Jadikan Muharam pemangkin ibadat

Jadikan Muharam pemangkin ibadat

SELAIN berpuasa pada hari Asyura, umat Islam digalakkan berpuasa pada hari sebelumnya iaitu hari kesembilan Muharam atau hari tasu’a.– UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MASA amat pantas berlalu. Kita kini sudah berada dalam Tahun Baru 1446 Hijrah. Hari ini sudah masuk 6 Muharam. Alhamdulillah, Allah panjangkan umur kita setahun lagi. Dalam sama sama, jangan pula kita lupa, perjalanan hidup kita di atas muka bumi ini makin pendek.

Dengan pertambahan usia setahun lagi, maka kita makin dekat untuk bertemu Allah SWT. Bak kata pepatah, ‘rumah kata pergi, kubur kata mari’.

Untuk itu, beruntunglah orang yang sentiasa mempersiapkan diri bertemu dengan Allah. Mereka tidak dilalaikan atau tertipu dengan kehidupan dunia yang sementara ini yang dikelilingi anak pinak, harta dan takhta.

Sebab itu, Nabi Muhammad SAW pernah ditanya: Siapakah di antara orang mukmin yang paling bijak? Baginda SAW menjawab: Mereka yang paling banyak mengingati mati dan yang paling baik persediaannya untuk selepas kematian. Mereka itulah orang yang bijak. (Riwayat Ibnu Majah)

Dalam keberadaan kita di bulan pertama takwim hijrah, marilah manfaatkan kesempatan masa dan nikmat sihat untuk menambah amal ibadat. Yang pertama, banyakkan puasa sunat.

Dalam bulan Muharam, ada satu ibadat sunat yang sering dilakukan oleh umat Islam iaitu puasa hari Asyura atau puasa pada hari ke-10 Muharam.

Pasti ramai yang mempunyai semangat berkobar-kobar memulakan ‘buku catatan’ baharu amalan masing-masing dengan pelbagai perkara kebajikan di samping mengelak daripada melakukan kejahatan.

Pada asasnya, Muharam membawa maksud ‘diharamkan’ atau ‘dipantang’, iaitu bulan di mana Allah SWT melarang me­lakukan peperangan atau pertumpahan darah.

Firman Allah SWT yang bermaksud: Sesungguhnya bilangan bulan-bulan di sisi (hukum) Allah ialah 12 bulan, (yang telah ditetapkan) dalam kitab Allah semasa Ia menciptakan langit dan bumi, di antaranya empat bulan yang dihormati. (at-Taubah: 36)

Bagaimanapun pada waktu dahulu, bangsa Arab jahiliah telah menyelang-nyelikan peperangan dengan mengharamkan setahun dan kemudian menghalalkan setahun kemudian.

Maka itu menurut Ibnu Kathir, penggunaan perkataan Muharam digunakan sebagai satu bentuk ketegasan yang ketara berhubung keharamannya.

Keutamaan berpuasa dalam bulan Muharam dinukilkan sebagaimana sabda Nabi SAW yang bermaksud: Seutama-utama puasa sesudah setelah puasa Ramadan adalah puasa di bulan Muharam dan sebaik-baik solat setelah solat fardu adalah solat (sunat) pada malam hari. (riwayat Muslim)

Dalam hadis lain, Rasulullah SAW bersabda: Tiga hari daripada setiap bulan daripada satu Ramadan kepada satu Ramadan yang berikutnya adalah menyamai ganjaran berpuasa sepanjang tahun. Berpuasa pada hari Asyura juga dihitung di sisi Allah sebagai penghapus dosa bagi setahun yang berlalu. (riwayat Muslim).

Selain berpuasa pada hari Asyura ini, umat Islam digalakkan berpuasa pada hari sebelumnya iaitu hari kesembilan Muharam atau hari tasu’a.

