PENGOSONGAN luar jangka kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri, Gua Musang Kelantan berkuatkuasa 19 Jun lalu sebagaimana yang diumumkan Speaker DUN Kelantan Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah dijangka mengulangi sejarah tahun 1991.
Pada tahun itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Pinang dari Parti Semangat 46, Nordin Salleh bertindak keluar parti pada 27 Mac 1991 dan selang dua minggu kemudian, ADUN Limbongan, Wan Najib Wan Mohamed melakukan tindakan sama.
Ekoran itu, pada 25 April 1991, DUN Kelantan meluluskan pindaan Perlembagaan Negeri apabila ada ADUN keluar parti atau dipecat terlucut daripada jawatannya.
Menariknya, pindaan itu berkuatkuasa secara rasminya pada 18 November 1990. Selepas itu, DUN Kelantan yang bersidang 3 Julai 1991 melucutkan keahlian Nordin dan Wan Najib sekali gus menyaksikan berlakunya pilihan raya kecil (PRK) di kedua-dua kawasan tersebut.
Dalam PRK yang berlangsung pada 24 Ogos tahun yang sama, kedua-dua tokoh berkenaan bertanding atas tiket Barisan Nasional (BN). Bagaimanapun, pengundi di DUN Sungai Pinang menolak Nordin sekali gus menyaksikan tokoh itu kalah kepada Mahmud Yaakub dengan majoriti 1,994 undi.
Wan Najib turut menerima nasib yang sama apabila ditolak oleh rakyat di DUN Limbongan dengan majoriti 1,560 undi selepas tewas di tangan Samat Mamat. Kemelut itu tampak berpanjangan apabila kedua-dua tokoh itu membawa kes tersebut ke mahkamah. Tuah nyata menyebelahi mereka, tanggal 8 November 1991 Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan pindaan Perlembagaan dan perlucutan jawatan mereka tidak sah.
Kira-kira enam bulan kemudian, pada 3 April 1992 Mahkamah Agung mengekalkan keputusan yang dibuat oleh Mahkamah Tinggi dan Rayuan iaitu memutuskan pindaan Perlembagaan dan perlucutan jawatan Nordin dan Wan Najib tidak sah.
Bukan itu sahaja, mahkamah menyifatkan Enakmen Antilompat Parti 1991 yang digubal di DUN Kelantan tidak terpakai selepas didapati bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan.
Pengekalan keputusan itu menyaksikan Nordin dan Wan Najib digelar sebagai ‘ADUN Mahkamah’.
Peristiwa yang berlaku lebih kurang 33 tahun lalu itu dijangka berulang kembali selepas DUN Kelantan mengumumkan pengosongan luar jangka.
Tindakan itu dibuat, selepas DUN Kelantan pada 13 Jun lalu menerima notis bertulis mengikut Fasal (3) Perkara 31A Undang-Undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan daripada seorang ADUN daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berhubung keahlian Mohd. Azizi Abu Naim yang juga ADUN Nenggiri itu terbatal daripada parti itu.
Andaian itu tampak berasas apabila penyandang kerusi Mohd. Azizi memohon injunksi mahkamah bagi mencabar keputusan Speaker DUN Kelantan yang mengumumkan kawasan itu kosong berkuatkuasa 19 Jun lalu.
Difahamkan Mohd. Azizi akan memfailkan injunksi itu dalam masa terdekat di Mahkamah Tinggi Kota Bharu bagi mengetepikan keputusan yang dibuat oleh Mohd. Amar.
TERPAKAIKAH RUU LOMPAT PARTI?
Rang Undang-undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2022 iaitu Akta Perlembagaan (Pindaan) (No.3) 2022 (Akta A1663) yang melarang Ahli Dewan Rakyat melompat parti telah diluluskan oleh Parlimen dan berkuatkuasa Oktober 2023.
Akta yang digubal pada 11 April 2022 merupakan satu sejarah baharu dalam arena politik negara. Melihat kepada perkara itu, kedudukan Mohd. Azizi di DUN Nenggiri berkemungkinan besar akan tergugat.
Apa yang berlaku pada penyadang kerusi Nenggiri itu pernah berlaku di Pulau Pinang. DUN Pulau Pinang pada 6 Mac 2023 mengarahkan empat ADUN pembangkang dari Bersatu iaitu Dr. Afif Bahardin (Seberang Jaya) Zulkfili Ibrahim (Sungai Acheh), Khaliq Mehtab Mohd. Ishaq (Bertam) dan Zolkifly Md. Lazim (Teluk Bahang) meninggalkan sidang.
Tindakan itu dibuat selepas DUN yang bersidang ketika itu meluluskan usul pengosongan empat kerusi tersebut. Bagaimanapun PRK tidak sempat dilangsungkan kerana penggal DUN Pulau Pinang ketika itu hampir berakhir.
Mengambil kira kepada usia DUN Kelantan yang belum setahun itu menyaksikan Nenggiri bakal memilih wakil rakyat baharu.
Semua itu masih awal untuk diramalkan, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan bersidang Jumaat ini untuk membuat keputusan berkait perkara tersebut selepas menerima notis pengosongan dari Speaker DUN Kelantan.
PRK atau tidak terpulang, namun pastinya rakyat Nenggiri sudah mula berkira-kira siapa yang mereka undi nanti.-UTUSAN
Kor guano?
PENULIS ialah Koresponden Utusan Malaysia Kelantan.










