemanusiaan yang sepatutnya dihormati dan dijaga telah terabai atau dilupakan. Fenomena ini terjadi apabila keadilan, empati atau kebajikan sosial diabaikan dalam kehidupan bermasyarakat.

Ini merangkumi ketidakadilan sistemik, ketidakseimbangan ekonomi dan penyalahgunaan kuasa yang mengakibatkan penderitaan dan kesengsaraan kepada individu atau kumpulan tertentu. Dalam konteks ini, amat penting untuk meningkatkan kesedaran dan bertindak demi memulihkan nilai-nilai ini dalam masyarakat bagi mencapai keadilan mahupun kesejahteraan bersama.

Nilai insan dan ihsan merupakan aspek penting dalam membentuk kehidupan yang baik selain bermakna dalam masyarakat. Kedua-dua nilai ini perlu dihayati demi kemanusiaan kerana ia menekankan pentingnya menghormati dan menjaga setiap individu.

Nilai insan ini termasuk memperlakukan orang lain dengan penuh hormat, empati dan penghargaan tanpa mengira latar belakang atau keadaan mereka. Nilai ihsan pula mewakili konsep memberi dengan tulus dan adil kepada orang lain. Ini bukan sekadar memberi bantuan material, tetapi juga memastikan keadilan sosial serta kesaksamaan peluang bagi semua individu dalam masyarakat.

Mengamalkan nilai-nilai ini membawa kepada keamanan emosi bagi individu dan masyarakat. Memiliki persekitaran yang dipenuhi dengan empati dan kebaikan dapat mengurangkan konflik dan meningkatkan kesejahteraan mental serta emosi. Nilai insan dan ihsan membantu membentuk masyarakat yang lebih bersatu serta harmoni.

Masyarakat yang mementingkan kebajikan bersama dan membantu mereka yang memerlukan akan menjadi lebih stabil dan sejahtera. Amalan nilai insan dan ihsan merangsang pembangunan diri yang holistik, melibatkan perkembangan emosi, spiritual mahupun sosial yang membawa kepada kebahagiaan serta kesejahteraan peribadi.

Nilai insan dan ihsan adalah dua konsep yang penting dalam kehidupan bermasyarakat mahupun beragama. Banyak kejadian yang berlaku di dunia hari ini jika difikirkan memang tidak masuk akal dan amat membimbangkan, seolah-olah nilai-nilai ini tiada lagi dalam masyarakat moden. Oleh itu, pegangan agama yang kuat mesti dititikberatkan kerana ia adalah paksi juga panduan kepada kehidupan kita.

Kehilangan rasa empati akan menyebabkan kurangnya kepekaan terhadap penderitaan orang lain, dengan kita tidak memberi bantuan kepada orang yang memerlukan atau tidak peduli terhadap masalah sosial seperti kemiskinan dan ketidakadilan.

Sikap individualisme yang tinggi serta terlalu mengejar material boleh menjejaskan nilai kemanusiaan selain menyebabkan hilangnya integriti. Akibatnya, amalan rasuah, penyalahgunaan dana serta derma akan berlaku, yang seterusnya mengorbankan ukhuwah selain silaturahim kekeluargaan dan persahabatan, sekali gus merosakkan kepercayaan masyarakat kepada kita.

Kurangnya adab, sikap sopan santun dan hormat terhadap orang lain dalam berbicara, baik secara fizikal atau di alam maya perlu dielakkan. Sekiranya adab dan kesantunan itu tinggi, buli siber serta kecaman serta cacian netizen tidak akan terjadi. Segala komunikasi dan reaksi berlangsung dengan penuh kesantunan.

Terdapat manusia yang memiliki sikap ketidakpedulian terhadap komuniti dengan mengabaikan tanggungjawab terhadap kelestarian alam serta lingkungannya dan merosakkan ekosistem tanpa memikirkan impak jangka panjang. Begitu juga dengan golongan yang melakukan diskriminasi terhadap orang lain berdasarkan bangsa, agama atau status sosial.

