Minggu Latihan Nasional pecah rekod, galak ekonomi berkembang

Minggu Latihan Nasional pecah rekod, galak ekonomi berkembang

SHAHRUL Dawood (kanan) menerima sijil pengiktirafan untuk Penyertaan Terbesar dalam Program Pembelajaran Sepanjang Hayat daripada Ketua Pegawai Eksekutif The Malaysia Book of Records (MBR), Christopher Wong, sambil disaksikan Anwar Ibrahim dan Steven Sim.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

EKONOMI Madani: Memperkasa Rakyat adalah wadah yang diperkenalkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mengangkat semula darjat dan martabat negara ini dengan menstruktur semula ekonomi ke arah Malaysia sebagai peneraju ekonomi di rantau Asia Tenggara dan untuk melakukan peningkatan darjat hidup rakyat yang akan dicapai melalui pekerjaan bermakna dan berpendapatan tinggi.

Salah satu agensi yang memainkan peranan penting bagi memastikan matlamat ini tercapai ialah Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) di bawah pimpinan Steven Sim. Menjadi tanggungjawab kementerian ini untuk melahirkan tenaga kerja pintar dan berkemahiran tinggi yang memenuhi kehendak syarikat dan industri sekali gus menjadikan Malaysia destinasi pilihan bagi pelabur asing serta merancakkan pelaburan langsung domestik ke tahap yang lebih baik.

Untuk itu, KESUMA memperkenalkan misi strategik 3K bertujuan untuk mempertingkatkan kemahiran dan keberhasilan pekerja di samping menjaga kebajikan mereka. Misi ini direalisasikan oleh jabatan dan agensi KESUMA, terutama sekali HRD Corp, agensi yang dipertanggungjawab untuk menawarkan program peningkatan dan kemahiran semula kepada pekerja serta bakat negara menerusi skim levi majikan selain inisiatif-inisiatif strategik yang lain.

Salah satu inisiatif strategik terpenting yang diperkenalkan HRD Corp di bawah pimpinan Datuk Shahul Dawood ialah Minggu Latihan Nasional (NTW) yang mula dibuat di semua 13 negeri dari 22 hingga 29 Mei 2023 bagi menggerakkan setiap pihak, dari bidang swasta, akademia, organisasi bukan berasaskan keuntungan, persatuan industri dan banyak lagi untuk bekerjasama untuk menjalankan latihan dan aktiviti pembelajaran secara percuma.

Lebih penting lagi, NTW juga bertujuan menyemai semangat untuk belajar dan menerapkan budaya pembelajaran sepanjang hayat rakyat. Program latihan yang ditawarkan akan mempersiapkan mereka dengan kemahiran yang diperlukan dalam era ekonomi digital dan teknologi. Dengan kemahiran yang diperoleh melalui NTW, mereka akan lebih berdaya saing dan mampu meraih pendapatan lebih baik, sekali gus meningkatkan taraf hidup.

NTW 2023 mulanya hanya membabitkan 129,321 peserta, 21,473 kursus percuma dan 503,572 jam pembelajaran sahaja tetapi kejayaannya mendorong KESUMA dan HRD Corp mengemukakan sasaran baharu untuk NTW 2024 yang berlangsung dari 24 hingga 30 Jun lalu, iaitu 200,000 penyertaan, 25,000 kursus percuma, 700,000 jam pembelajaran, 500 aktiviti pembelajaran dan pembangunan (L&D) di seluruh negara dan RM200 juta nilai latihan.

Pada akhirnya, NTW 2024 bukan sahaja memenuhi semua jangkaan tetapi melebihi sasaran dengan mencatatkan banyak rekod baharu iaitu 375,817 penyertaan berbanding sasaran 200,000, 65,115 kursus percuma berbanding sasaran 25,000 (lebih dua kali ganda daripada sasaran), 1.03 juta jam pembelajaran berbanding sasaran 700,000, 736 aktiviti L&D di seluruh negara berbanding sasaran 500 dan lebih RM323 juta nilai latihan berbanding sasaran RM200.

Lebih membanggakan lagi, NTW 2024 juga menerima pengiktirafan untuk Penyertaan Terbesar dalam Program Pembelajaran Sepanjang Hayat oleh Buku Rekod Malaysia (The Malaysia Book of Records). Pengiktirafan yang sama turut diterima oleh dua acara satelit NTW 2024, iaitu Webinar Latihan Sumber Manusia Tanpa Henti Terpanjang oleh HR Leaders Circle dan HRD Corp serta Bengkel Latihan Maya Tanpa Henti Terpanjang oleh Toastmasters.

Bergembira dengan kejayaan ini, Steven, mengumumkan mulai tahun depan NTW akan dijadikan acara tahunan pada setiap Jun.

Jelas beliau, semua yang terlibat dalam NTW adalah Pahlawan Kemahiran Malaysia kerana mereka menjadikan kita beruntung ekoran tidak perlu melancong ke mana-mana tempat lain di dunia untuk mendapatkan latihan kemahiran berkualiti tinggi.
Benar sekali NTW mengubah seluruh Malaysia menjadi universiti terbuka.

Kemuncak NTW 2024 di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur, pada 29 dan 30 Jun berlangsung dengan gilang-gemilang dengan perasmian penutupannya oleh Perdana Menteri. Kemuncak NTW 2024 menampilkan 64 kelas latihan fizikal dengan lebih dari 2,500 peserta. Ini termasuk Pertanian Bertumpu Data oleh Pendidikan Universiti Putra Malaysia (UPM), Sesi Kesedaran Program Bebas Digital oleh Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), Program Kesedaran Halal oleh Perbadanan Pembangunan Halal, STEM: Pengiktirafan Generasi Seterusnya Kecerdasan Buatan (AI) oleh Kementerian Kesihatan dan TVET: Proses Pemasaran oleh Kementerian Pendidikan.

Selain daripada Karnival Pembelajaran NTW dan program latihan, HRD Corp menerajui beberapa aktiviti berimpak tinggi di Lembah Klang, bersempena dengan NTW 2024 seperti program Kesan Neurodiversiti yang dirasmikan Tunku Puteri Johor, Tunku Tun Aminah Sultan Ibrahim dan menarik penyertaan wakil dari pelbagai industri, pengamal neurodiversiti, akademia, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta individu neurodivergen dan ibu bapa mereka.

Satu lagi program berimpak tinggi ialah Program Rintis Kecemerlangan Menteri menyaksikan empat menteri kabinet berkongsi pentas untuk membincangkan dasar kementerian masing-masing dalam membentuk bakat masa depan yang akan memacu pembangunan ekonomi Malaysia.

PELABURAN
Turut signifikan ialah perjanjian antara Microsoft dan HRD Corp untuk masing-masing melabur sebanyak RM10 juta untuk menubuhkan Pusat Kemahiran Masa Depan dan AI Kebangsaan (pusat maya).

Pusat ini adalah yang pertama di rantau ini, dan usaha kolaboratif ini bertujuan menghasilkan 200,000 bakat tempatan yang mempunyai kemahiran teknikal dan literasi digital untuk mengambil peranan berasaskan kecerdasan buatan (AI) dalam industri dalam tempoh tiga tahun akan datang.

Ini adalah untuk memastikan Malaysia mewujudkan kumpulan bakat tempatan yang mendalam untuk memenuhi piawaian industri moden dan masa depan.-UTUSAN

DATUK Dr. Mohamed Anwar Omar Din ialah Profesor Adjung di Asian e University (AeU).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN