IPOH: Pengendali skuad hoki lelaki kebangsaan, Sarjit Singh mengakui New Zealand pastinya akan bermain bermati-matian apabila berdepan Malaysia di Stadium Azlan Shah, hari ini.
Jangkaan itu berikutan New Zealand semestinya mahu mengembalikan semula maruah mereka selepas dimalukan Jepun dengan kekalahan 4-1 pada aksi kedua Piala Sultan Azlan Shah, kelmarin.
New Zealand merupakan pasukan di ranking paling tinggi di kejohanan berkenaan iaitu 10 terbaik dunia berbanding Jepun (16), Korea Selatan (12), Pakistan (15), Malaysia (13) dan Kanada (19).
“New Zealand sebuah pasukan yang lengkap dan sentiasa memberi tekanan kepada pasukan lawan, jadi ia perlawanan yang sukar tetapi perkara yang bagus untuk pemain saya adalah dapat bermain aksi seperti ini.
“Untuk kami, ini satu pengalaman yang sangat berguna dan ia akan membuat kami bagus dan lebih bagus. Kita juga dapat lihat Jepun menewaskan New Zealand 4-1 dan ia bukan sesuatu yang mudah untuk menewaskan pasukan seperti mereka.
“Selepas ini (hari ini) saya fikir kita berdepan mereka pada masa yang salah. Apa pun saya berharap semua pemain dapat memberi komitmen dan prestasi terbaik apabila berdepan pasukan ini.
“Pertahanan perlu kurangkan melakukan kesilapan dan jentera serangan harus memanfaatkan peluang dicipta pada perlawanan itu dengan jaringan. Itu akan menentukan keputusan esok,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia semalam.
Selepas dua perlawanan, skuad Speedy Tigers berjaya mencatat satu menang iaitu menewaskan Kanada 6-2 dan tewas di tangan Pakistan (4-5).
Mengulas mengenai perlawanan menentang Kanada kelmarin, Sarjit mengakui belum berpuas hati dengan barisan pemainnya kerana melepaskan gol mudah.
“Kita melepaskan dua gol mudah kepada Kanada selepas kita menjaringkan gol. Jadi kita perlu beri fokus kepada barisan pertahanan kerana apabila menerima tekanan akan berlaku kesilapan.
“Tetapi tidak mengapa, kami pasukan yang dibarisi banyak pemain muda dan memerlukan lebih banyak minit permainan serta masa untuk pemain berada di tahap terbaik,” ujarnya.
Untuk rekod, Malaysia turun pada kejohanan kali ini sebagai juara bertahan selepas memenangi Piala Sultan Azlan Shah pada edisi ke-29.
Sementara itu, ketua jurulatih pasukan hoki New Zealand, Greg Nicol bersedia membuat penyokong-penyokong Malaysia ‘diam’.
Tambahnya, jentera serangan Malaysia sangat berbahaya dan tidak boleh diberikan ruang terlalu besar.
“Akan menjadi perlawanan yang menghiburkan…ramai penyokong tuan rumah akan hadir dan kami akan membuat mereka diam.
“Kami ada strategi terbaik menentang Malaysia. Selain itu, pertahanan kami tidak boleh memberi ruang terlalu banyak kepada jentera serangan Malaysia kerana mereka berbahaya dan boleh menghukum kami,” ujarnya. – UTUSAN








