INDEKS Daya Saing Dunia (WCI) yang dikeluarkan oleh Institut Antarabangsa bagi Pembangunan Pengurusan (IMD) adalah sebuah laporan tahunan yang menilai dan mengukur daya saing ekonomi negara-negara di seluruh dunia.
Indek ini menilai keupayaan sesebuah negara untuk mencipta dan mengekalkan persekitaran yang menyokong daya saing syarikat, yang akhirnya mendorong pertumbuhan ekonomi, penciptaan peluang pekerjaan dan peningkatan kesejahteraan.
Laporan itu melaporkan kedudukan Malaysia jatuh tujuh anak tangga dari kedudukan 27 pada 2023 kepada kedudukan 34 untuk tahun ini. Laporan ini turut mendedahkan dua negara ASEAN iaitu Thailand dan Indonesia berjaya menintas kedudukan Malaysia untuk berada di tangga ke 25 dan 27. Pencapaian Malaysia ini dilihat oleh ramai penganalisis sebagai suatu yang perlu diperhalusi dan mencari sebab kepada kejatuhan tersebut.
Terdapat dua badan antarabangsa yang mengumpul data dan melaporkan dapatan berkaitan daya saing iaitu IMD, sebuah institut perniagaan terkemuka yang terletak di Lausanne, Switzerland. Kedua adalah laporan Laporan Daya Saing Global (GCR), iaitu sebuah penerbitan tahunan yang dikeluarkan oleh Forum Ekonomi Dunia (WEF) yang menilai dan membandingkan daya saing negara-negara di seluruh dunia. Laporan ini memberikan wawasan mengenai pelbagai faktor yang mempengaruhi kekuatan ekonomi dan daya saing sebuah negara. Walau bagaimanapun laporan ini diberhentikan penerbitannya kerana perubahan dalam agenda keutamaan WEF.
Untuk memahami kedudukan sebenar yang berlaku ke atas daya saing negara, kita perlu melihat kepada kayu ukur yang digunakan IMD dalam mengukur indeks tersebut. Perbincangan ini akan memberi tumpuan kepada penarafan WIC.
Laporan yang diterbitkan oleh IMD memaparkan prestasi sesebuah negara berdasarkan empat tunggak utama iaitu prestasi ekonomi, kecekapan kerajaan, kecekapan perniagaan dan infrastruktur.
Penarafan yang dilakukan adalah berdasarkan gabungan data statistik dari sumber antarabangsa yang diiktiraf dan tinjauan eksklusif dalam kalangan eksekutif perniagaan dari seluruh dunia.
Tinjauan yang dilakukan bagi memahami persepsi eksekutif terhadap daya saing negara di mana mereka beroperasi. Secara keseluruhan terdapat 336 kriteria yang digabungkan bagi menghasilkan indeks tersebut.
Bagi tunggak prestasi ekonomi, kategori yang digunakan untuk mengukur petunjuk makroekonomi adalah Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK), pekerjaan, perdagangan antarabangsa dan tingkat inflasi. Bagi tunggak kecekapan kerajaan, ia menilai sejauh mana dasar kerajaan menggalakkan daya saing, termasuk kewangan awam, dasar fiskal, rangka kerja institusi, undang-undang perniagaan dan kerangka sosial masyarakat. Sementara tunggak kecekapan perniagaan pula mengukur nilai kemampanan dalam sektor swasta, termasuk produktiviti, pasaran buruh, kewangan, amalan pengurusan, serta sikap dan nilai.
Tunggak terakhir adalah infrastruktur, kategori ini menilai infrastruktur asas, teknologi, saintifik dan sumber manusia yang menyokong ekonomi berdaya saing, seperti pendidikan, kesihatan, alam sekitar dan infrastruktur asas.

Berdasarkan data jadual, kedudukan daya saing Malaysia mengalami kejatuhan dari tangga ke-14 pada 2015 kepada tangga 34 pada 2024. Indek prestasi ekonomi masih kukuh walaupun jatuh satu anak tangga, dari kedudukan tujuh kepada lapan pada 2024.
Kejatuhan ini banyak disumbang oleh faktor ekonomi domestik yang mengalami kejatuhan dari tangga 16 (2023) kepada tangga 35 pada tahun 2024. Namun begitu petunjuk perdagangan antarabangsa, pelaburan antarabangsa, guna tenaga dan inflasi masih kukuh malah menunjukan peningkatan daya saing.
Komponen indek kecekapan kerajaan mengalami kejatuhan sebanyak empat anak tangga dari tangga 29 pada 2023 kepada 33 pada 2024. Terdapat dua petunjukan yang mengalami kejatuhan yang ketara iaitu Perundangan Perniagaan dan Rangka Kerja Sosial Masyarakat.
Perundangan Perniagaan jatuh dari kedudukan 45 (2023) kepada 50 (2024), sementara pembolehubah Rangka Kerja Sosial Masyarakat jatuh dari tangga 39 (2023) kepada tangga 42 (2024).
Namun begitu daya saing infrastruktur negara masih ditahap rendah iaitu pada kedudukan 35 (2024). Terdapat lima pembolehubah yang diukur dalam infrastruktur, iaitu asas, teknologi, sains, kesihatan dan alam sekitar serta pendidikan.
Bagi mengukur infrastruktur pendidikan data statistik yang digunakan adalah perbelanjaan awam ke atas pendidikan; nisbah murid-guru dalam pendidikan rendah dan menengah; kadar enrolmen dalam pendidikan rendah; menengah dan tinggi; kadar literasi; peratusan populasi dengan pendidikan tinggi; graduan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) sebagai peratusan daripada jumlah graduan; bilangan universiti/institusi pengajian tinggi yang diiktiraf antarabangsa; ketersediaan program pendidikan vokasional dan teknikal; akses internet di sekolah; ketersediaan sumber pembelajaran digital dan platform pendidikan dalam talian; Skor penilaian kualiti pendidikan (PISA, TIMSS) dan tahap pencapaian pendidikan penduduk dewasa.
FOKUS KECEKAPAN PERNIAGAAN
Kerajaan perlu memberi tumpuan yang lebih khusus kepada indek kecekapan perniagaan. Kesemua lima komponen yang diukur dalam kecekapan perniagaan mengalami kejatuhan iaitu produktiviti jatuh dari 36 (2023) kepada 53 (2024).
Selain itu komponen pasaran buruh jatuh dari kedudukan 30 (2023) kepada 34 (2024) dan komponen kewangan turut mengalami kejatuhan dari tangga 30 (2023) kepada 34 (2024). Sementara itu bagi komponen amalan pengurusan jatuh dari kedudukan 31 (2023) kepada 42 (2024).
Dapat disimpulkan bahawa kejatuhan daya saing Malaysia untuk tahun 2024 banyak disumbang oleh kejatuhan komponen kecekapan perniagaan dan bukan disebabkan oleh prestasi ekonomi negara.-UTUSAN
DR. Abu Sufian Abu Bakar ialah Pensyarah Kanan di Pusat Pengajian Ekonomi, Wang dan Bank, Universiti Utara Malaysia (UUM).










