Unduk Ngadau bukan sekadar ratu cantik

Unduk Ngadau bukan sekadar ratu cantik

MAYA Hejnowska (tengah) semasa dimahkotakan sebagai Unduk Ngadau Kaamatan 2021.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

APABILA sebut tentang Unduk Ngadau, perkara pertama yang terlintas dalam fikiran adalah pertandingan ratu cantik.

Itu pandangan kebanyakan masyarakat pada hari ini kerana begitulah gambaran yang ditunjukkan dalam pentandingan Unduk Ngadau yang diadakan sempena Pesta Kaamatan.

Pada hakikatnya, Unduk Ngadau atau ratu pesta menuai adalah ‘duta’ bagi masyarakat Kadazandusun, Murut dan Rungus (KDMR) yang berperanan membantu memartabatkan budaya suku kaum itu terutama dalam kalangan anak muda.

Namun, untuk mengubah persepsi Unduk Ngadau tidak sama seperti pertandingan ratu cantik yang lain, bukan perkara mudah. Usaha perlu diambil untuk memperbetulkan tanggapan orang luar bahawa Unduk Ngadau sekadar sebuah pertandingan ratu cantik biasa.

Walaupun jika dilihat dari segi penampilan, pertandingan Unduk Ngadau berbeza dengan pertandingan ratu cantik biasa kerana kesemua peserta memperagakan pakaian tradisional suku kaum KDMR.

Hanya pada malam gala atau sodop pintutunan yang diadakan pada 29 Mei, kesemua peserta akan mengenakan pakaian gaun malam yang dengan konsep tradisional kontemporari.

Penampilan Unduk Ngadau yang mewakili setiap daerah dengan pakaian tradisi masing-masing secara tidak langsung membantu memperkenalkan budaya KDMR kepada masyarakat luar.

Bekas Unduk Ngadau, Maya Hejnowska, 24, berkata, dia sendiri beranggapan pada asalnya Unduk Ngadau seperti pertandingan ratu cantik yang lain. Namun, itu pandangannya sebelum terlibat dalam pertandingan berkenaan.

Namun, setelah terlibat dalam pertandingan dan dinobatkan sebagai juara Unduk Ngadau Kaamatan 2021, barulah dia mengetahui bahawa peranan Unduk Ngadau itu penting sebagai duta budaya suku kaum KDMR.

Graduan Akademi Seni dan Teknologi Kreatif, Universiti Malaysia Sabah (UMS) itu menyifatkan penyertaannya dalam pertandingan Unduk Ngadau memberi peluang kepadanya untuk mendalami adat dan budaya suku kaum berkenaan.

Biarpun sebelum ini dia mempunyai pengetahuan tentang adat dan budaya KDMR namun, pemahaman tentang budaya kaum itu menjadi lebih baik selepas bergelar Unduk Ngadau.

Katanya, untuk mengubah persepsi orang ramai tentang Unduk Ngadau bukan mudah, jadi, sebagai anak muda yang pernah menyandang gelaran Unduk Ngadau, dia berusaha membina personaliti dan menjalani kehidupan yang baik.

Jangan biarkan gelaran Unduk Ngadau membuatkan seseorang itu terbuai dalam mimpi. Gelaran yang dimenangi harus dimanfaatkan untuk mengangkat budaya kaum KDMR ke arah yang lebih baik.

Katanya lagi, jadikan pertandingan itu sebagai platform untuk belajar lebih mendalam tentang budaya KDMR.

Adat dan budaya suku kaum KDMR itu sendiri cukup kaya dan menjadi satu kerugian sekiranya ia tidak dipelajari dan terus dipraktikkan oleh anak-anak muda hari ini dan masa depan.

Selepas dinobatkan sebagai Unduk Ngadau Kaamatan, peserta yang menjadi juara akan mengikuti program yang disusun oleh Jawatankuasa Unduk Ngadau sepanjang setahun memegang gelaran berkenaan.

Pada tahun lalu, Unduk Ngadau mewakili daerah Papar iaitu Carol Abbey Gail dinobatkan sebagai Unduk Ngadau Kaamatan 2023.

Jika diimbau kembali sejarahnya, mitos Unduk Ngadau ini mengisahkan tentang tuhan masyarakat Kadazandusun pada masa lampau, Kinorohingan dan isterinya, Suminundu yang terpaksa mengorbankan anak perempuan mereka yang bernama Huminodun kerana mempercayai bencana alam yang melanda kampung tempat tinggal mereka menginap akan berakhir selepas upacara pengorbanan gadis jelita.

Maka, bagi mengenang pengorbanan Hominodun, penganjuran Unduk Ngadau atau ratu cantik sempena Pesta Kaamatan dan tarikh kemuncak pertandingan diadakan pada 30 dan 31 Mei di Hongkod Koisaan KDCA, Penampang.

Pertandingan Unduk Ngadau yang pertama adalah pada 1960 dan kini sudah memasuki 64 tahun sejak pertandingan tersebut diadakan.

Sebelum ini, Pengerusi Jawatankuasa Unduk Ngadau, Joanna Kitingan memaklumkan seramai 49 peserta termasuk enam peserta dari Semenanjung Malaysia akan bersaing untuk meraih gelaran Unduk Ngadau Kaamatan 2024.

Enam peserta dari Semenanjung mewakili Lembah Klang, Putrajaya, Johor, Melaka, Perak dan Pulau Pinang. Sementara itu, dua peserta mewakili KDCA Labuan dan Sarawak, sementara 41 peserta lagi dari seluruh daerah di negeri ini.

Jika dilihat kembali, penglibatan peserta Unduk Ngadau dari Lembah Klang bermula sejak 2003 dan ketika itu ia dimenangi oleh Daphne Iking yang kini merupakan personaliti terkenal.

Pesta Kaamatan tahun ini bertemakan ‘Kaamatan Melangkaui Keterjaminan Makanan’ dilancarkan pada 1 Mei lalu di Ranau dan kemuncak pesta pula dianjurkan bagi menghormati semangat padi.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN