SEJAK Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) mendapat Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA) yang baharu, Datuk Seri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz, pada 9 Januari lalu, usaha ditingkatkan untuk memperbaiki mutu penyampaian dan kebersamaan penjawat awam dalam mendukung hasrat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Mengikut penekanan Perdana Menteri dan tuntutan penjawat awam, fokus utama KPPA setelah dilantik adalah menyegerakan kajian Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA), dan ini dilakukan oleh JPA yang membolehkan Perdana Menteri mengumumkan kenaikan gaji pada 1 Mei lalu.
Ini terhasil dan diiktiraf. Perdana Menteri pada majlis sambutan Jubli Emas Penubuhan Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP) di Bangi pada 13 Julai pula menyatakan bahawa sebagai Menteri Kewangan, beliau bersama KPPA dan warga JPA bekerja keras untuk melaksanakan SSPA walaupun berdepan dengan kritikan.
Mekanisme terperinci pelarasan gaji penjawat awam ini seterusnya akan diumumkan Perdana Menteri pada Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam (MAPPA) ke-19 serentak dengan pelancaran SSPA di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada 16 Ogos nanti.
Sebagai sebahagian daripada pembaharuan, telah dikeluarkan Surat Edaran Peningkatan Kualiti Penyampaian dan Perkhidmatan Yang Berintegriti kepada semua ketua setiausaha kementerian, ketua jabatan persekutuan, setiausaha kerajaan negeri, pihak berkuasa berkanun, dan pihak berkuasa tempatan pada 18 April lalu.
Surat edaran tersebut menyarankan agar ketua jabatan sektor awam melakukan pemeriksaan mengejut di jabatan masing-masing, dengan laporan mengenainya yang mengandungi dapatan hasil lawatan serta tindakan penambahbaikan pencegahan yang diambil perlu diserahkan dua kali setahun.
“Ketua Jabatan perlu mengambil tindakan untuk membuat pemeriksaan mengejut bagi memastikan amalan-amalan negatif seperti menggunakan media sosial yang tidak berkaitan dengan tugas rasmi, bermain permainan dalam talian atau tindakan keluar pejabat tanpa kebenaran untuk urusan peribadi pada waktu bekerja tidak berlaku di jabatan masing-masing,” kata KPPA.
Setiap KPPA juga mempunyai gagasan tersendiri. Untuk itu, nilai baharu bagi penjawat awam iaitu H.E.M.A.T diperkenalkan oleh KPPA sejajar dengan dasar Malaysia Madani dan aspirasi The G.R.E.A.T Civil Service yang diperkenalkan Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Mohd. Zuki Ali.
Dalam ucapan di majlis Amanat KPPA 2024 pada 21 Februari, H.E.M.A.T diterangkan membawa dua maksud, iaitu sikap penjawat awam dalam membelanjakan dana awam secara berjimat-cermat dan dari segi sifat, menjalankan tugas dengan pengamatan selain penelitian mendalam.
Setelah kajian utama SSPA disiapkan, satu siri program di seluruh Malaysia diadakan untuk menjelaskan gagasan H.E.M.A.T. yang terdiri daripada hijrah tata kelola, empati rakyat, minda pekin, apresiasi inovasi dan telus tadbiran kepada para penjawat awam.
Program bermula dengan Perkongsian Minda INTAN: Bicara Aspirasi H.E.M.A.T di Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) Kampus Wilayah Selatan (IKWAS), Kluang, Johor, pada 2 Julai, diikuti dengan Sesi Perjumpaan KPPA dengan Penjawat Awam Negeri Sembilan pada 18 Julai yang serta sesi sama di Kelantan pada 20 Ogos, di Sabah pada 29 Ogos dan negeri-negeri lain.
Dalam program ini, ditekankan bahawa penjawat awam perlu sentiasa bersedia dalam mendepani gelombang perubahan yang berlaku.
“Pelaksanaan tugas kita tidak lagi boleh pegun dan berada di takuk lama. Sebaliknya, kita perlu lakukan hijrah tatakelola yang dinamik dan respons kepada aspirasi semasa negara.
“Saya menggesa agar setiap lapisan penjawat awam memainkan peranan secara optimum mengikut kapasiti tugas masing-masing seiring dengan permintaan serta keperluan pihak berkepentingan, lebih-lebih lagi dalam persekitaran perkhidmatan awam masa kini yang penuh dengan cabaran,” ujar Wan Ahmad Dahlan.
“Perlu memudahkan segala urusan sama ada dengan pemegang taruh ataupun pelanggan. Cara bekerja juga harus disesuaikan dengan agenda kerajaan dan tugas dilaksanakan dengan segera supaya kesannya dinikmati rakyat,” tambah beliau.
Dalam ucapan dan tindakan Wan Ahmad Dahlan juga, jelas ditunjukkan bahawa semua penjawat awam perlu mendukung agenda negara.
Ini termasuk penganjuran Himpunan Aspirasi Madani Rakan Pembimbing Perkhidmatan Awam (Akrab) di PICC pada 18 Jun lalu, yang mana Perdana Menteri melancarkan Akrab sebagai Ejen Penggerak Perubahan Perkhidmatan Awam.
Aspek kebersamaan ini juga ditekankan bila semua penjawat awam dalam sesi lawatan diseru untuk menjadi jurucakap kepada kerajaan, memahami, menerangkan serta menjelaskan kepada rakyat bahawa setiap usaha dan inisiatif yang dilaksanakan adalah untuk kesejahteraan rakyat, kerana siapa lagi yang akan memberitakan perkara yang baik ke luar sana?
Turut dilancarkan ialah Modul Latihan H.E.M.A.T. dengan dipastikan bahawa ia menepati ‘roh’ H.E.M.A.T. yang bertujuan mengubah mentaliti dan cara bertindak para pegawai dan anggota perkhidmatan awam melalui kemahiran dan pengetahuan yang diterapkan, sekali gus memacu perkhidmatan awam negara ke persada lebih gemilang.
Prinsip walk the talk (mengotakan kata-kata) dalam JPA juga diamalkan. Selaras dengan saranan untuk pemeriksaan mengejut, KPPA antara lainnya membuat lawatan ke kaunter Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Negeri Sembilan pada 18 Julai lalu dan mendapati urusan mendapatkan salinan geran tanah kini hanya memakan masa setengah hari berbanding dahulu.
Dengan pembaharuan dan kebersamaan penjawat awam dalam mendukung agenda Malaysia Madani, tujuh tanda aras prestasi ekonomi madani yang digariskan oleh Perdana Menteri, melalui pendekatan whole of nation (seluruh bangsa) dan whole of government (seluruh agensi kerajaan, pasti akan lebih mudah dicapai.-UTUSAN
DR. Mashitah Mohd. Udin ialah Pengarah Ghazali Shafie Executive Enhancement Programme (GSEEP), Ghazali Shafie Graduate School of Government (GSGSG), Universiti Utara Malaysia (UUM).










