Pemain sudah berikan yang terbaik - Aguero  

Pemain sudah berikan yang terbaik – Aguero  

SERGIO Aguero dipanggil sertai Harimau Malaya menentang Taiwan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Penyerang Harimau Malaya, Sergio Aguero mengakui pemain negara sudah melakukan yang terbaik dalam kempen kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027.

Aguero berkata, mengutip 10 mata dalam Kumpulan D adalah pencapaian luar biasa ketika beberapa pasukan dalam kumpulan lain layak ke pusingan seterusnya dengan hanya lapan mata.

Pemain Sri Pahang itu juga mengakui, Harimau Malaya berdepan kesukaran dalam aksi terakhir menentang Taiwan, namun tetap beruntung berjaya mengutip tiga mata hasil kemenangan 3-1.

“Setiap perlawanan ada kesukaran yang perlu dihadapi, kita gagal cari tujuh gol seperti yang diinginkan, tetapi kita menang 3-1. Kita menang mahukan banyak (gol) dan semua pemain sudah berikan yang terbaik.

“Saya masuk separuh masa kedua dan saya berikan segalanya untuk pasukan. Memang sangat sedih dengan keputusan ini (gagal ke pusingan ketiga kelayakan Piala Dunia 2026), tetapi sekurang-kurang kita raih tiga mata.

“Secara keseluruhan, Harimau Malaya sudah berikan yang terbaik untuk kempen kelayakan ini dan kita raih 10 mata berbanding ada pasukan lain yang layak dengan lapan mata,” kata pemain kelahiran Argentina itu.

Sebelum ini, Aguero dipanggil untuk menyertai kem Harimau Malaya kurang 48 jam sebelum berdepan Taiwan bagi menguatkan jentera serangan skuad kendalian Kim Pan Gon yang memerlukan jaringan besar ke atas pasukan di tangga ke-159 dunia itu.

Dalam aksi menentang Taiwan di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) kelmarin, kemasukan Aguero pada separuh masa kedua mengubah rentak permainan Harimau Malaya untuk bangkit menumpaskan Taiwan 3-1.

Bagaimanapun, kemenangan itu tidak cukup membawa Malaysia ke pusingan ketiga kelayakan Piala Dunia 2026 selepas Kyrgyzstan berjaya mengikat Oman 1-1 dalam aksi terakhir Kumpulan D.

Keputusan seri itu menyaksikan Kyrgyzstan mara ke pusingan ketiga kelayakan Piala Dunia 2026 dan layak ke Piala Asia 2027 selepas mengutip 11 mata untuk berada di tangga kedua, manakala Oman muncul juara Kumpulan D dengan 13 mata. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN