SABAN hari apabila berkumpul, kita sering bercakap tentang hal ekonomi. Sambil menghirup minuman panas di kedai kopi, ada yang serius berbincang tentang harga diesel bersumberkan apa yang tertera di media sosial. Masing-masing membuat tafsiran sendiri tanpa perlu merujuk fakta sebenar.
Ada pula yang mempersendakan penurunan harga telur sebanyak tiga sen. Terlalu sedikit, kata mereka. Namun, mereka jugalah yang lantang membantah jika berlaku kenaikan harga telur sebanyak satu sen. Walau apa pun, masih ramai yang merasa lega dan bersyukur.
Kita mengeluh tentang harga makanan yang semakin mahal tetapi tidak berkira ketika membuang lebihan makanan yang masih boleh dimakan. Memadai hanya dengan memberi sebab kita tidak dapat menghabiskan makanan tersebut.
Kita semua sayangkan bumi ini. Kita bercakap tentang memperkasakan pelaksanaan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) dan prinsip-prinsip persekitaran, masyarakat dan pentadbiran, tetapi ada yang berpendapat pelaburan ke arah ini sebagai satu pembaziran.
Kenapa harus membazirkan duit yang banyak untuk memasang panel solar bagi menjana kuasa elektrik? Ataupun, kenapa harus dibina laluan berjalan kaki beratap serta lorong basikal di jalan raya? Walhal, jika tidak dipecah ruyung, di mana boleh mendapat sagu.
Hutan dara ditebang sewenang-wenangnya untuk mendapatkan kayu balak bermutu tinggi. Bukit digondolkan dengan rakus untuk dijadikan ladang tanpa memikirkan kesannya kepada alam sekitar.
Apabila bumi tidak dijaga, ramai yang akan menanggung derita. Bukan hanya kita kehilangan spesis tumbuh-tumbuhan yang berharga, tetapi nyawa dan harta benda turut menjadi taruhannya.
Ada kilang-kilang yang hanya mementingkan keuntungan sendiri. Mereka sanggup membuang sisa kimia marabahaya ke sungai, mengakibatkan pencemaran serta kerosakan kepada ekosistem. Ini belum termasuk faktor pencemaran udara dan air daripada asap dan sisa buangan perkilangan yang kadang-kala dialirkan ke sungai berhampiran.
Inilah akibatnya apabila kita terlalu mementingkan kejayaan bersifat material serta gagal menanam sikap bertanggungjawab, amanah dan setia kepada negara dalam diri rakyat. Akibatnya, hiduplah kita seperti enau dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing.
Negara kaya menjanjikan taraf hidup serta pendapatan per kapita rakyatnya yang tinggi. Namun, ini tidak bermakna kehidupan rakyatnya lebih sejahtera berbanding negara lain. Apatah lagi jika jurang pendapatan di antara rakyatnya adalah tinggi dan sistem sosialnya tidak mampan dan menyeluruh. Yang susah tetap menderita.
Akan tetapi, dalam menentukan kejayaan pemerintahan sesebuah kerajaan, perkara utama yang sering dijadikan ukuran ialah pendapatan per kapita rakyat. Soal indeks nilai kesejahteraan dan kebahagiaan rakyat tidak diambil kira, mungkin kerana ia tiada nilai ekonomi untuk dibanggakan.
Mengambil contoh ketika kempen pilihan raya, yang diserang pembangkang hanyalah hal-hal berkaitan ekonomi seperti kelembapan ekonomi, penurunan nilai mata wang, pendapatan isu rumah yang rendah, harga barang naik dan sebagainya, bukannya indeks kebahagiaan.
Oleh kerana itu, dalam soal memperkasakan negara, kita memberi tumpuan yang besar ke arah dasar-dasar pemerkasaan sosioekonomi, manakala soal sosioemosi rakyat sering dipinggirkan.
Kita berlumba-lumba membangunkan ekosistem kecerdasan buatan (AI) sedangkan soal membangunkan sahsiah manusia dengan sifat manusiawi tidak diberi penekanan yang sama. Walhal, membangunkan kecerdasan sosioemosi adalah lebih penting daripada membangunkan AI.
Justeru, tidak menghairankan jika dalam proses memilih jurusan pendidikan tinggi, faktor gaji yang bakal diraih menjadi elemen yang sangat penting sehingga mengatasi faktor minat dan kebolehan pelajar berkenaan.
Mereka akhirnya bekerja hanya untuk mendapatkan gaji yang lumayan dan tidak dapat menjiwai apa yang mereka lakukan. Seperti robot, semuanya dikerjakan sebagai satu rutin tanpa adanya nilai tambahan seperti idea-idea baharu, kajian serta inovasi untuk memajukan bidang yang mereka ceburi.
Faktor mengejar pendapatan tinggi turut menyebabkan ramai pelajar memilih untuk tidak menyambung pelajaran. Mereka merasakan bahawa belajar tidak mendatangkan faedah dan hanya membuang masa.
Mereka yakin bahawa menjadi pempengaruh media sosial serta penyertaan dalam ekonomi gig dapat memberikan mereka pendapatan yang lebih lumayan berbanding rakan-rakan mereka yang memiliki ijazah.

MAHU CEPAT KAYA
Amat malang sekali apabila kita kini terlalu mementingkan hal kebendaan sehingga ia dilihat sebagai tanda aras kejayaan manusia. Nilai-nilai manusiawi sudah diketepikan. Justeru, tidaklah menghairankan jika penindasan, pecah amanah, rasuah dan sebagainya berlaku dengan berleluasa di sana sini.
Ikut hati mati, ikut rasa binasa, ikut mata leta. Terlalu menurut nafsu mahu cepat kaya sehingga sanggup berbuat apa sahaja demi mencapai matlamat itu menyebabkan maruah manusia dijual beli.
Kerana duit, adab, hukum serta nilai manusiawi semuanya sanggup ditolak ke tepi.
Manusia harus dididik supaya kembali kepada fitrahnya. Pendidikan bukan setakat untuk memastikan setiap pelajar lulus peperiksaan dengan cemerlang. Tetapi ia harus mampu melahirkan insan yang amanah, bertanggungjawab serta mempunyai rasa belas kasihan.
Alangkah baiknya jika kita mampu menanam sikap syukur dalam diri serta menghargai apa yang ada dan tidak cuma mencari apa yang kurang kerana tidak akan dapat semua yang dimahukan.
Kita harus melatih diri menjadi insan yang bijaksana dan bukannya membiarkan diri kita diperalatkan oleh mereka yang berkepentingan demi mencapai hasrat mereka.
Sikap tamak dan angkuh kelak akan hanya merugikan diri kita sendiri, ibarat anjing dengan bayang-bayang.
Belajarlah menilai sesuatu perkara melalui perspektif yang betul secara jujur dan ikhlas. Dan bukannya membuat penilaian secara semberono serta dibayangi persepsi atau keangkuhan diri.
Jadilah individu yang bertanggungjawab dan berusahalah untuk menabur bakti serta membuat kebaikan di mana sahaja kita berada. -UTUSAN
PENULIS ialah pelajar Ijazah Sarjana Muda Sains Politik di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).










