BERLIN: Poland mengharapkan keajaiban berlaku untuk melihat penyerang terbanyak Robert Lewandowski kembali cergas bagi menghadapi Austria dalam aksi kedua Kumpulan D Kejohanan Euro 2024, malam ini.
Skuad kendalian Michal Probierz itu memulakan kempen Euro dengan langkah kiri apabila tumpas 1-2 kepada Belanda, Ahad lalu.
Lewandowski tidak dapat diturunkan berikutan mengalami kecederaan paha sewaktu menentang Turkiye dalam aksi pemanas badan dan walaupun namanya dalam senarai ketika bertemu Belanda, Probierz enggan mengambil risiko.
“Dia (Lewandowski) berharap dapat beraksi menentang Austria, dia pemain yang amat penting untuk kami.
“Kami telah menunjukkan (menentang Belanda) bahawa kami boleh bermain dengan baik malah kami ada beberapa peluang dan saya memberitahu pemain agar pandang ke depan, kami boleh bertemu sesiapa sahaja…semua pemain percaya kami berada di landasan yang betul,” kata Probierz.
Sementara itu, Austria turut berdepan misi wajib menang selepas mereka tewas kepada Perancis dalam aksi pembukaan jika mara ke peringkat seterusnya.
Perancis menanti Poland dalam aksi terakhir kumpulan manakala Austria dijadual bertemu Belanda, kedua-dua pasukan itu tahu hanya kemenangan sahaja membolehkan mereka mara ke peringkat kalah mati.
“Perlawanan Poland penting – sesiapa yang menang akan mempunyai peluang yang besar untuk mara. Kami tahu bahawa ini sukar dan perlawanan ini menjadi penentu, kami sudah tahu sebelum ini,” kata jurulatih Austria, Ralf Rangnick.
Rangnick berkata, pemilihan pasukannya menentang Poland tidak akan dipengaruhi dengan perlawanan sebelum ini selepas anak-anak buahnya mengutip lima kad kuning ketika bertemu Perancis.
“Perlawanan ini amat penting jadi kami tidak mahu fikir tentang kutipan kad kuning. Kami akan letakkan pemain terbaik dan paling kuat dalam kesebelasan utama menentang Poland.
“Kami melihat ke hadapan sekarang, kami melihat masa hadapan dan kami akan melakukan segala-galanya untuk perlawanan itu,” katanya. – AGENSI/UTUSAN










