ISKANDAR PUTERI – Juara bertahan, Johor Darul Ta’zim (JDT) menepati ramalan mara ke pusingan suku akhir Piala FA selepas menewaskan Kelantan Darul Naim FC 4-0 dalam pusingan 16, malam tadi.
Beraksi di laman sendiri, skuad Harimau Selatan bergelut bagi menjinakkan pasukan kendalian Park Jae Hong dan hanya memperoleh gol pembukaan pada penghujung separuh masa pertama.
Gawang Kelantan Darul Naim yang dikawal ketat Muhaimin Mohamad akhirnya bolos daripada tandukan Bergson Da Silva sebelum Fernando Forestieri melakukan penyudah.
Bersambung babak kedua, JDT dihadiahkan sepakan penalti oleh pengadil perlawanan, Mohamad Kamil Zakaria Ismail selepas semakan video bantuan pengadil (VAR) mendapati Umeir Aznan melakukan kekasaran terhadap Forestieri pada minit ke-58.
Muhaimin bertindak cemerlang menafikan sepakan penalti diambil Muniz namun percubaan kedua pemain gantian, Romel Morales yang berada di posisi yang tepat gagal diselamatkan menyaksikan gawang skuad Kijang Emas bolos kali kedua.
Tindakan Bidoglio membawa masuk Francisco Geraldes turut membuahkan hasil apabila pemain import itu bijak melepasi kawalan dua pemain pertahanan lawan lalu merembat tepat ke penjuru kiri gawang pada minit ke-81.
VAR sekali lagi memihak JDT apabila pengadil perlawanan mendapati berlaku kekasaran Nasrol Amri Kamarul Azhar terhadap Arif Aiman pada minit akhir permainan dan pemain itu mudah menyempurnakan sepakan untuk kemenangan 4-0.
JDT akan bertemu wakil Liga A1 Semi Pro, Malaysian University FT yang mengejutkan PDRM FC, Rabu lalu. – UTUSAN










