SEGALA rencam nuansa kemajmukan masyarakat yang berbeza agama, bangsa, kaum dan budaya, ia seharusnya diurus dengan penuh berhemah dan bijaksana.
Firman Allah SWT dalam surah al-Hujurat, ayat 13 bermaksud: “Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih takwanya di antara kamu (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mendalam Pengetahuan-Nya (akan keadaan dan amalan kamu)”.
Kita mesti kembali melihat kepada sirah Rasulullah SAW. Sesungguhnya Rasulullah diutuskan untuk membawa rahmat buat sekalian alam. Dalam Surah Al-Anbiya’ pada ayat 107, Allah berfirman yang bermaksud: “Dan tidaklah Kami mengutuskan kamu (wahai Muhammad) melainkan untuk menjadi rahmat bagi seluruh alam” .
Buktinya, Madinah Al-Munawwarah ditadbir dengan tatakelola yang menjaga panji keadilan serta mengutamakan kebajikan insan semua pihak termasuk masyarakat bukan Islam. Sirah telah memahat ibrah, Rasulullah mempersaudarakan Muhajirin dan Ansar. Kelompok ‘Aus dan Khazraj yang lama berseteru dan bertelingkah telah didamaikan dengan kalimah iman serta persaudaraan.
Selain itu, Piagam Madinah dimeterai untuk mengekalkan keharmonian dalam kemajmukan agama dan budaya. Begitu bijaksana serta berhikmah kepimpinan Baginda Rasulullah sehingga menjadi rujukan sejak zaman berzaman.
INTERAKSI BERSAMA GOLONGAN BUKAN ISLAM
Al-Quran memberikan garis panduan serta bimbingan kepada umat Islam untuk berinteraksi dengan golongan bukan Islam.
Antaranya, firman Allah yang termaktub dalam surah al-Mumtahanah, ayat 8 bermaksud: “Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan berlaku adil kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana agama (kamu) dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu; sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil”.
Begitulah juga pedoman pada ayat berikutnya dalam Surah Al-An’am, ayat 108, bermaksud: “Dan janganlah kamu cerca benda-benda yang mereka sembah yang lain dari Allah, kerana mereka kelak, akan mencerca Allah secara melampaui batas dengan ketiadaan pengetahuan.”
Ayat-ayat ini menonjolkan kemuliaan ajaran Islam yang menjunjung tinggi nilai-nilai karamah insaniah. Memberikan jaminan keselamatan serta kesejahteraan dalam sesebuah masyarakat. Islam adalah agama rahmah yang mementingkan kemesraan, saling hormat menghormati dan saling bantu membantu di antara satu sama lain.
Begitulah juga pedoman daripada Surah Al-Baqarah, potongan ayat 143 yang menerangkan ciri-ciri umat Islam adalah umat yang adil dan umat pilihan. Firman Allah bermaksud: “Dan demikianlah (sebagaimana Kami telah memimpin kamu ke jalan yang lurus), Kami jadikan kamu (wahai umat Muhammad) satu umat yang pilihan lagi adil, supaya kamu layak menjadi orang yang memberi keterangan kepada umat manusia (tentang yang benar dan yang salah) dan Rasulullah (Muhammad) pula akan menjadi orang yang menerangkan kebenaran perbuatan kamu”.
Di saat sesetengah pihak cuba memberikan lakaran buruk kepada agama Islam dan umat Islam, Malaysia perlu terlebih dahulu tampil menyerlahkan keindahan serta kesyumulan Islam. Agama yang santun, menjulang tinggi nilai kesederhanaan serta kemanusiaan. Gejala Islamophobia mesti ditangani dengan penuh cermat, berhemah serta berstrategi.
PROMOSPERPADUAN
Kerajaan khususnya Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) melalui Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dengan kerjasama Pejabat Perdana Menteri dan Liga Dunia Arab mengambil langkah untuk menganjurkan dua program penting iaitu Persidangan Antarabangsa Pemimpin Agama 2024 pada hari ini dan Majlis Ulama Asia 2024 akan diadakan pada esok.
Objektif utama penganjuran kedua-dua program ini adalah untuk membangun wawasan tamadun bersama bagi menyatukan nilai kesederhanaan dan perpaduan, menangani ancaman pemikiran ekstremis serta mengubah konflik kepada persefahaman, kerjasama dan perpaduan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan menyampaikan Ucapan Perasmian Persidangan Antarabangsa Pemimpin Agama 2024. Ia turut dihadiri Setiausaha Agung Liga Dunia Arab, Dr. Mohammad Abdulkarim Al-Issa.
Manakala, program Majlis Ulama Asia 2024 akan mengangkat tema Perpaduan.
Seramai 200 peserta dijangka akan menghadiri persidangan ini yang terdiri daripada para ulama Islam dari dalam negara dan juga dari negara-negara Asia. Objektif penganjuran Majlis Ulama Asia 2024 adalah untuk memupuk perpaduan dan nilai-nilai murni serta menghormati perbezaan pelbagai dimensi dari sudut berdasarkan teras Madani, teologi dan sosiologi.
Nilai kesederhanaan (wasatiyyah) dalam berhadapan dengan pelbagai fahaman dalam mazhab dan tidak menjadikannya sebagai ketakutan, kebencian atau konflik.
Inilah kerangka besar hala tuju serta objektif penganjuran Persidangan Antarabangsa Pemimpin Agama dan Majlis Ulama Asia.
Kerajaan Malaysia melalui Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) telah mengambil usaha untuk membina harapan baharu kepada dunia bagi membentuk acuan perpaduan serta keharmonian dalam kemajmukan agama dan budaya di peringkat dunia.
Keamanan dan keharmonian bermasyarakat menjadi pasak penting kepada kestabilan sesebuah negara.
Pada masa sama, Maqasid Syariah yang meletakkan lima teras utama iaitu pemeliharaan agama, nyawa, akal, keturunan dan harta – hakikatnya ia tidak mungkin dapat direalisasikan tanpa wujudnya persekitaran hidup masyarakat yang sejahtera.
Dalam erti kata lain, keamanan dan keharmonian adalah prasyarat untuk mencapai Maqasid al-Syariah itu sendiri. Oleh yang demikian, membina keamanan dan keharmonian masyarakat dan negara perlu menjadi agenda penting yang mahu dicapai demi maslahah masyarakat dan negara.-UTUSAN
DATUK Dr. Mohd. Na’im Mokhtar ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama).










