ERA Masyarakat 5.0 mengevolusi dan membangunkan masyarakat dengan teknologi baharu untuk mencapai keseimbangan antara kemajuan ekonomi dan penyelesaian masalah sosial.
Berasal dari Jepun, evolusi ini menekankan penggunaan teknologi seperti kecerdasan buatan (AI), internet kebendaan (IoT), robotik dan data besar dalam semua aspek kehidupan bagi meningkatkan kualiti hidup.
Melalui penerapan teknologi baharu ini, Masyarakat 5.0 dapat menjadikan kehidupan seharian lebih cekap dan inklusif selain membolehkan setiap individu menikmati manfaat kemajuan teknologi tanpa mengira latar belakang ekonomi atau sosial.
Dalam konteks Malaysia Madani, penerapan prinsip-prinsip Masyarakat 5.0 sangat relevan. Negara menekankan kemajuan seimbang antara pembangunan ekonomi dan kesejahteraan sosial dengan memperkukuhkan perpaduan nasional, mempromosikan nilai-nilai murni dan meningkatkan kualiti hidup rakyat.
Dengan mengintegrasikan teknologi AI, IoT, robotik dan data besar, Malaysia boleh mempercepatkan transformasi digital dalam sektor-sektor kritikal seperti pendidikan, kesihatan dan perkhidmatan awam.
Salah satu cabaran utama dalam merealisasikannya adalah jurang digital yang merujuk kepada perbezaan akses dan penggunaan teknologi antara golongan yang berkemampuan dan mereka yang tidak.
Menurut Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), sekitar 30 peratus daripada penduduk luar bandar masih tidak mempunyai akses kepada internet yang stabil.
Tanpa akses kepada teknologi asas, golongan ini akan terus ketinggalan dan tidak dapat menikmati manfaat penuh.
Untuk mencapai sasaran, kita memerlukan tenaga kerja yang mahir dalam mengendalikan teknologi baharu. Namun, sistem pendidikan semasa mungkin tidak cukup untuk melahirkan pakar teknologi yang diperlukan.
Data Kementerian Pendidikan menunjukkan hanya 40 peratus daripada pelajar yang mendaftar dalam bidang sains, teknologi, kejuruteraan, dan matematik (STEM).
Ini menunjukkan terdapat kekurangan minat dan kesedaran tentang pentingnya bidang ini dalam kalangan pelajar.
Kajian Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER) menunjukkan hampir 25 peratus daripada pekerjaan di Malaysia berisiko digantikan oleh automasi dalam tempoh 10 tahun akan datang.
Ini boleh menimbulkan masalah pengangguran dan ketidakstabilan ekonomi jika tidak ditangani dengan betul.
Pelancaran rangkaian 5G, yang dijangka siap sepenuhnya menjelang 2025, adalah langkah penting dalam menyediakan sambungan internet yang pantas dan stabil. Menurut laporan SKMM, pelaburan dalam infrastruktur digital meningkat sebanyak 15 peratus setiap tahun sejak 2020.
Ini menunjukkan komitmen kerajaan untuk memastikan negara bersedia dari segi infrastruktur.
Masyarakat digalakkan menggunakan aplikasi dan perkhidmatan digital dalam kehidupan harian seperti e-dagang, perbankan dalam talian dan aplikasi kesihatan, serta teknologi dalam sektor-sektor lain seperti pertanian dan perkilangan.
Program seperti Dana Pembangunan Kemahiran Digital dan latihan dalam talian yang ditawarkan pelbagai institusi pendidikan adalah langkah positif ke arah membangunkan tenaga kerja yang mahir.
Dalam usaha menangani isu keselamatan siber, kerajaan memperkenalkan pelbagai undang-undang dan peraturan untuk melindungi data pengguna.
Akta Perlindungan Data Peribadi 2010 (PDPA) adalah salah satu langkah penting dalam melindungi privasi pengguna.
Selain itu, CyberSecurity juga meningkatkan usaha mendidik masyarakat tentang kepentingan keselamatan siber melalui kempen kesedaran dan latihan.
Menurut laporan tahunan CyberSecurity, kesedaran tentang keselamatan siber dalam kalangan pengguna meningkat sebanyak 25 peratus pada 2023.