Dengan itu, ketidakadilan sosial akan berlaku tanpa nilai insan yang mencerminkan penghormatan terhadap martabat manusia. Ini termasuk diskriminasi, penindasan atau perlakuan tidak adil terhadap individu atau komuniti. Oleh itu, apabila tiada lagi sikap empati dan pertimbangan terhadap keperluan orang lain, hubungan antara individu dan kumpulan boleh menjadi tegang dan tidak harmoni.

Dengan sikap sebegini, kemerosotan kesejahteraan sosial akan berlaku. Kurangnya perhatian terhadap kebajikan dan kepentingan masyarakat boleh menyebabkan peningkatan kemiskinan, kesengsaraan dan ketidakstabilan sosial. Ini juga dapat menyumbang kepada kehilangan keharmonian dan solidariti. Keterasingan sosial serta kurangnya rasa tanggungjawab kolektif dapat melemahkan struktur sosial selain menyulitkan pembangunan masyarakat secara keseluruhan.

Tanpa nilai insan yang menyokong kerjasama, kepercayaan serta penghargaan menyebabkan pembangunan masyarakat dan ekonomi boleh terjejas. Ini boleh menghalang potensi inovasi, kreativiti dan pertumbuhan yang memberi manfaat kepada semua lapisan masyarakat. Oleh itu, nilai insan dan ihsan bukan sekadar aspek moral atau etika semata-mata, tetapi juga merupakan asas penting untuk kestabilan, kemakmuran mahupun keharmonian sosial secara menyeluruh.

Amalan nilai-nilai ini memerlukan keterlibatan aktif serta kesedaran kolektif dalam memastikan kelestarian kesejahteraan dan perkembangan berterusan dalam komuniti. Kita menyeru kepimpinan negara serta semua peringkat masyarakat untuk terus memelihara, mengamalkan nilai insan dan ihsan yang tinggi dengan tidak membiarkannya hilang dari hati nurani demi keselamatan mahupun kesejahteraan masyarakat secara menyeluruh.

AMBIL PEDULI
Eloklah ‘menjaga tepi kain orang’ atau ambil peduli. Budaya ini sebenarnya mencerminkan sikap kita yang prihatin dan peduli dengan apa yang berlaku di sekeliling terutama dalam kelompok kejiranan dan komuniti. Budaya ‘menjaga tepi kain orang’ ini juga sangat relevan bukan sahaja atas sebab ukhuwah tetapi berperanan penting dalam membanteras jenayah domestik seperti penderaan kanak-kanak dan wanita, seterusnya mengurangkan kadar jenayah, menoktahkan korupsi selain meningkatkan kesediaan dalam menghadapi kecemasan dalam komuniti.

Sebagai kesimpulannya, nilai insan dan ihsan itu sebenarnya adalah asas kepada keadilan sosial dan kesejahteraan masyarakat. Nilai-nilai ini mewujudkan keharmonian dan keselamatan dalam masyarakat dengan menghormati hak-hak semua individu serta memberi tumpuan kepada kepentingan golongan yang memerlukan.

Setiap manusia perlu memastikan nilai insan serta ihsan terus kukuh dalam hati masing-masing demi kesejahteraan dan keselamatan bersama. Kehilangan nilai insan dan ihsan dapat membawa impak negatif yang signifikan kepada masyarakat.

Oleh itu, amat penting untuk memperkuat dan menerapkan nilai-nilai ini dalam kehidupan seharian agar dapat hidup dalam harmoni juga selamat.

Secara keseluruhannya, nilai insan dan ihsan adalah pemangkin kepada masyarakat yang adil, berempati dan berdaya maju. Amalan nilai-nilai ini bukan hanya memanfaatkan individu secara peribadi, tetapi juga menyumbang kepada keharmonian, keselamatan dan kestabilan sosial dalam jangka panjang selain berfungsi sebagai Rahmalan lil ‘alamin untuk seluruh umat manusia.-UTUSAN

Penulis ialah Timbalan Pengarah Kanan di Sultan Ahmad Shah Medical Centre @ Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN