KUALA NERUS: Terengganu FC (TFC) membatalkan penajaan bernilai RM1.5 juta dengan XFOX Market Holdings Sdn. Bhd. hanya 48 jam selepas memeterai perjanjian tersebut.
Ketua Pegawai Eksekutif TFC, Mohd. Sabri Abas berkata, keputusan itu dibuat atas persetujuan bersama selepas mengambil kira penularan perjanjian penajaan itu sejak kelmarin.
Menurutnya, TFC dan XFOX Market Holdings telah menandatangani persefahaman menyaksikan skuad Penyu menerima tajaan RM1.5 juta untuk Kejuaraan Kelab ASEAN, musim ini Ahad lalu.
“Usaha untuk memuktamadkan penajaan ini dijalankan mengikut proses sewajarnya, namun tohmahan yang tular di media sosial menimbulkan suasana tidak sihat antara pihak kelab, penaja dan penyokong.
“Kami bersedia untuk bekerjasama dengan XFOX Market Holdings setelah melihat sendiri operasi syarikat berkenaan dalam pelbagai sektor yang dilihat sesuai dengan kelab TFC.
“Namun mengambil kira suara kebimbangan penyokong, pembubaran penajaan menjadi kaedah terbaik menyelesaikan isu tanpa sebarang tuntutan daripada kelab dan penaja,” katanya ketika dihubungi, di sini.
Mohd. Sabri menjelaskan, ekoran daripada pembatalan kerjasama itu, pihak pengurusan TFC akan memulangkan semula wang penajaan RM1.5 juta kepada XFOX Market Holdings.
Ujar beliau, pihaknya akan terus berusaha mendapatkan tajaan baharu bagi membantu skuad kendalian Tomislav Steinbruckner itu membuat persiapan ke Kejuaraan Kelab ASEAN.
“Tindakan membatalkan penajaan ini juga lebih kepada menjaga aspek keharmonian kelab untuk mengharungi saingan domestik dan Piala Shopee musim ini,” tambahnya. – UTUSAN