Ini berdasarkan beberapa hadis sahih, antaranya: Daripada Ibn Abbas r.a berkata (maksudnya): Ketika Rasulullah SAW berpuasa pada hari ‘Asyura, baginda turut meng­arahkan orang ramai supaya turut berpuasa. Lalu mereka berkata: Wahai Rasulullah! Sesungguhnya hari ini adalah hari yang dibesarkan oleh kaum Yahudi dan Nasrani. Lalu Rasulullah SAW bersabda lagi: “Sekiranya di tahun depan, jika diizinkan Allah, kita akan berpuasa pada hari kesembilan”. Ibn Abbas berkata: Tidak sempat munculnya tahun hadapan, Rasulullah SAW wafat terlebih dahulu. (riwayat Muslim)

Para ulama berpendapat hikmah disunatkan berpuasa pada hari tasu’a (sembilan Muharam) itu ada beberapa aspek aspek:

1. Bagi menyalahi atau membezakan dengan amalan orang Yahudi yang hanya berpuasa pada hari Asyura. Diriwayatkan daripada Ibnu Abbas r.a berkata, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Berpuasalah kamu pada hari Asyura dan buatlah perbezaan padanya (dari) orang Yahudi (dengan) berpuasa sehari sebelumnya atau sehari selepasnya”. (riwayat Ahmad)

2. Bagi tujuan berhati-hati berpuasa pada hari Asyura ke­rana kemungkinan berlaku kesilapan kekurangan dalam pe­ngiraan anak bulan. Maka dengan itu hari kesembilan Muha­ram itu dalam pengiraan adalah hari yang ke-10 Muharam yang sebenarnya.

Demikian juga kita disunatkan berpuasa pada 11 Muharam selain pada seluruh bulan tersebut dan juga pada 1 hingga 10 Muharam menurut sebahagian fuqaha.

Selain itu, Nabi SAW menisbahkan bulan Muharam sebagai syahrullah iaitu bulan Allah dan ia adalah bulan yang mulia selepas Ramadan.

Dalam hal ini baginda bersabda yang bermaksud: Sebaik-baik puasa selepas Ramadan ialah bulan Muharam dan sebaik-baik solat selepas solat fardu ialah solat pada waktu malam. (Riwayat Muslim)

Satu lagi keistimewaan Muharam adalah larangan berbuat kezaliman. Segala bentuk perbuatan zalim diharamkan untuk dilakukan dalam apa juga bulan. Namun untuk bulan haram ia lebih diharamkan dan lebih besar dosanya.

Adapun perbuatan zalim itu boleh dibahagikan kepada tiga bahagian iaitu kezaliman yang paling besar adalah melakukan perbuatan syirik dan membawa kepada kufur.

Kedua, kezaliman seseorang terhadap diri sendiri atau dengan bahasa yang mudah melakukan sesuatu perbuatan yang boleh membahayakan diri atau menganiaya dirinya sendiri. Adapun, yang ketiga adalah melakukan kezaliman kepada orang lain.

Selain puasa Asyura, kita juga berpeluang berpuasa pada hari putih iaitu pada 13, 14 dan 15 Muharam yang jatuh pada 19 hingga 21 Julai bermula Jumaat hingga Ahad depan.

Dalam keghairahan menyambut hari Asyura, janganlah hendaknya kita terpengaruh dengan perbuatan merobek pakaian, meronta-ronta dan memukul badan seperti mana yang dilakukan oleh Syiah bagi meratapi pemergian Saidina Husin kerana hukumnya haram.

Ini berdasarkan sabda Nabi SAW daripada Ibn Mas’ud r.a. yang bermaksud: Bukanlah daripada kalangan kami orang yang memukul dada, mengoyak kain dan menyeru dengan seruan jahiliah (yakni meratap seperti ratapan kaum jahiliah). (riwayat Bukhari dan Muslim)

Selain itu, para ulama menggalakkan pelbagai amalan lain pada hari asyura seperti melakukan solat sunat tasbih, berpuasa, bersedekah, mengunjungi orang alim dan lain-lain.

Justeru, marilah kita merebut peluang dalam bulan mulia ini untuk menambah amalan dengan berpuasa sunat.

Janganlah kita hanya sibuk dengan kerja memasak bubur asyura sehingga terlepas ibadat yang lebih utama iaitu berpuasa.-UTUSAN

MOHD. Radzi Mohd. Zin ialah Pengarang Berita Utusan Malaysia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN