Mencari jalan pulang bagi politik Malaysia yang harmonis

Mencari jalan pulang bagi politik Malaysia yang harmonis

POLITIK memerlukan pengorbanan untuk memastikan negara ini kekal harmoni.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MENZAHIR dan menumpahkan semangat ‘sayangkan negara’ tidak semestinya berada di bulan Ogos, bulan menyambut ulang tahun kemerdekaan. Sebaliknya istilah ‘sayang’ perlu diterjemahkan seiring menelusuri kehidupan secara berterusan tanpa tempoh atau bermusim. Ini baik dalam hal tutur bicara mahupun pada sebarang tindakan.

Sayang bermakna bersyukur dan menghargai nikmat kemakmuran yang ada atau yang sedia dikecapi.  Bukan semua negara memiliki suasana aman damai seperti di Malaysia. 

Saya sering mendengar suara-suara pujian dan pengiktirafan daripada warga antarabangsa, sepanjang bertugas membuat liputan di merata negara sebagai wartawan penyiaran di Jabatan Penyiaran Malaysia (RTM) tidak lama dahulu, bahawa Malaysia dianggap sebuah negara yang harmoni dan progresif, cukup selesa untuk dikunjungi dan didiami.

Mereka yang pernah berada di Malaysia sama ada kerana melancong atau bertugas di Pejabat Kedutaan masing-masing meluah kata-kata, “Tidak patut Malaysia dicemari atau diganggu oleh mana-mana elemen yang boleh menggugat keharmonian yang sedia ada”.  Malah, ada yang menyebut “kemajmukan kaum di Malaysia turut terjelma sebagai sesuatu yang menarik dan harmonis”.

Perlu diperakui, bahawa terdapat empat paksi utama mendorong Malaysia kekal aman, maju, stabil. Konsep yang diamalkan ialah konsensus, bersederhana, inklusif dan adil saksama. 

Semua pendekatan ini menggambarkan wujudnya kesedaran bahawa setiap gerak, tutur kata tentang hal kenegaraan dan memutuskan sesuatu dasar perlu dibuat melalui proses perbincangan dan persetujuan semua pihak. Mereka yang mewakili kaum, kalangan di pelbagai segmen sosial, masyarakat dan kerajaan yang memerintah perlu memahami dan menghormati konsep ini.

Manakala, asas sandaran bagi setiap keputusan dan ketetapan mestilah berlatarbelakangkan semangat berlandaskan apa yang sudah terpasak kukuh di dalam Perlembagaan Persekutuan. 

Jika semua pendekatan ini dilaksanakan secara cermat dan berpijak pada peraturan, tentu tidak timbul isu ‘terlepas cakap’, kemudian meminta maaf secara terbuka. Dan, tentunya juga tidak berbangkit hal-hal yang boleh mencuit emosi mana-mana pihak. Sehingga tergamak mengungkit soal perlunya dikaji semula ‘kontrak sosial’, itu apa tujuan sebenarnya?

Konsep ‘bersederhana’ antara lain menganjurkan supaya ‘menutur biar berpadan, mengidam jangan berlebihan’.  Tidak perlu diusik, dirisik secara berterusan terhadap hal-hal asas yang sudah kemas terpahat, terpaku erat. 

Kata cendekiawan Melayu, tidak mungkin wujud harmonis di Malaysia selagi emosi orang Melayu terganggu.  Terima dan hormatilah seadanya. Selama ini pun Malaysia melalui era kemajuan dan kemakmuran yang mampu dinikmati semua.      

Malaysia perlu kekal makmur sejahtera. Sebarang perkara yang mencetuskan sensitiviti kaum dan agama perlu disekat. Berpolitik bukan bermakna sehingga boleh mengganggu kestabilan, merencat kelancaran misi dan agenda memajukan negara.

Secara jelas, rakyat perlu membuat keputusan tepat semasa proses pilihan raya. Pilih parti yang betul-betul berupaya mengatur dan melaksanakan dasar yang pragmatik dan berkesan.

Demi kestabilan, perlu ditentukan parti yang diberi mandat memerintah memiliki dua pertiga majoriti di Parlimen.

Tidak salah mencari berjalan pulang ke tapak asal kalau itu adalah sesuatu demi kebaikan dan yang menjanjikan kestabilan. Kenyataannya, negara melalui era kestabilan dan kemakmuran yang panjang, iaitu lebih enam dekad. Segala yang baik boleh dijadikan teladan dan panduan.  

Berpijak pada kenyataan, berpandu pada keberkesanan. Politik ‘populis’ hanya bertaraf sementara. Yang penting kebajikan rakyat dan kedaulatan bangsa dan agama tetap terjamin dan terpelihara.   

Saiz Malaysia bukanlah besar untuk diracik dan dipecah-pecahkan.  Semangat federalisme perlu kekalkan dalam suasana ‘sama ada, sama rasa’.  14 negeri di Malaysia ternyata sentiasa saling perlu memerlukan. Jarak dan sempadan hanya pada ukuran, bukan pada perasaan dan nilai persaudaraan sesama senegara. 

Ada kala keperluan hadir di luar jangkaan. Dan, betapa indahya jika seluruh rakyat terus mengamalkan semangat ‘segerak seirama, sama serentak tingkahan gendang’.    

TUJUAN POLITIK

Perbetulkan tujuan dan konsep berpolitik. Ini terutama dalam konteks di Malaysia yang mengamalkan Demokrasi Berparlimen dan Raja Berperlembagaan. Setiap undi tetap dikira, setiap yang menang adalah ‘pemilik kuasa’. Justeru, jangan remehkan nilai keluar mengundi. 

Mengeluh kesal di pihak ‘kalah’ tidak memberi makna jika diabaikan hak mengundi atau sekadar dianggap berpolitik itu jijik atau membosankan.  

Politik itu harus dijadikan milik rakyat, bukan untuk membina kelompok atau puak. Sebaik mana pun jenama politik, jika wibawa barisan kepimpinannya tidak menggambarkan ‘boleh ditumpangi’ atau ‘boleh dibuat kawan’, tidak mampu dijadikan cagaran menawan hati pengundi.  Kekuatan sesebuah parti politik bergantung pada sokongan ramai, bukan sekadar ahli keluarga atau kawan terdekat.

Mengharmonikan suasana politik, jangan ada yang memasang cita-cita tetapi pada hakikatnya kurang berupaya. Ini berlaku apabila rakyat dijanjikan dengan pelbagai perkara, namun akhirnya kembali seperti biasa. Ada yang mengumpan slogan agama, tetapi setiap kali mandat diberi, kelemahan pemerintahannya beralasan sama.

Sempena Aidililadha yang disambut pada Isnin lalu, hari kebesaran Islam yang dikaitkan dengan konsep korban dan pengorbanan, elok diintai disemak, di mana adanya unsur-unsur pengorbanan yang boleh diterapkan dalam aspek berpolitik.

Ditanyakan pada sesetengah orang, mana-mana yang kerap tewas dalam bertanding atau yang sudah terlalu lama dalam arena kepimpinan eloklah ‘berkorban’ mengundur diri untuk diganti dengan golongan muda yang lebih bertenaga.

Jujur pada diri, ikhlas pada hati mudah-mudahan terpancar keberkatan Ilahi.-UTUSAN

 

DATUK SAYUTI MUKHTAR ialah Profesor Adjung Universiti Malaysia Kelantan (UMK).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN