SHAH ALAM: Pemain sayap pasukan bola sepak kebangsaan dan Selangor FC, Faisal Halim tidak boleh melakukan aktiviti lasak berikutan luka melecur pada badannya belum pulih.
Ketua Pegawai Eksekutif Selangor FC, Dr. Johan Kamal Hamidon berkata, keadaan luka di leher, bahu, lengan dan dada Faisal belum kering ketika beliau melawat pemain itu pada minggu lalu.
“Saya lawat dia minggu lepas dan lukanya masih lagi basah dan berwarna kekuningan, tetapi saya tidak pasti (kekuningan itu) adalah nanah atau sebaliknya.
“Bila (luka) kering, kulit (di tempat luka) akan jatuh. Jadi, Faisal perlu ke hospital yang dia rawat sebelum ini, sekali dalam tempoh empat dan lima hari bagi mencuci luka dan membuat pemeriksaan pada tempat kecederaannya,” katanya.
Beliau sebelum itu hadir pada majlis menandatangani perjanjian antara Selangor FC dengan Johawki Holdings Sdn. Bhd. (Johawki Holdings) di pusat latihan Selangor FC, di sini, semalam. – UTUSAN