Kesedaran mengenai keselamatan siber perlu ditingkatkan untuk melindungi data peribadi dan mengelakkan serangan siber, dengan menggunakan perisian keselamatan dan mengikuti amalan terbaik dalam talian.
Untuk mengurangkan kesan ekonomi daripada automasi, kerajaan melancarkan pelbagai inisiatif untuk membantu pekerja yang terjejas.
Program seperti Skim Latihan Semula dan Penempatan Pekerjaan (SLTP) bertujuan untuk memberi latihan semula kepada pekerja dalam bidang yang berisiko digantikan oleh teknologi.
Data dari Jabatan Tenaga Kerja menunjukkan bahawa lebih daripada 50,000 pekerja menyertai program ini sejak dilancarkan pada 2020. Ini menunjukkan bahawa terdapat usaha yang berterusan untuk memastikan pekerja dapat menyesuaikan diri dengan perubahan dalam pasaran pekerjaan.
Masyarakat perlu bersedia menerima perubahan yang dibawa teknologi dan menyesuaikan diri dengan cepat, dengan sifat keterbukaan terhadap teknologi baharu dan kesediaan untuk belajar dan menyesuaikan diri.
Inisiatif bandar pintar adalah contoh bagaimana teknologi boleh digunakan untuk meningkatkan kualiti hidup masyarakat.
Projek seperti Bandar Pintar Kuala Lumpur dan Bandar Pintar Iskandar Malaysia melibatkan penggunaan teknologi seperti IoT untuk menguruskan trafik, meningkatkan keselamatan awam dan mengurangkan penggunaan tenaga.
Data dari Jabatan Perangkaan menunjukkan bahawa penggunaan teknologi dalam pengurusan bandar mengurangkan kadar jenayah sebanyak 15 peratus dan meningkatkan kecekapan penggunaan tenaga sebanyak 20 peratus dalam bandar-bandar pintar di Malaysia.
Ini menunjukkan bahawa teknologi boleh digunakan secara efektif untuk mengatasi masalah sosial, meningkatkan kelestarian tenaga dan kesejahteraan masyarakat.
Kerjasama antarabangsa juga penting dalam merealisasikan Masyarakat 5.0. Malaysia bekerjasama dengan negara-negara seperti Jepun dan Korea Selatan dalam bidang teknologi dan inovasi.
Data dari Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) menunjukkan pelaburan dalam teknologi pintar dari Jepun meningkat sebanyak 30 peratus sejak MoU ditandatangani.
Ini menunjukkan kerjasama antarabangsa boleh membantu mempercepatkan pembangunan teknologi dan inovasi di negara kita.
Kerjasama antara sektor awam, swasta, dan akademik adalah penting untuk memacu inovasi dan penyelidikan dalam bidang teknologi melalui projek-projek kolaboratif.
PELUANG BESAR
Walaupun Masyarakat 5.0 menawarkan peluang besar untuk meningkatkan kualiti hidup dan menyelesaikan masalah sosial melalui penggunaan teknologi baharu, namun, untuk merealisasikan visi ini, kita perlu menangani pelbagai cabaran seperti jurang digital, kekurangan kemahiran teknologi, isu keselamatan siber dan kesan ekonomi daripada automasi.
Dengan usaha yang berterusan dan kesediaan untuk menyesuaikan diri dengan perubahan, masyarakat mampu memastikan negara bersedia menghadapi cabaran dan memanfaatkan peluang yang ditawarkan.
Sebagai masyarakat, kita perlu proaktif dalam mempelajari kemahiran baharu, memahami teknologi yang sedang berkembang pesat dan menyokong inisiatif yang bertujuan untuk meningkatkan kesejahteraan rakyat.
Dengan ini, kita dapat memastikan bahawa kita bukan sahaja bersedia menghadapi Masyarakat 5.0 tetapi juga dapat menjadi pemimpin dalam era baharu ini.-UTUSAN
PROFESOR Madya Dr. Md. Fauzi Ahmad ialah Pensyarah dan Penyelidik Kanan Pengurusan Teknologi Pengeluaran Fakulti Pengurusan Teknologi dan Perniagaan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM).










