Penyu enggan dilabel pasukan pilihan

Penyu enggan dilabel pasukan pilihan

Skuad Terengganu FC membatalkan perjanjian penajaan bersama XFOX Market Holdings. – UTUSAN/PUQTRA HAIRRY
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA NERUS: Terengganu FC (TFC) enggan dilabel sebagai pasukan pilihan ketika berkunjung ke Stadium Bandaraya, Pulau Pinang, bagi aksi Liga Super menentang Penang FC, malam ini.

Ketua jurulatihnya, Tomislav Steinbruckner, berkata, TFC sebaliknya tetap menjangkakan tentangan sengit skuad Harimau Kumbang meskipun lawan itu pernah dikalahkan pada aksi persahabatan bulan lalu.

Steinbruckner berkata, peluang masih 50-50 buat kedua-dua pasukan apatah lagi Penang FC menunjukkan peningkatan permainan selepas mengikat Sabah pada aksi pembukaan Liga Super.

Malah, pengendali kelahiran Croatia itu mengakui benteng pertahanannya yang dibarisi pemain tempatan perlu lebih diperkemaskan jika mahu membawa pulang tiga mata penuh.

“Penang FC bermain dengan percaturan tiga pertahanan tengah yang pasti menyukarkan kami mencipta peluang menjaringkan gol dan saya sudah menjangkakan tiada lagi perlawanan yang mudah.

“Mereka ada pemain yang berkualiti seperti penyerang, Rodrido Caio dan Neto Oliveiro. Jadi pertahanan TFC perlu lebih ampuh kerana misi musim ini adalah untuk tidak dibolosi banyak gol.

“Untuk mencabar kejuaraan, TFC tidak boleh melepaskan lebih daripada satu gol dalam setiap perlawanan atau kami akan berdepan masalah,” katanya ketika ditemui pada sesi latihan, semalam.

Dalam pada itu ketika ditanya kelibat Akhyar Rashid dalam perlawanan itu, Steinbruckner lebih selesa memilih pendekatan tunggu dan lihat berhubung tahap kecederaan pemain sayap berkenaan.

Lebih merunsingkannya apabila terpaksa melupakan khidmat bek kanan, Azam Azmi Murad untuk jangka masa panjang apabila kecederaan buku lali ketika mewakili Malaysia, Mac lalu, kembali berulang.

“Kami masih memantau tahap kecergasan Akhyar dan emosinya tetapi jika dia bersedia 100 peratus untuk diturunkan, saya sangat gembira kerana dia pemain utama di bahagian serangan.

“Kecederaan Azam lebih membimbangkan dan pasukan perubatan belum membuat keputusan sama ada memerlukan pembedahan atau menjalani proses pemulihan secara tradisional.

“Hanya penjaga gol, Mohd. Suhaimi Husin dijangka kembali dalam pasukan manakala Ivan Mamut (buku lali) dan Matthew Steenvoorde (lutut) masih dibelenggu kecederaan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN