Skuad muda impi ke Piala Dunia B-17 

Skuad muda impi ke Piala Dunia B-17 

PRESIDEN FAM, Datuk Hamidin Mohd. Amin memberi kata-kata semangat kepada pemain bawah 16 negara dalam majlis memperkenalkan skuad tersebut di Kelana Jaya, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Skuad bawah 16 tahun (B-16) negara tekad menjadikan kejuaraan Piala ASEAN B-16 sebagai medan permulaan untuk mereka melunaskan misi ke Piala Dunia B-17 2025.

Pengurus skuad B-16 negara, Christopher Raj percaya saingan berprestij itu adalah medan terbaik untuk menguji generasi baharu barisan pemain dibawah kendalian jurulatih, Javier Jorda Ribera.

Katanya, barisan pemain sudah bersedia untuk memberikan yang terbaik meskipun tiada sasaran spesifik diletakkan kerana fokus utama adalah pada kempen kelayakan Piala Asia B-17 2025 pada Oktober depan.

“Sasaran peribadi saya adalah untuk menyaksikan pasukan ini layak pada kempen Piala Asia B-17 2025 nanti. Ini kerana pada kejohanan terbabit kita akan ada peluang untuk bersaing pada Piala Dunia B-17 2025 di Qatar.

“Pada saingan tersebut, slot automatik diberikan kepada pasukan benua Asia sudah bertambah ke sembilan negara termasuk tuan rumah berbanding tiga ke empat negara sahaja sebelum ini.

“Bukan saya cakap Piala ASEAN B-16 tidak penting, kejohanan ini juga penting untuk menguji pasukan kerana kita akan menguji negara berkualiti seperti Thailand dan Australia,” katanya pada sidang akhbar pengenalan skuad B-16 di sini, semalam.

Sementara itu, Christopher yang juga Ahli Jawatankuasa Eksekutif (Exco) Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) percaya Ribera merupakan jurulatih yang tepat selepas diberi tugas untuk membimbing pasukan belia negara sejak awal tahun ini.

“Keistimewaan Ribera dia ada menyimpan data pemain-pemain remaja negara sejak berada di Malaysia tujuh tahun lalu. 

“Dia tahu ada pemain di Perlis, Terengganu atau Kedah yang memiliki kualiti dan mereka yang dipanggil adalah kumpulan pemain yang terbaik,” katanya.

Piala ASEAN B-16 yang akan bermula esok di Surakarta, Indonesia itu menyaksikan Malaysia berada dalam Kumpulan C bersama Thailand, Timur Leste dan Australia.

Untuk rekod, skuad muda negara sebelum ini pernah bergelar juara pada kejohanan yang turut dikenali sebagai Kejuaraan AFF B-16 itu sebanyak dua kali pada edisi 2013 di Myanmar dan 2019 di Thailand. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN