SHAH ALAM: Pemain sayap Selangor FC dan Harimau Malaya, Faisal Halim mengakui hampir membuat keputusan untuk menamatkan kariernya dan pulang ke kampung halaman ekoran kecederaan yang dialaminya.
Namun, dia membatalkan hasrat tersebut setelah melihat sokongan moral yang diberikan Persatuan Bolasepak Selangor (FAS), Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Kementerian Belia dan Sukan (KBS) serta rakyat Malaysia yang ingin melihatnya beraksi semula di padang.
“Datuk Seri Shahril Hamdan (Ahli Lembaga Pengarah FAS) memberi jaminan bahawa persatuan akan memastikan keluarga saya selamat dan ini menjadi salah satu sebab saya kembali bersemangat untuk kembali berlatih di padang.
“Doa orang ramai semasa saya menjalani rawatan turut menjadi kekuatan kepada saya sehingga kini,” katanya dalam sidang akhbar khas bagi memaklumkan perkembangan dirinya di pusat latihan Selangor FC, di sini, semalam.
Ujar pemain kelahiran program Mencari Ramli itu, dia tidak kisah untuk pulang ke kampung halamannya di Kampung Mengkuang Titi, Pulau Pinang, dan kehilangan pendapatan ribuan ringgit sebagai pemain bola sepak profesional asalkan beliau dan keluarganya selamat.
Malah Faisal yang mendapat jolokan Mickey itu berkata, beliau tidak kisah bekerja di mana-mana bidang di kampungnya, dengan pendapatan RM50 sehari.
“Saya ada cakap dengan isteri dan keluarga bagi menyatakan hasrat untuk pulang ke kampung.
“Tapi tidak mengapa. Saya akan cuba kuatkan semangat dan fokus kepada pemulihan kecederaan supaya saya boleh kembali menjalani latihan.
“Saya sasarkan untuk turun berlatih ke padang, paling cepat lagi sebulan,” kata pemain yang memakai jersi 7 di Selangor FC.
Faisal berkata, dia sudah mula menjalani latihan berbasikal di sebuah lokasi rahsia dan hal ini mengejutkan Shahril Mokhtar, yang menyatakan perkembangan kesihatan dilihat semakin baik.
Ujarnya, latihan berbasikal itu dibuat bagi memastikan otot badannya tidak keras dan memudahkannya melakukan latihan di padang.
“Apa pun, tidak pasti bila saya boleh jalani latihan penuh kerana kecederaan saya ini perlu ambil masa untuk sembuh.
“Harap rakyat Malaysia terus doakan kesembuhan saya. Terima kasih kerana memberikan semangat untuk saya pulih,” katanya.
Sementara itu, Shahril memaklumkan bahawa Faisal masih lagi pemain Selangor FC memandangkan kontraknya dengan pasukan itu tamat pada 2027.
Tegasnya, FAS akan terus memberikan bantuan kewangan dan sokongan moral kepada Faisal selagi pemain masih mempunyai kontrak dengan persatuan itu. – UTUSAN










