PETALING JAYA: Atlet olahraga negara, Ruslem Zikry Putra Roseli dan , Nani Sahirah Maryata dinobatkan sebagai Olahragawan dan Olahragawati Universiti Putra Malaysia (UPM) 2023.
Kedua-dua atlet kebangsaan itu dipilih menerima pengiktirafan berkenaan dalam Majlis Anugerah Sukan UPM kali ke-38 yang disampaikan oleh Naib Canselor UPM, Prof. Datuk Dr. Ahmad Farhan Mohd Sadullah.
Ruslem Zikry dipilih selepas meraih pingat emas dan perak dalam Kejohanan Terbuka Singapura dalam acara 4×400 meter dan 400 meter lari berpagar, malah layak ke peringkat final 4×400 meter di Sukan Universiti Dunia (FISU) di Chengdu.
Dia juga berlari dalam babak akhir 400 meter berpagar di Sukan SEA, Kemboja.
Sementara itu, Nani Sahirah berjaya mencipta rekod baharu kebangsaan pada Kejohanan Olahraga Terbuka Perak 2023.
Dalam masa yang sama, kejayaan Sahirah disusuli dengan pingat emas pada Kejohanan Terbuka Padang dan Balapan Filipina 2023 dan meraih gangsa di Sukan SEA, Kemboja.
Kemenangan tersebut membolehkan kedua-dua atlet tersebut membawa pulang piala pusingan, piala iringan, sebentuk jam tangan dan wang tunai RM 3,000.
Dalam majlis itu, Ahmad Farhan turut merakamkan penghargaan kepada 150 atlet yang diraikan atas pencapaian memberangsangkan sepanjang tahun lalu .
Menurut Ruslem, beliau sendiri seakan tidak percaya mampu merangkul gelaran olahragawan kerana melihat pesaingnya yang mempunyai lebih rekod pencapaian yang lebih baik.
“Ini adalah rezeki buat saya dan merupakan batu loncatan untuk saya terus berusaha dan melangkah lebih jauh untuk kejohanan akan datang terutamanya Sukan Universiti ASEAN (AUG), ” kata Ruslem.
Sementara itu, buat Nani Sahirah yang merangkul gelaran olahragawati, beliau ingin menjadikan gelaran ini sebagai pembakar semangatnya untuk memecahkan rekod kebangsaan lontar peluru miliknya dengan menyasarkan lontaran sejauh 15.22 meter (m) di AUG 2024.
“Saya nak balas dendam dekat AUG sebab dekat Terbuka Malaysia sebelum ini saya tidak dapat lakukan dengan baik (lontaran terbaik). Jadi doakan supaya saya dapat lakukan dekat sana (AUG), ” Kata Nani.
Dalam perkembangan sama, atlet Ragbi negara, Adeen Imann Putra Md Baharudin pula dipilih merangkul anugerah Bintang Harapan Lelaki, manakala atlet memanah, Nur Ain Ayuni Fozi pula dipilih sebagai Bintang Harapan Wanita. – UTUSAN










