BUKAN satu tugas yang mudah bagi para petugas Lembaga Tabung Haji (Tabung Haji) untuk melaksanakan tanggungjawab mengurus jemaah Malaysia yang mula tiba sejak 9 Mei lalu.
Selepas lebih dua minggu bersama-sama dengan para petugas di Madinah dan Mekah untuk liputan haji kali ini, banyak jasa dan pengorbanan mereka untuk kesejahteraan jemaah haji.
Semasa di Madinah lagi saya dapat melihat bagaimana mencabarnya petugas haji melaksanakan tanggungjawab menguruskan jemaah yang kini semakin bertambah dari hari ke hari.
Daripada kakitangan Tabung Haji, doktor, jururawat, kaunselor, mutawif sehinggalah pembimbing ibadat tanah suci (Pihtas), semuanya ada 1,001 cabaran.
Sudah semestinya terdapat 31,600 ragam di sebalik jumlah jemaah dan pelbagai karakter perlu dihadapi semua petugas Tabung Haji. Ada yang menyenangkan dan ada sebaliknya.
Sentuhan jiwa luhur lebih bermakna pada ketika ini. Seringkali senyum manis menyimpul seribu kata bermakna.
Kalaulah boleh diterjemahkan pengorbanan mereka, martabat bagaikan sedekah membawa pahala.Tidak ternilai jasa mereka. Amanah dipikul dengan sabar untuk melayani tetamu Allah SWT.
Keletihan seolah-olah tidak ada dalam kamus mereka terutamanya ketika menyambut jemaah. Tidak kurang rasanya daripada 450 orang jemaah pada satu-satu masa.
Semuanya cuba memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada jemaah. Walau sehebat mana pun cabaran dan dugaan yang ditempuh, mereka tetap sabar kerana yang dilayan bukanlah sembarangan insan tetapi tetamu-tetamu Allah.
Bagaimanapun dalam usaha memastikan petugas-petugas tidak dibebankan dengan perkara yang tidak sepatutnya, jemaah haji perlu mematuhi arahan yang ditetapkan.
Segala yang dilakukan oleh petugas-petugas adalah demi kebaikan dalam memastikan mereka dapat menjalani ibadah haji dengan sempurna.
Setakat semalam, majoriti jemaah haji kita begitu berdisiplin dan sentiasa teratur dalam pergerakan mereka.
Mungkin ada segelintir yang berhadapan dengan masalah namun itu lumrah dalam apa jua urusan apatah lagi jika ada melibatkan jemaah haji yang berusia warga emas. Itu sama sekali tidak menjejaskan reputasi Tabung Haji.
Malah ada satu ketika semasa dalam perjalanan pulang ke hotel dari Masjidil Haram, saya melahirkan rasa syukur dengan nikmat yang Allah SWT berikan sebagai warga Malaysia- jauh lebih beruntung dan bernasib baik berbanding jemaah lain.
Lihat saja jarak penginapan sehinggalah kepada hal-hal yang menyentuh perkara kebajikan.
Tabung Haji bertungkus-lumus melakukan segala persiapan daripada segenap sudut bagi memastikan jemaah haji kita mendapat layanan memuaskan.
Sekalipun ada suara jemaah yang bersungut, itu semua lumrah.
Mana mungkin Tabung Haji dapat memuaskan hati semua jemaah, tambahan pula apabila menyentuh perkara di luar kemampuan agensi itu.
SYUKUR
Kalau ada yang cuba mencari kelemahan, belajar bersyukur dan berterima kasih dengan apa yang sudah disediakan.
Kesyukuran itu perlu bersandar pada keikhlasan rasa penghargaan yang membolehkan jemaah melaksanakan ibadah selepas diuruskan Tabung Haji.
Malah disebalik rasa syukur, perlu ada kesabaran kerana itulah matlamat pelaksanaan ibadah haji.
Rasulullah SAW bersabda dalam hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim bermaksud: “Dan tidaklah seseorang itu diberikan sesuatu yang lebih baik dan lebih luas daripada kesabaran.”
Bersyukurlah kerana terpilih menjadi salah seorang daripada 31,600 orang tetamu Allah dari Malaysia dengan nasib yang jauh lebih baik.
Ibarat kata orang, “Kita bersungut kasut tak cantik sedangkan ada orang tidak mempunyai kaki.”
Oleh itu, bersabar dalam menempuh apa juga dugaan dan cabaran sepanjang mengerjakan haji kerana apapun keadaannya, Tabung Haji akan sentiasa bersama sehingga mereka kembali ke tanah air.-UTUSAN
PENULIS ialah wartawan Utusan Malaysia yang sedang menunaikan ibadah haji.










