PETALING JAYA: Universiti Malaya (UM) muncul pasukan terbaik acara skuasy bagi kategori lelaki dan wanita di Karnival Sukan Universiti Malaysia (MASUM) 2024 di sini, semalam.
UM memenangi satu emas dan satu perak bagi setiap kategori dipertandingkan manakala gangsa menjadi milik Universiti Teknologi Mara (UiTM).
Tuan rumah kejohanan menampilkan atlet skuasy kebangsaan, Hi Jia Rong dalam taruhan memburu emas di kejohanan tersebut selepas pemain berusia 20 tahun itu menewaskan rakan sepasukan, Wee Ming Hock 3-2.
Jia Rong membuat penampilan pertama di kejohanan tersebut berkata beliau terpaksa bekerja keras sebelum memastikan emas menjadi miliknya.
“Pada awal saingan saya cuba biasakan diri dengan gelanggang dan dapatkan momentum. Saya juga perlu jaga ketepatan untuk pastikan setiap pukulan memberi mata.
“Apabila sudah sampai ke peringkat yang lebih tinggi, keyakinan itu mula hadir dan saya memberikan segala-galanya untuk mendapatkan emas,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini semalam.
Atlet berusia 20 tahun itu sedang mempersiapkan diri untuk menyertai Cabaran ACE 6K 2024 di Johor pada 15 hingga 19 Mei ini. – UTUSAN










