PETALING JAYA: Pengendali Harimau Malaya, Kim Pan Gon mengakui sistem pembangunan bakat muda yang efektif sangat penting bagi membentuk pemain terbaik saban tahun untuk skuad kebangsaan.
Pan Gon berkata, perkembangan bola sepak di Malaysia kini masih jauh ketinggalan dan semua pihak tidak boleh hanya mengharapkan tindakannya bersendirian untuk menaikkan mutu bola sepak di negara ini.
Selain memperkemas sistem pembangunan bakat muda, Pan Gon juga melihat usaha Indonesia yang giat mencari pemain warisan di sekitar Eropah sebagai alternatif terbaik yang mungkin boleh digunakan di Malaysia.
“Realitinya (bola sepak) di Malaysia, saya dapat lihat situasi agak sukar tetapi saya juga tidak tahu bagaimana mahu memperbaikinya kerana banyak perkara perlu diambil kira di sini.
“Kita tidak boleh bandingkan dengan Korea Selatan atau Jepun kerana mereka mempunyai sistem yang sangat bagus, saya rasa kita perlu semak dan memperbaiki sistem kita untuk melahirkan bakat-bakat muda.
“Usaha lain mungkin kita boleh lihat jurulatih Indonesia yang terbang ke Eropah untuk mencari pemain warisan, tetapi bagi saya keperluan utama adalah sistem pembangunan yang melahirkan pemain tempatan yang terbaik,”
“Selepas itu, barulah strategi untuk bersaing (dengan pasukan lain). Bagi saya, Indonesia akan menjadi pasukan terbaik tidak lama lagi dirantau ini dengan usaha yang mereka berikan tetapi Malaysia wajib mencabarnya,” kata Pan Gon.
Skuad Garuda ketika ini sedang diperkuat dengan beberapa pemain warisan dari Eropah seperti Jay Idzes, Rafael Struick, Thom Haye dan Calvin Verdonk untuk membawa cabaran skuad kendalian Shin Tae Yong di pentas antarabangsa.
Hasil segera dapat dilihat apabila Indonesia melakar sejarah mara ke pusingan kalah mati Piala Asia Qatar Januari lalu selain skuad mudanya hampir melayakkan diri ke Sukan Olimpik Paris sebelum akur tewas dalam aksi play-off. – UTUSAN










